Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik menafikan bahawa 17 perkara yang disenaraikan oleh 11 persatuan Cina kepada kerajaan Barisan Nasional
baru-baru ini adalah tuntutan-tuntutan menjelang pilihan raya.
Kenyataan ini adalah bercanggahan dengan resolusi pertubuhan-pertubuhan Cina yang berhimpun di Dewan Cina, Jalan Husin, Ipoh, pada 10 Oktober lalu.
Dalam perhimpunan itu, pertubuhan kaum Cina kembali mendesak kerajaan BN dan MCA khususnya sebagai parti komponen supaya menjelaskan beberapa perkara
dalam tuntutan tersebut.
Antaranya yang utama ialah berhubung dengan sistem pendidikan bagi kaum Cina dan pemansuhan ISA. MCA ditegur kerana begitu takut untuk mendesak kerajaan bagi mengkaji serta memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dalam tuntutannya, 11 persatuan Cina menyenaraikan 17 perkara yang dilaporkan sebagai
tuntutan mereka terhadap kerajaan BN sekiranya ingin memperolehi sokongan mereka.
Lebih 2,000 wakil berbagai pertubuhan Cina dari seluruh Malaysia berhimpun di Dewan Cina, Jalan Husin, Ipoh 10 Oktober lalu. Dalam perhimpunan itu
juga sumbangan sebanyak RM16,000 telah disumbangkan oleh para hadirin sebagai sokongan moral ke arah tuntutan mereka.