TUDUH MENUDUH DALAM PARLIMEN

Petikan BERNAMA

Seorang timbalan menteri hari ini mencabar Karpal Singh (DAP-Jelutong) supaya mengulangi dakwaan beliau kononnya pihak atasan kerajaan terbabit dalam komplot meracun bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di luar mahkamah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid berkata kerajaan sekarang tidak dapat mengambil tindakan terhadap Karpal kerana dakwaannya sebelum ini dibuat di dalam mahkamah.

"Memandangkan beliau berselindung di bawah kuasa mahkamah, maka kita tidak dapat buat apa-apa. Oleh itu, kerajaan akan mempercepatkan pindaan undang-undang mengenai penghinaan mahkamah," katanya ketika menjawab soalan tambahan Wan Hanafiah Wan Mat Saman (BN-Pokok Sena) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menjawab soalan tambahan Karpal, Azmi berkata laporan ujian makmal Australia yang dikemukakan oleh Karpal di mahkamah, tidak pernah menyebut bahawa pemilik sampel air kencing yang telah diuji itu diracuni, sebaliknya hanya menyebut bahawa kemungkinan besar pemilik sampel itu mengalami keracunan.

Tuduhan bahawa Anwar diracuni oleh pihak atasan adalah satu pembohongan yang dibawa oleh parti pembangkang, katanya.

Sebelum itu, ketika Karpal bangun untuk mengemukakan soalan tambahannya, Dewan Rakyat riuh seketika apabila berlaku pertikaman lidah antara beliau dan beberapa penyokong kerajaan, terutamanya Datuk Badruddin Amiruldin (BN-Yan).

Karpal agak marah dengan tindakan penyokong kerajaan menyebut "pembohong, pembohong, pembohong" terhadap beliau.

Beliau meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tun Mohamed Zahir Ismail, mendisiplinkan penyokong kerajaan yang beliau gelarkan sebagai "binatang" dengan mengurung mereka bersama rusa di taman kawasan Parlimen.

Mohamed Zahir kemudiannya meminta persidangan diteruskan tanpa meminta Karpal menarik balik panggilan itu seperti yang didesak penyokong kerajaan dengan alasan kedua belah pihak bersalah, kerana saling tuduh menuduh antara satu sama lain.

Sebelum itu, ketika menjawab soalan asal Lim Kit Siang (DAP-Tanjong), Azmi berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan kononnya Anwar diracuni tidak perlu ditubuhkan kerana siasatan dan ujian yang dilakukan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) mendapati tuduhan itu tidak benar.

Beliau berkata ujian terhadap sampel kuku, rambut dan air kencing Anwar bagi mengenal pasti keracunan arsenik juga dilakukan oleh makmal lain di dalam dan luar negara.

"Kesemuanya mendapati tidak benar dakwaan bahawa Anwar diracuni, dengan demikian kerajaan berpendapat bahawa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja adalah tidak perlu," katanya.

Azmi turut menafikan dakwaan Lim bahawa orang ramai sudah hilang kepercayaan terhadap pihak polis selepas peristiwa Anwar dibelasah oleh Ketua Polis Negara ketika dalam tahanan polis tahun lalu.

Menurutnya, orang ramai masih mempunyai kepercayaan kuat terhadap pihak polis yang akan terus menjalankan tugas secara profesional serta penuh dedikasi walau apapun tuduhan yang dilemparkan.

"Yang tidak percaya ialah pihak pembangkang khasnya DAP dan rakan mereka yang sentiasa mengembar-gemburkan isu yang berkaitan dengan polis supaya rakyat hilang kepercayaan terhadap polis," katanya.