AZIZAN, NORHAYATI DIPENJARA 3 BULAN!!

29 September, 1999

Azizan Abu Bakar, saksi utama perbicaraan kes liwat bekas TPM DSAI, semalam dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda berjumlah RM7,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah, Melaka selepas mengaku berkhalwat dan cuba melakukan persetubuhan haram dengan Norhayati Saad.

Norhayati, pelajar kolej swasta yang dikahwini Azizan selepas kejadian itu, pula dihukum penjara tiga bulan dan denda berjumlah RM6,300 bagi kedua-dua tuduhan yang sama itu.

Hakim Mohammad Adib Hussain menjatuhi hukuman selepas Azizan dan Norhayati mengaku bersalah terhadap kedua-dua tuduhan semasa dihadapkan ke mahkamah hari ini. 

Azizan, 39 didenda RM2,500 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi kesalahan pertama iaitu tuduhan berkhalwat mengikut Seksyen 53 (1), Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka (EKSNM) 1991.

Bagi tuduhan kedua mengikut Seksyen 52, enakmen yang sama iaitu cuba melakukan persetubuhan haram, Azizan didenda RM4,500 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda dan penjara tiga bulan.

Norhayati, 22, didenda sebanyak RM1,800 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi kesalahan berkhalwat mengikut Seksyen 53(2) EKSNM 1991.

Dia didenda RM4,500 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda dan penjara tiga bulan bagi tuduhan kedua iaitu tuduhan mengikut Seksyen 52. Mohammad Adib memerintah hukuman berjalan serentak dan berkuatkuasa dari tarikh kedua-dua mereka diperintahkan ditahan reman pada 22 September lalu.

Azizan dan Norhayati mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan semasa dihadapkan buat kali kedua di mahkamah yang sama pada 22 September. Mohammad Adib meminta Azizan dan Norhayati mengulangi pengakuan itu sebanyak lima kali sepanjang prosiding yang bermula pukul 9.35 pagi semalam.

Kedua-dua mereka mengaku bahawa pengakuan itu adalah atas kerelaan hati dan tanpa dorongan atau paksaan apabila ditanya oleh Mohammad Adib kenapa mereka membuat pengakuan itu selepas mengaku tidak bersalah semasa dihadapkan pada 22 September lalu.

Azizan, pengurus jualan dan pentadbiran, dari Pangsapuri Dahlia A, Jalan 3/11, Bandar Selayang, Batu Caves, Selangor dituduh berkhalwat dengan Norhayati, dari Jalan Mata Ayer, Kangar Perlis, di bilik sebuah rumah di Jalan Indah 10, Taman Pengkalan Indah, Melaka pada 16 September, pukul 1.30 pagi.

Mereka dibenarkan mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari.