SURAT PENDEDAHAN KONSFIRASI DSAI

Berikut dipaparkan untuk pengetahuan dan sebaran kepada rakyat Malaysia terutama yang jauh diceruk rantau dan desa.


15hb Ogos 1999

YAB Dato Seri Dr Mahathir Mohamed
Presiden Parti UMNO
Bangunan UMNO
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)
Kuala Lumpur

Daripada
YM Raja Kamaruddin bin Raja Ab Wahid
Ketua Cawangan UMNO
Taman Bukit Andalas
UMNO Bahagian Shah Alam
Selangor Darul Ehsan

YAB Dato Seri,

Bukti Adanya Konspirasi Politik Terhadap Sdr Anwar Ibrahim

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

(Rujuk Akhbar Utusan Malaysia Sabtu 14 Ogos, 1999 muka surat 2 ...... Dr. M : Anwar boleh dedahkan semua dokumen ......perenggan 13 ... ... 'Jadi kalau dia kata orang lain buat konspirasi terhadap dia, itu tidak benar ...... '.

Dengan izin Allah SWT, hari ini saya di ilhamkan untuk menulis kepada YAB Dato' Seri untuk memberitahu bahawa kenyataan Dato' Seri adalah Tidak Benar. Setiausaha Politik Dato' Seri iaitu Dato' Aziz Shamsuddin telah memanggil saya dengan beberapa orang lain untuk merancang menjatuhkan Sdr Anwar dua bulan sebelum Dato' Seri melucutkan jawatannya.

Sebagaimana Dato' Seri maklum apabila Rahim King ditahan dan disoalsiasat oleh pihak polis, beliau telah mendedahkan pengakuan saya melalui surat dan video. Saya juga dipanggil ke Bukit Aman untuk disoalsiasat. Dalam soalsiasat itu saya mengaku apa yang saya buat dan bagaimana Dato' Aziz Shamsuddin terlibat dalam 'Konspirasi terhadap Sdr Anwar Ibrahim'. Saya tidak tahu sama ada laporan tersebut sampai ke pengetahuan Dato' Seri. Walaubagaimanapun adalah amat mendukacitakan Dato' Seri mengeluarkan kenyataan tidak ada konspirasi terhadap Sdr Anwar Ibrahim.

Kenyataan Dato' Seri itu mencabar kebenaran dan kenyataan saya sebagai Ahli UMNO. Saya juga mempunyai maruah diri untuk mempertahankan kebenaran kenyataan saya bahawa apa yang saya katakan adalah benar. Persoalannya mengapa mereka yang terlibat dalam kes Anwar ini Dato' Seri panggil untuk mendapatkan kebenaran: adanya konspirasi politik terhadap Sdr Anwar?

Saya tidak akan membenarkan diri saya dipanggil " Penipu ". Ramai Pejuang Bangsa, Negara dan Agama sanggup berkorban kerana " Maruah Diri ". Kenyataan Dato' Seri menggambarkan kepada Ahli UMNO dan seluruh rakyat yang membaca akhbar tersebut bahawa saya seorang Penipu. Sekarang ini saya bersedia dan sanggup berhadapan dengan Dato' Seri untuk menentukan siapakah ' Penipu ' sebenar; Dato' Aziz Shamsuddin, Dato' Seri atau saya.

Saya tidak faham mengapa Dato' Seri melindungi Setiausaha Politik Dato' Aziz Shamsuddin dalam kes konspirasi terhadap Sdr Anwar Ibrahim. Demi Allah, Demi Rasul, saya akan terus mempertahankan kebenaran wujudnya konspirasi politik terhadap Sdr Anwar Ibrahim selagi ada orang yang mengatakan tidak ada konspirasi politik Anwar Ibrahim.

