Petanda BN akan kalah

Ikhsan Harakah 

Haji Mahfuz Omar
PASIR PUTEH: Pemuda PAS memberi amaran kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya tidak mendapat bantuan asing ekoran terdapat tanda-tanda kekalahan parti itu dalam pilihan raya umum ke-10 tidak lama lagi.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar berkata, pemimpin BN mungkin akan meminta bantuan asing khususnya Amerika Syarikat bagi membolehkan mereka terus memerintah, biar pun majoriti rakyat mahukan perubahan.

Katanya, Pemuda PAS akan menentang habis-habisan jika berlaku campur tangan Amerika di negara ini kerana tidak mahu negara ini dijajah bagi kali kedua.

"Pada masa ini sambutan rakyat di seluruh negara terhadap parti pembangkang khususnya PAS cukup merimaskan Umno," katanya ketika menyampaikan ceramah di Kampung Wakaf Lichong dekat sini baru-baru ini.

Sempena ceramah tersebut seramai 30 bekas ahli Umno kampung berkenaan yang diketuai Abdul Rahim menyerahkan borang menyertai PAS kepada Yang Dipertua PAS Pasir Puteh, Ustaz Alwi Jusoh.

Haji Mahfuz berkata, kebangkitan rakyat di seluruh negara khususnya di Johor yang merupakan negeri kelahiran Umno sekarang cukup berbeza sekali.

Katanya, hakikat itu diperkukuhkan lagi dengan pertambahan bilangan cawangan PAS di Parlimen Teluk Kemang, Negeri Sembilan dari 10 cawangan meningkat kepada 30 buah, sekarang.

Haji Mahfuz berkata, sokongan rakyat yang luar biasa kepada pembangkang sekarang menyebabkan pemimpin tertinggi BN takut kehilangan pengaruh.

Serentak dengan itu, beliau menyeru rakyat negara ini menukar kerajaan BN yang ada sekarang kepada Barisan Alternatif.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Tawang, Ustaz Hassan Mahmod dan wakil rakyat Gaal yang juga Yang Dipertua PAS Pasir Puteh Ustaz Alwi Jusoh.