MARINA:JANGAN BOHONGI RAKYAT LAGI!!

Naib presiden Parti Keadilan Marina Yusoff, yang pernah dilaporkan menuduh UMNO dan polis bertanggungjawab mencetuskan tragedi 13 Mei, hari ini menyeru kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat peristiwa itu agar rakyat mendapat gambaran sebenar mengenainya.

Katanya siasatan bebas itu perlu supaya semua pihak terutamanya kaum Cina, tidak dihantui dengan tragedi itu.

"Rakyat perlu tahu keadaan sebenar tentang peristiwa itu agar isu sensitif itu tidak dieksploitasi sebagai senjata politik oleh mana-mana pihak untuk menakut serta menggugut rakyat," katanya pada sidang berita di ibu pejabat parti itu.

Turut hadir Ketua Penerangan Keadilan Ruslan Kassim, Setiausaha Agung Mohd Annuar Tahir, ahli Majlis Tertinggi, Dr Mohd Noor Nawawi dan Goh Keat Peng serta Penolong Setiausaha Pemuda Kebangsaan N. Gobalakrishnan.

Ditanya tentang laporan polis terhadap beliau berhubung kenyataannya bahawa UMNO dan polis terbabit mencetuskan peristiwa berdarah itu, Marina mendakwa media massa cuba memutar belitkan percakapan dan kenyataan beliau yang sebenar.

Katanya, pada 29 Sept lepas beliau hanya "menjawab hasutan" pemimpin UMNO yang mengugut kaum Cina kononnya peristiwa 13 Mei akan berulang jika mereka tidak mengundi Barisan Nasional.

Marina berkata beliau hanya cuba menenangkan keadaan agar kaum Cina tidak berasa takut serta mengundi mengikut pilihan sendiri.

Beliau juga menjelaskan bahawa pihak polis, yang bertanggungjawab menjaga keamanan, telah mengeluarkan permit kepada UMNO dan gagal mengawal perarakan pada hari kejadian sehingga rusuhan berlaku dan perintah darurat terpaksa diisytiharkan.

Dua laporan polis telah dibuat terhadapnya iaitu oleh pemangku Ketua Pemuda UMNO Datuk Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Polis Diraja Malaysia ACP Kamaruddin Mat Desa.

Marina, yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba memutar belitkan kenyataan beliau.

Pada sidang berita itu, Ruslan mengumumkan secara rasmi penyertaan Syed Mohamed Syed Jaafar Albar, adik Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar dan anak bekas Ketua Pemuda UMNO allahyarham Syed Jaafar Albar ke dalam parti itu.

"Oleh kerana beliau (Syed Mohamed) adalah ahli parti Keadilan, maka kehadirannya di ceramah-ceramah umum selama ini adalah atas platform parti Keadilan dan parti alternatif.

"Isu beliau diperalatkan atau memperalatkan diri untuk mana-mana pihak tidak timbul sama sekali," kata Ruslan sebagai mengulas kenyataan Syed Hamid beberapa hari lepas bahawa Keadilan cuba memperalatkan seorang anggota keluarganya untuk mengkritik beliau dan kerajaan.

Syed Mohamed, 49, adalah seorang ahli perniagaan dan menyertai Keadilan Bahagian Cheras kira-kira sebulan yang lepas.