TAMATNYA ISU KEADILAN BAHAGIAN JELUTONG

Dalam kenyataan akhbar ini sukacita kita memperjelaskan kedudukan sebenarnya.

  1. Kepimpinan KeADILan Negeri telah mengesyaki percaturan politik En. Mohd Mydin semenjak penyertaan beliau dalam KeADILan. Setelah diberi peluang memimpin Bahagian Jelutong ternyata sangkaan kami terbukti kerana kepimpinannya ditolak oleh ahli-ahli parti dan penyokong KeADILan di Bahagian Jelutong berdasarkan kepada latarbelakang kegiatan politik dan peribadi beliau di masa yang lepas.
  2. Dalam persidangan akhbar hari ini KeADILan Bahagian Jelutong mencabar En. Mohd Mydin dan Dr. Ibrahim Saad membuktikan senarai ahli-ahli KeADILan Bahagian Jelutong yang kononnya seramai 248 orang yang telah bertindak keluar dari KeADILan.
  3. Kami memang telah menjangkakan bahawa En. Mohd Mydin dan rakan-rakannya akan bertindak begini mengikut skrip politik UMNO untuk kepentingan diri mereka. KeADILan bersyukur kerana individu-individu seperti ini bertindak keluar dari parti lebih awal dari yang kami jangkakan. Tindakan mereka tidak akan merugikan perjuangan KeADILan. Malah mereka akan menjadi barah dalam UMNO. Terima kasih kepada Dr. Ibrahim Saad kerana berjaya menyelamatkan KeADILan daripada orang-orang yang meletakkan kepentingan peribadi melampaui kepentingan parti.
  4. Hari ini ternyata UMNO dalam keadaan yang tersepit kerana sanggup menerima siapa sahaja termasuk orang yang seperti En. Mohd Mydin yang nyata merupakan satu laibiliti kerana pengundi-pengundi tempatan khasnya di Jelutong tahu siapa sebenarnya beliau ini.
  5. Semenjak peristiharan En.Mohd Mydin keluar dari parti tersebar meluas melalui media massa alur perdana, KeADILan Negeri Pulau Pinang khususnya Bahagian Jelutong telah menerima begitu banyak permohonan  untuk menjadi ahli  dan kesanggupan menyertai perjuangan KeADILan.
  6. KeADILan menafikan kelumpuhan Bahagian Jelutong. Sebaliknya Bahagian Jelutong kini dipimpin oleh En. Mohd Kassim Bin Abd. Karim dengan barisan kepimpinan yang ternyata lebih berkaliber dan lebih penting lagi mendapat penerimaan padu daripada  masyarakat tempatan. Kini KeADILan Bahagian Jelutong lebih mantap dan bersedia menghadapi pilihanraya.
  7. KeADILan tidak mempunyai tempat untuk mereka yang berjuang semata-mata untuk kepentingan peribadi, mencari publisiti murahan  dan sanggup menjadi kuda tunggangan kepada Barisan Nasional.
  8. KeADILan ingin memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa kami tidak akan sekali-kali menyimpang dari dasar pejuangan yang digariskan dalam Agenda Perubahan parti. Ini adalah janji kami dan terbukti mendapat sokongan rakyat kerana pejuangan KeADILan adalah perjuangan rakyat.

Kami berkeyakinan dengan persidangan akhbar ini rakyat akan dapat menilai kedudukan sebenar dan tidak mudah terperangkap dengan mainan politik murahan oleh pihak-pihak tertentu. Pada hari ini juga wakil-wakil Barisan Alternatif hadir bersama bukan sahaja untuk menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi kepada perjuangan KeADILan malah menzahirkan kerjasama yang lebih erat untuk menumbangkan Barisan Nasional di Pulau Pinang.

Kami berterima kasih kepada semua pihak yang turut menjayakan persidang akhbar ini.

Dr Mansor Othman
Ketua Perhubungan KeADILan Pulau Pinang