Setiausaha Akhbar MB Kelantan, Wan Ismail Wan Jusoh berkata jika Sultan Kelantan sendiri yang bertanding menentang Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat pada pilihanraya nanti baginda pun akan kalah.
Demi meriah simpati politik di dalam keadaan terdesak ini PAS sanggup mencemuh Sultan yang selama ini di akui menjadi ketua agama bagi setiap negeri.
Sembahyang hajat memohon kebenaran yang dibuat oleh rakyat sebelum ini telah diperkenankan Allah. Lihatlah pihak mana yang semakin kucar-kacir kini. Manakala keikhlasan Dr. Mahathir dalam menangani kegawatan ekonomi telah berhasil dan beliau kelihatan semakin bertenaga untuk meneruskan kepimpinan negara. Biar apa pun cemuhan parti pembangkang namun UMNO tetap memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Semoga Allah terus memberi kekuatan kepada Dr. Mahathir untuk menerajui kepimpinan negara.
Maksudnya:
"Sesungguhnya orang yang suka menyebarkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman mereka akan beroleh azab seksa yang
tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)."
(suruh an-Nur : 19)
ULASAN MINDA RAKYAT
Orang yang seringkali mengheret sultan ke dalam kancah politik Kelantan ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan iaitu Tengku Razaliegh. Ku Li berbuat demikian ialah dengan tujuan untuk mengimbangi dan mengembalikan pengaruhnya yang merosot sejak membubarkan S46.
Perbuatan Ku Li mengheret sultan Kelantan ke dalam kancah politik negeri Kelantan nampaknya tidak dilihat sebagai menghina dan merendah-rendahkan imej Sultan Kelantan. Demikianlah perbuatan UMNO. Jika mereka buat tidak salah, tetapi jika pihak bukan UMNO, mereka akan nampak bersalah.
Kata-kata oleh Setiausaha Akhbar MB Kelantan, jika benar demikian adalah untuk memperbandingkan antara Ku Li dengan Sultan Kelantan. Justeru kedudukan Sultan Kelantan lebih tinggi dari kedudukan Ku Li sebagai anak raja biasa, maka percubaan Ku Li mahu merampas Kelantan nampaknya hanyalah sia-sia sahaja kerana terbukti beliau memang tiada pengaruh. Ini sekaligus menyatakan bahawa kedudukan PAS di bawah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat teguh sekali dan mendapat restu rakyat sekelian.
Dalam kes sembahyang hajat pula, ia hanya boleh dilakukan untuk memohon petunjuk dan memohon kebaikan terhadap diri kita dan orang lain. Tidak boleh dalam hajat kita untuk memohon binasa dan kejahatan terhadap orang lain.
Tujuan umat Islam di seluruh negara bersembahyang hajat beberapa bulan lalu antaranya memohon Allah lindungkan manusia Islam yang berjihad di jalan Allah dan memberikan kekuatan kepada perjuangan mereka. Juga mohon DSAI dilindungi daripada bencana dan malapetaka dan agar kesihatannya benar-benar pulih. Juga sembahyang hajat memohon kebenaran dan keadilan bagi umat Islam dan menang dalam perjuangan mereka terutama dalam pilihanraya.
Jika UMNO menuduh bahawa tidak berlaku kebinasaan di pihak mereka, sememangnya sembahyang hajat kita sebagai umat Islam, tidak menyentuh tentang UMNO. Kita bersembahyang hajat untuk diri kita sendiri dan perjuangan Islam. Dr. Mahathir sihat atau ekonomi pulih juga tidak ada dalam permohonan kita.
Disebalik itu, jika kita menilai kembali sudah ada tanda-tanda permohonan kita itu dimakbulkan Allah. Antaranya, kesihatan DSAI sudah nampak baik dan perbuatan jahat oleh pemimpin UMNO terhadap DSAI dapat dikesan. Ini berkat sembahyang hajat kita.
Selain dari itu sehingga ke saat ini Allah masih memberikan perlindungan kepada mujahid Islam. Belum ada tekanan yang maha hebat terhadap perjuangan Islam. Ini bukti Allah sudah menerima permohonan hajat kita.
Juga jika kita menilai kembali, bahawa tanda-tanda kemenangan kita dalam pilihanraya sudah berbayang dan kian jelas. Buktinya kemasukan beramai-ramai ahli PAS terutamanya golongan muda, adalah petanda bahawa Islam kian dicintai oleh penganutnya. Manakala dipihak bukan Islam ramai yang menyertai keadilan. Ini juga membuktikan bahawa kebenaran dan keadilan sudah berada di hati umat manusia di Malaysia. Ini juga satu bukti bahawa sembahyang hajat kita diperkenankan Allah.
Hanya kita masih berusaha dan berdoa ialah kemenangan dalam pilihanraya umum negara. Itu matlamat kita yang besar dan akhir dalam permohonan sembahyang hajat kita. Maka dengan itu marilah kita menolak kenyataan orang-orang UMNO bahawa keikhlasan Dr. Mahathir dalam menangani kegawatan ekonomi telah berhasil dan beliau kelihatan semakin bertenaga untuk meneruskan kepimpinan negara ada kaitannya dengan sembahyang hajat kita.
Ayat 19 Surah Annur yang dikaitkan orang UMNO dalam perbahasan ini tiada kaitannya dengan hujah-hujah mereka. Wallahua'lam.
Cetak dan sebarkan!!!!
MINDA RAKYAT - MAHKAMAH RAKYAT