PAS PERAK PERKEMASKAN JENTERA PILIHANRAYA

Anggota PAS Negeri Perak diseru supaya meingkatkan persediaan sebagai kemungkinan menghadapi pilihanraya awal November depan.

Ketua Penerangan PAS Perak merangkap Penolong Pengurus Pilihanraya PAS Negeri, Mejar (B) Yahya Ariff Kamaruzaman berkata demikian dalam taklimat ringkas kepada anggota PA/CA (Poling Agent/Counting Agent) bagi kerusi N.21 Ulu Kinta malam tadi.

Menurut Mejar (B) Yahya Ariff, PAS sudah menghadapi zaman getir dalam siri pilihanraya lalu kerana gagal menyediakan anggota PA/CA secukupnya bagi menghadapi hari penting pilihanraya. Justeru itu kekalahan tidak dapat dielakkan kerana pihak lawan mengambil kesempatan di atas kelemahan PAS.

Pilihanraya umum kali ini akan menyaksikan bahawa jentera pilihanraya PAS negeri akan diperkemaskan. Persediaan sudah lama dibuat dan kini diperingkat akhir untuk menentukan wakil parti sebagai PA/CA.

Ahli yang terpilih sebagai PA/CA hendaklah menunjukkan komitmen yang tinggi sebagai kesediaan mereka berkorban untuk perjuangan parti. Sesuai dengan amalan ahli sunnah waljamaah, kita tidak boleh mengharapkan keputusan yang baik, jika kita melakukan kerja-kerja tersebut sambil lewa, kata Mejar (B) Yahya Ariff.