Bersabit dengan kes Dato' Seri Anwar ini, sejak mula hinggalah ke sekarang ini, ianya banyak sekali menimbulkan keraguan. Daripada telatah Dato' Seri sendiri hinggalah kepada Pemimpin-pemimpin (Ahli MKT) UMNO yang lain, jelas menunjukkan ada sesuatu yang tak kena. Daripada hujah-hujah Pemimpin tertinggi dan cara kes tersebut dikendalikan telah meyakinkan ahli-ahli UMNO seperti saya dan Rakyat umumnya bahawa bukan kebenaran yang dicari.

Walaupun Dato' Seri mengatakan bahawa peranan dan bertanggungjawab Ahli UMNO bukan perjuangan, tetapi yang berlandaskan kepada tatatertib parti dan keutuhan parti; tetapi saya tidak setuju dengan pendapat Dato' Seri itu. Saya tetap meneruskan perjuangan UMNO. Tatatertib parti yang menyekat kebebasan ahli UMNO menegur salahlaku pemimpin UMNO menggunakan kuasa politik adalah pentadbiran kukubesi. Keutuhan parti mesti berlandaskan Perjuangan keujudan UMNO itu sendiri demi survival Bangsa Melayu dan Agama Islam. Teguran ini bukan dari parti pembangkang tetapi teguran dalam parti oleh sebahagian daripada parti.

Tidak semestinya Ahli UMNO menerima dan bersetuju dengan apa yang pemimpin UMNO katakan. Ini terbukti apabila ramai ahli UMNO keluar dari parti UMNO sabit kes Sdr Anwar IBrahim. Sungguhpun UMNO mempunyai hasrat dan matlamat yang besar bagi Bangsa, Agama dan Negara, tetapi semakin lama perjuangan UMNO sudah jauh menyimpang.

Akhir-akhir ini timbul pula beberapa tuduhan kepada beberapa Pemimpin parti termasuk Dato' Seri sendiri. Lagi sekali Pemimpin-Pemimpin kita kelihatan gelabah dan tak tentu arah. Sepatutnya kita wajib menjawab tuduhan-tuduhan tersebut untuk menjaga nama baik parti dan demi kebenaran, tetapi lain pula sasaran kita. Dato' Seri sendiri pernah berkata (di Melaka baru-baru ini) bahawa Kerajaan tidak memilih bulu dan bersedia mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa pun. Hujah-hujah Dato' Seri ini membuat ahli UMNO seperti saya serba-salah. Takyat bertanya-tanya, tidak nampakkah 'Gajah di depan mata' dan 'yang terang lagi tersuloh?' Kenapa tidak diambil tindakan terhadap mereka yang berkenaan?

Demikian juga bersabit dengan apa yang disebut sebagai OSA. Pemimpin kecil di peringkat akar-umbi seperti saya terpaksa berhadapan dengan ahli-ahli UMNO dan rakyat. Terlalu sukar untuk kami menangkis bahkan memalukan kami apabila mereka menyusul soalan; 'Adakah OSA ini digunakan untuk menjaga keselamatan Negara atau keselamatan Pemimpin yang menyeleweng?

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan kepada Dato' Seri bersabit dengan gelagat Datuk Ibrahim Ali yang dalam ceramahnya (anjuran UMNO di kawasan Dewan Undangan Negeri Sg Renggam), telah menghina DYMM Sultan Brunei. Di samping itu beliau telah juga memaki hamun sebahagian para hadirin. Tindakan Datuk Ibrahim Ali ini sesungguhnya amat memalukan dan tidak menguntungkan UMNO.

Akhir sekali Dato' Seri, saya ingin juga mengingati ahli UMNO bahawa kebenaran mengatasi segala-galanya. Maka itu sekiranya Pemimpin sudah menyimpang. kita bertanggung jawab menegur demi menegakkan kebenaran dan demi menyelamatkan Parti.

Wassalam, Amin, Amin, Amin.

Yang Benar

t.t.

Raja Kamaruddin Raja Ab Wahid

Salinan:
DYTM Tengku Idris Shah; MB Selangor: Ketua Bhg UMNO Shah Alam: Semua Ahli UMNO