Oleh Polong Cyber
Hasil saranan oleh PM Maha Firaun selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO lebih seminggu lalu di PWTC, maka ahli dan pimpinan UMNO dari kerajaan BN memulakan kempen gila-gila mereka. Antara yang paling lucu dan menarik ialah kenyataan pengampu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishamuddin Hussein, bilamana beliau menyarankan anggota pemuda membawa bendera UMNO supaya pergi ke mana-mana sahaja parti alternatif mengadakan siri ceramah mereka.
Teringatlah saya kepada cara Abu Jahal menangkis RasululLah semasa berusaha menyekat ajaran Islam dari berkembang. Maka Datuk Abu Jahal mengirimkan segala bijak pandainya untuk menemui RasululLah bagi menangkis apa sahaja hujah yang akan dikemukakan baginda.
Maka apabila pasukan bijak pandai itu selesai menemui RasululLah, mereka dipanggil oleh Datuk Abu Jahal bertanyakan apakah mereka telah berjaya mematikan segala hujah-hujah RasululLah, tentang perlunya satu ajaran baru bagi menggantikan amalan pusaka nenek moyang mereka yang dianuti selama ini.
Maka segala bijak pandai itu tunduk membisu. Maka Datuk Abu Jahal pun lantas berkata, lihatlah RasululLah. Sudah disihirnya segala bijak pandai Kota Mekah ini hingga mereka yang selama ini bijak sana dan bijak sini berteleku seperti orang kematian isteri lagaknya. Sebenarnya para ahli bijak pandai itu tertawan dengan hujah Allah dan sabda Nabi Muhammad s.a.w. dan mereka akhirnya beriman dengan RasululLah.
Mengimbau 'taktik' yang digunakan oleh RasululLah dalam sirahnya di atas, maka Barisan Alternatif jangan terlalu cepat melatah dengan kehadiran pasukan bendera Pemuda UMNO ke dalam siri ceramah BA. Malahan jika tidak keberatan persilakan mereka duduk di bahagian hadapan yang menghadap ke pentas ceramah sambil kita semua mengepung mereka dari belakang.
Benarkan mereka untuk mendengar hujah dari pimpinan Alternatif tentang mengapa perlunya sebuah kerajaan baru menggantikan kerajaan BN yang ada sekarang yang juga telah berkurun di takhta persada politik pemerintahan negara. Jika mampu kita semua bertakbir dan latih mereka supaya sama sebagaimana kita bertakbir.
Benarkan pasukan pembawa bendera Pemuda UMNO ini mendengar hujah kita supaya mereka mampu menilai apakah sebenarnya yang kita mahukan. Apakah yang kita perjuangkan selama ini. Mengapakah kita sanggup meredah kesejukan malam dan kedinginan hujan untuk mendengar amanat dari pimpinan kita? Mengapakah kita tiada sebarang keselesaan dalam sessi ceramah kita sebagaimana selesanya bangku dalam dewan atau di stadium?
Para pasukan pembawa bendera Pemuda UMNO juga akan menentukan bahawa benarkah kita dibayar untuk datang ke siri ceramah itu? Adakah kita dibekalkan dengan pengangkutan bas dan makanan percuma? Siapa yang menghulur wang kepada siapa? Benarkah siri ceramah kita orang yang datang muka itu sahaja? Berapa banyakkah bilangan mereka yang datang dalam satu-satu majlis ceramah itu? Adakah ceramah pembangkang selamat? Atau adakah situasinya dalam keadaan yang huru hara? Benarkah penceramah di pentas pembangkang mengajak kepada perpecahan? Adakah penceramah di pentas menghasut rakyat? Benarkah mereka selalu mencarut? Pernahkah mereka baca ayat suci Al-Quran untuk kepentingan politik mereka?
Kelak apabila mereka kembali kepada ketua masing-masing, mereka akan menjadi sebagaimana pasukan 'gerak gempur; yang telah dihantar oleh Datuk Abu Jahal. Mereka akan membisu. Mereka sebenarnya bukanlah disihir. Tetapi mereka akan tahu siapakah sebenarnya menyerang siapa dan mereka juga akan menentukan siapakah yang memfitnah siapa.
Akhirnya kebenaran akan wujud juga. Pasukan 'gerak gempur' Pemuda UMNO akan tahu siapakah pemfitnah sebenarnya!!!