Kenyataan Media Bersama

Rayuan Pilihanraya: Pertubuhan-pertubuhan Tionghua
9 Rejab 1420 - 19 Oktober 1999

 

Pertubuhan-pertubuhan Tionghua yang menggubalkan naskah “Rayuan Pilihanraya” telah menjemput Parti-parti Alternatif untuk menyertai suatu dialog tentang rayuan mereka.

Kami bersedia menerima jemputan mereka. Parti-parti Alternatif menganggap dialog dan musyuwarah sebagai inti sistem demokrasi dan masyarakat madani. Malah dialog dan syura merupakan teras budaya politik Islam.

Sebahagian besar daripada rayuan pertubuhan-pertubuhan Tionghua tentang hak asasi manusia dan demokrasi; akauntabiliti; sistem kehakiman; Jabatan Peguam negara; pasukan polis; hak wanita; hak pekerja; dasar ekonomi yang adil; penswastaan; rasuah dan alam sekitar harus diberi pertimbangan yang wajar oleh kerajaan. Persoalan-persoalan penting ini merupakan isu-isu utama dalam politik tanah air dewasa ini.

Parti-parti Alternatif juga menyokong sebahagian daripada cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh pertubuhan-pertubuhan Tionghua tentang pendidikan dalam bahasa ibunda. Sekolah-sekolah aliran Tionghua dan Tamil dalam sistem pendidikan nasional harus dikekalkan. Berdasarkan permintaan daripada komuniti-komuniti tempatan, lebih banyak sekolah rendah Tionghua dan Tamil harus dibina. Bahasa Tionghua dan Tamil juga perlu diajar sebagai mata pelajaran dalam jadual waktu biasa sekolah sekiranya 10 atau lebih pelajar berhasrat mempelajari bahasa-bahasa tersebut.

Parit-parti Alternatif juga berpendapat bahawa Lembaga Akreditasi Nasional (LAN) di bawah Kementerian Pendidikan harus menilai secara ilmiah ijazah-ijazah dan sijil-sijil daripada institusi-institusi pengajian tinggi di Indonesia, Filipina, Thailand, Taiwan, India, Pakistan dan China. Ini bermaksud bahawa dasar mengutamakan ijazah hanya dari universiti-universiti di Britain, Australia, New Zealand, Kanada dan Amerika Syarikat perlu dikaji semula. Pada masa yang sama, sijil-sijil yang dikeluarkan oleh sekolah-sekolah swasta di negara kita harus dinilaikan secara ilmiah. Dalam hubungan ini, LAN perlu menilaikan secara adil dan dari segi ilmiah the United Examination Certificate of the Malaysian Independent Chinese Secondary Schools (UISE) yang telahpun diiktirafkan oleh beberapa universiti terkemuka di peringkat antarabangsa.

Dalam mengembangkan pendidikan bahasa ibunda, seperti mana juga dengan usaha menegakkan keadilan sosial, Parti-parti Alternatif berpandukan kepada prinsip-prinsip asas Perlembagaan Malaysia. Perlembagaan Malaysia, umpamanya, mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal dan melindungi penggunaan bahasa-bahasayang lain. Inilah sebabnya Bahasa Melayu diterima oleh semua kaum sebagai tunjang sistem pendidikan nasional. Begitu juga Perlembagaan Malaysia mengiktirafkan kedudukan istimewa kaum Melayu dan kaum bumiputera yang lain serta memelihara hak kaum-kaum yang lain.

Melalui proses mengimbangi hak dan kepentingan semua kaum dan berpandukan kepada kesederhanaan dalam politik, Parti-parti Alternatif beriltizam membina masyarakat Malaysia yang adil, yang ehsan dan yang demokratik.
 

Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
Parti Keadilan Nasional (keADILan)

YB Dato' Fadzil Mohd. Noor
Presiden
Parti Islam SeMalaysia (PAS)

YB Lim Kit Siang
Setiausaha Agung
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Dr. Syed Husin Ali
Presiden
Parti Rakyat Malaysia (PRM)