Oleh Mr. Canggih
Saya berkesempatan untuk menyaksikan sendiri satu daripada 'projek mega' kebanggaan Maha Firaun dan pemimpin kerajaan BN. Saya mengambil keputusan untuk membawa keluarga menyaksikan sama projek yang dilaung-laungkan oleh Maha Firaun itu sebagai kebanggaan negara dan membawa keuntungan kepada generasi depan.
Satu jam lebih perjalanan dari Ibu Kota Kuala Lumpur amat menyiksakan perjalanannya. Rasa ingin tahu menambahkan lamanya perjalanan serasa jam ditangan ditahan-tahan waktunya. Akhirnya sampailah saya dan keluarga ke Komplek Putrajaya, di mana terletaknya Jabatan Perdana Menteri yang baru.
Almaklumlah orang kampong saya tidak begitu tahu perbezaan antara kecanggihan dengan pemodenan. Bagi saya yang kelihatan dari luar, Kompleks Putrajaya sama seperti bangunan-bangunan lain yang tersergam indah di Kuala Lumpur. Tiada bezanya, hanya baru dan lama mungkin itu lebih tepat. Seni ukiran tiangnya tidak menampakkan kecanggihan komplek ini, setanding bagaimana hayalan yang saya perolehi dari Utusan Meloya, Berita Hairan atau TV 3 suku dan lain-lain media saluran BN.
Saya tidak berkesempatan untuk masuk ke kompleks berkenaan kerana saya bukan orang 'berbaju putih dan berseluar hitam'. Imej saya begitu dikenali dan sudah pasti saya tidak dibenarkan dengan apa cara jua pun untuk melihat keindahan komplek Putrajaya dari dalam.
Saya terus menuju ke Masjid Putra, berhadapan Kompleks Putrajaya. Menara yang tinggi bukan lambang kehebatan Islam. Bagaimana pun saya kagum dengan kehadiran orang ramai hari itu. Tidak putus-putus, keluar dan masuk. Saya pasti ramai antara mereka orang-orang UMNO berdasarkan pakaian dan pertuturan mereka. Ada yang memakai kain belah hingga ke atas peha pun dibenar memasuki masjid tersebut. Bagi perempuan yang berselendang lebih ramai dari yang bertudung.
Saya sempat menyaksikan beberapa orang mak cik yang tak ketahuan seperti agaknya di sekitar kawasan masjid. Apakah agaknya yang dibanggakan, fikir mereka. Sama seperti masjid lain, mungkin? Saya berkesempatan mengambil beberapa keping gambar untuk dijadikan kenangan lawatan saya. Antaranya di dalam masjid yang mengelirukan saya tulisannya, meskipun saya boleh membacanya.
Di luar sana saya memerhati kolam yang dibina sekeliling masjid ini. Tampak dari jauh Mahligai Air Mata Rakyat yang tidak dibenarkan sesiapa mengunjunginya. Memerhati sekeliling saya mengertilah kenapa rakyat begitu marah dengan nilai pembangunan ini.
Masjid yang dibina hanya untuk dilawati dan bukan untuk dimakmurkan. Pembaziran jelas kelihatan kerana Putrajaya terasing dari dunia Kuala Lumpur. Perhubungan yang kian tenat. Kos membina jalan dan lebuhraya ke sini bukan sedikit. Jika hanya kerana ini maka ia dikatakan 'kebanggaan negara' maka saya berpendapat gilah mereka itu!!!
Terletak di tengah-tengah hutan kelapa sawit dan pokok getah, Putrajaya tidak ubah seperti rumah taukeh di estet. Begitu pula dengan Mahligai Air Mata Rakyat yang jelas pembinaan dua buah jambatan dan salah satunya hanya untuk laluan Maha Firaun itu.
Kepada rakyat yang belum melawati Putrajaya, hentikan sahaja niat saudara. Lebih baik duit tol dan minyak kereta anda sara anak-anak anda untuk perbelanjaan sekolah. Cukuplah dengan momokan media. Saya tidak akan terpanggil lagi menyahut seruan kebanggaan ini.
Amat malang bagi rakyat bahawa projek terbesar perbelanjaannya ini hanya satu gimik murahan untuk membuktikan bahawa setiap projek kerajaan 'kununnya adalah untuk kepentingan masa depan generasi Malaysia.