RAKYAT DISERU TOLAK BN

Perbuatan para pemimpin negara melakukan rampasan khazanah kekayaan negara secara pembahagian kepada kroni-kroni, menyebabkan ramai rakyat menderita dan hidup susah. Sebaliknya pemimpin hidup dengan senang lenang, meskipun rekodnya sebelum bergelar menteri adalah antara yang susah dan tidak berkemampuan.

Justeru itu mereka kini hidup dalam kemewahan dan mampu memiliki hampir apa sahaja dengan kemewahan itu. Sebaliknya rakyat yang menyokong mereka masih terus susah. Salah seorang menteri yang sedemikian ialah Datuk Seri Samy Vellu. Beliau juga membelanjakan sehingga berjuta ringgit bagi membiayai perkahwinan anak lelakinya.

Ini merupakan bukti jelas bahawa kepimpinan yang ada hari ini lebih mengutamakan diri mereka sendiri dan mengabaikan kehidupan rakyat. Meskipun telah berkali-kali dipilih semula, kehidupan rakyat masih belum terbela. Oleh itu rakyat seharusnya menolak kepimpinan hari ini supaya kehidupan mereka terbela di hari muka.

Seruan itu dibuat oleh Lim Guan Eng, bekas Ahli Parlimen Kota Melaka, malam tadi.