SURAT TERBUKA BUAT MAHATHIR MOHAMAD

Cucu Datuk Bahaman
21 September 1999

Saudara Mahathir,
Saya meminta saudara membaca dengan teliti dan penuh minat surat saya ini. Saya ingin membuka minda saudara yang semenjak kebelakangan ini begitu bercelaru dan kurang waras sebagai seorang manusia.

Saudara sendiri tentu lebih arif dengan perangai dan sikap saudara sendiri, baik semenjak zaman muda hingga zaman tua renta sekarang. Di zaman muda, saudara terkenal dengan sikap ultra saudara.

Di zaman muda, saudara merupakan duri dalam daging kepada pemerintahan Almarhum Tunku. Saudara sendiri tahu bahawa saudaralah perancang dan mastermind dalam tindak tanduk yang mengkucarkacirkan pemerintahan Tunku lebih kurang 30 tahun lampau. Dan nun..jauh di sudut hati saudara, saudara sendiri mengetahui bahawa Tragedi 13 Mei yang tercetus mempunyai perkaitan amat rapat dengan peranan saudara sebelum dan selepas tragedi tersebut.

Saudara tidak boleh menafikannya. Saudara menjadi biang keladi yang paling pintar dan menjadi bak kata pepatah, lempar batu sembunyi tangan. Sampai sekarang dosa saudara dengan tragedi tersebut belum terhapus. Tangan saudara masih berlumuran dengan darah rakyat kesan perbuatan saudara.

Saudara sebenarnya memang durjana dan sanggup berbuat apa sahaja untuk menjatuhkan orang lain dan meletakkan saudara di puncak kekuasaan yang saudara inginkan. Saudara mungkin merasa diri saudara cukup bijak dan super licik hinggakan saudara mampu menjatuhkan kerajaan Tunku kira-kira 30 tahun lampau.

Kini, di ketika saudara berada di puncak kuasa, saudara menjatuhkan seorang demi seorang timbalan saudara. Bukan apa. Sebenarnya saudara mempunyai sikap dan perangai yang pantang ditegur dan dikritik oleh orang yang lain dari diri saudara sendiri. Ego saudara akan tercabar. Saudara merasa hanya diri saudara sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah.

Saudara Mahathir, dulu mungkin tindak tanduk saudara terhadap timbalan-timbalan saudara yang tersingkir tidak dipedulikan orang. Musa tersingkir mungkin kerana rakyat merasa ‘padan muka’ kerana di tangannyalah berlakunya pembunuhan di Memali. Kemudian Ghafar tersingkir. Pun orang tidak peduli. Mungkin orang beranggapan mintak dijauhkan Allah daripada mendapat seorang Perdana Menteri yang tidak berpendidikan seperti Ghafar Baba itu. Yang kerjanya ke hulu ke hilir mencanang pemberian peruntukan juta-juta kepada rakyat, tapi habuk pun tarak.

Tetapi tindakan saudara pada tanggal 2 September 1998 terhadap timbalan saudara yang bernama Anwar Ibrahim merupakan suatu kesilapan yang amat besar. Suatu kesilapan yang telah meranapkan seluruh kepercayaan rakyat terhadap saudara. Padam lenyap segala jasa-jasa saudara selama 18 tahun menjadi PM.

Saudara sebenarnya terlalu takut dengan bayang-bayang sendiri. Saudara sebenarnya diperdaya oleh orang-orang di sekeliling saudara sama seperti mana Saddam Hussein diperdaya oleh Duta Amerika di Iraq sebelum tercetusnya Perang Teluk dahulu. Saudara tentu ingat bahawa Duta AS itu telah berjumpa Saddam dan menyakinkannya bahawa Amerika sama sekali tidak akan campurtangan sekiranya Iraq menyerang Kuwait akibat perselisihan sebelum itu antara keduanya.

Sayang sejuta kali sayang. Di sebalik kebijakan dan kepintaran saudara itu, rupanya terselit suatu sifat kelemahan yang besar, iaitu mudah termakan cakap orang dan mudah terpedaya dengan hasutan orang-orang bertanduk yang melingkari saudara sehari-hari.

Saya ingin mengembalikan nostalgia saudara ke tahun 1982 dahulu bilamana saudara begitu beriya-iya memujuk Anwar menyertai UMNO. Saudara telah menyakinkan Anwar bahawa dengan saudara menjadi PM, segala idealisme dan cita-cita perjuangan Anwar yang sering dilaung-laungkan di dalam ABIM ketika itu, akan dapat diimplementasikan di dalam kerajaan pimpinan saudara.

Anwar terpukau dengan kebijakkan saudara meyakinkannya, ditambah dengan riak wajah saudara yang nampak seperti ikhlas. Saudara sebenarnya bijak menjinakkan harimau yang akhirnya menjadi kucing belaan saudara. Selama 16 tahun saudara mendidik dan mengasuh Anwar. Selama itulah saudara memberikan tempat dan ruang yang istimewa kepada Anwar, meniti dari tangga ke tangga yang lebih tinggi.

Hinggalah saudara begitu yakin dan menaruh harapan bahawa Anwarlah bakal pengganti dan harapan saudara untuk diletakkan kepercayaan memimpin negara ini. Saudara pun tahu, selama 16 tahun Anwar menjadi anak didik saudara, tidak sedikit pun Anwar ‘durhaka’ kepada saudara, jauh sekali dari menentang.

Namun segala-galanya berubah bilamana mahkluk-makhluk bertanduk di sekeliling saudara, yang dek kerana dengki dan sakit hatinya kepada Anwar, mula memainkan jarumnya dan mencucuk saudara. Maka timbullah cerita-cerita bahawa Anwar sedang membuat persiapan untuk menentang saudara dalam pemilihan UMNO yang lalu.

Suatu kelemahan saudara yang saudara tidak sedar ialah, mudah mempercayai hasutan dan cerita-cerita yang membayangkan suatu ancaman kepada diri saudara. Maka terjadilah apa yang telah terjadi – Tragedi 2 September 1998.

Saya tahu, saudara sama sekali tidak menduga tindakan saudara memecat Anwar telah mengundang pertentangan yang nyata dan menyeluruh dari rakyat. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini, seorang PM yang begitu gah dengan visinya, yang terkenal seantero dunia, telah ditentang dan dibenci sebegitu rupa oleh rakyatnya sendiri. Saudara sebenarnya lupa, di tahun 1974 ketika Anwar menjadi pemimpin pelajar, beliau telah berjaya mengumpul dan menggerakkan kebangkitan rakyat dan mahasiswa untuk menentang kerajaan.

Saudara tersilap dan terbuai dengan mimpi bahawa rakyat tetap akan menyokong saudara ketika mana nama saudara berada di puncak kegemilangan. Namun, perhitungan saudara itu silap kerana saudara sebenarnya telah bertemu buku dengan ruas. Saudara lupa bahawa ketika saudara menjadi Menteri Pelajaran dulu, Anwarlah yang dihadapi oleh saudara.

Kini, suku abad berlalu dan saudara sekali lagi menghadapi seorang manusia bernama Anwar. Seorang manusia yang diberi kelebihan oleh Allah s.w.t. untuk menggerak dan menyatukan hati-hati manusia untuk bersatu di atas satu prinsip perjuangan. Seorang manusia yang bijak mengundang kepercayaan massa dan mendokong prinsip idealisme perjuangan yang hak. Saudara silap kerana gagal mengambil kira faktor ini sebelum bertindak memecat Anwar.

Maka saudara terpaksa membayar harga yang terlampau mahal di atas keputusan bodoh saudara yang berpunca dari hasutan makhluk-makhluk bertanduk di sekeliling saudara. Kenapa saya katakan bahawa saudara terpaksa membayar harga yang terlampau mahal ini ? Ya…kerana saudara tidak lagi menjadi Perdana Menteri rakyat Malaysia, dalam erti kata seorang PM yang berada di hati rakyat, tetapi menjadi seorang PM yang sangat dibenci dan dilaknat oleh rakyatnya sendiri.

Amat malang bagi saudara, ketika di kemuncak kegemilangan saudara untuk menjayakan visi saudara, ketika di kemuncak saudara mendapat sokongan rakyat atas idea cemerlang saudara, maka saudara sendiri yang meruntuhkan kepercayaan rakyat itu. Sebenarnya, saudara mendapat pujian dan sokongan yang cemerlang bukanlah kerana rakyat sukakan saudara 100 %. Tetapi sebenarnya sokongan rakyat itu dek kerana saudara berganding bahu bersama Anwar untuk membawa rakyat negara ini ke mercu kegemilangan.

Saudara ‘bercahaya’ di mata rakyat kerana mendapat ‘cahaya’ dari kehadiran Anwar. Kalau saudara tak percaya, renung dan fikirkanlah. Selepas saudara membuang Anwar, kemana dan dimana sokongan yang saudara perolehi selama ini ? Telah setahun lebih Anwar terbuang, sokongan terhadapnya bukannya makin berkurang, malah saudara sendiri mungkin akan kalah dalam pilihanraya tak lama lagi.

Kemantapan dan kehebatan kerajaan pimpinan saudara selama ini adalah disebabkan faktor Anwar. Saudara tahu, majoriti rakyat inginkan elemen Islam di dalam pentadbiran negara. Kehadiran Anwar dengan imej Islamnya telah membuatkan rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap kerajaan saudara, untuk melaksanakan kehendak Islam seperti citarasa rakyat.

Sebelum memecat Anwar, saudara gagal mengambil kira faktor ini, sebaliknya bertindak mengikut hawa nafsu dan terburu-buru, ditambah dengan ketakutan saudara dengan bayang-bayang Anwar yang kununnya akan menentang saudara, walhal jika dibandingkan dengan Ku Li, saudara sendiri tahu yang Anwar tidak pernah durhaka kepada saudara dan Anwar sendiri pernah berkata yang dia tidak akan menentang saudara. Tetapi saudara takutkan bebayang Anwar mengatasi ketulusan hatinya yang telah berjanji tidak akan menentang saudara.

Saudara Mahathir,
kata pepatah, sesat di hujung jalan baliklah ke pangkal jalan. Telah setahun lebih saudara membuang Anwar. Dan telah setahun lebih jugalah rakyat bangkit menentang saudara dengan tentangan yang amat mencemaskan saudara. Saudara sendiri melihat, walaupun Anwar telah saudara penjarakan seperti mana janji ancaman saudara terhadap Anwar pada pagi 2 September 1998, beberapa jam sebelum saudara memecatnya, namun adakah sokongan rakyat terhadapnya semakin berkurang? Adakah saudara melihat Anwar semakin tersisih ? Adakah saudara melihat rakyat semakin bertambah memberikan sokongan terhadap kerajaan saudara ?

Malah melalui sumber perisikan SB sendiri yang disampaikan kepada saudara, pilihanraya tak lama lagi merupakan yang paling perit untuk saudara hadapi sepanjang karier politik saudara. Saudara kalah pada tahun 1969 tidaklah seaib saudara kalah pada tahun 1999. Di tahun 1969 siapa saudara dibandingkan dengan tahun 1999 ?

Andaikata tindakan saudara memecat, memukul, mengaib dan memenjarakan Anwar itu berjaya menarik dan mengundang simpati dan sokongan rakyat terhadap kerajaan saudara, nescaya saudara tidak perlu merasa gusar dengan maklumat perisikan yang saudara terima, mengatakan bahawa BN akan kalah teruk dalam pilihanraya nanti. Di sebalik kepintaran saudara selama ini, rupanya terselit kebodohan dan kebebalan yang tidak disangkakan bahawa sebenarnya saudara sengaja memandu diri dan kerajaan saudara terjun ke lubang gaung jahannam.

Jika saudara tidak memperlakukan Anwar sebegitu rupa saya rasa tidaklah rakyat terlalu marah. Tetapi saudara memilih untuk mempertahankan ego dan sikap keras kepala saudara daripada tunduk dan akur kepada kebenaran. Hati saudara sungguh kering dan tandus dari sifat–sifat waras sebagai seorang manusia.

Saya yakin, tahap kemarahan rakyat akan reda jika saudara membebaskan Anwar dari hukuman yang saudara reka-reka itu. Sekejam-kejam junta tentera Myanmar pun, cuma mengenakan tahanan di rumah sahaja kepada Aung Su Kyi. Kalau saudara beranggapan bahawa dengan memenjarakan Anwar rakyat akan berbalik menyokong saudara, nyata saudara terlalu bodoh dan tidak melihat realiti. Tidakkah saudara memahami bahawa sudah menjadi fitrah manusia akan bersimpati dan menolong orang yang teraniaya ?

Jika saudara tidak memperlakukan Anwar sebegitu jahat, saya percaya Anwar akhirnya akan menjadi seperti Ku Li juga – hanya mendapat sokongan penyokong-penyokongnya sahaja. Tetapi sekarang, Anwar bukan sahaja disokong dan disimpati oleh rakyat negara ini.malah seluruh dunia menyokongnya. Saudara sendiri mungkin tahu, di Mekah, nama saudara cukup dibenci oleh orang-orang Arab tetapi nama Anwar meniti di bibir mereka dari semasa ke semasa. Saya percaya jika begini keadaannya, saudara akan mati dalam keadaan dilaknat oleh seluruh manusia di bumi ini. Bukankah rasa kebencian yang membuak-buak itu suatu tanda laknat ? Hatta anak sekecil 3 atau 4 tahun pun terlalu benci melihat muka saudara. Bukankah itu suatu tanda laknat ?

Sudahlah saudara. Cukuplah 18 tahun yang dipenuhi dengan onak dan duri melingkari diri saudara sebagai PM. Hentikanlah perbuatan sia-sia saudara itu terhadap Anwar. Sebesar debu pun tiada faedahnya. Kalau saudara fikir dengan menzalimi Anwar dengan tuduhan yang direka-reka itu boleh mengundang keyakinan rakyat, lupakanlah saja.

Bukankah kerana kebodohan saudara memecat Anwarlah maka kemelut yang berlaku di negara kita hari ini semakin rumit. Sepatutnya saudara masih boleh goyang kaki untuk memenangi pilihanraya kelak, tetapi dengan situasi hari ini, saudara tidak lagi dapat nyenyak tidur. Jika saudara beranggapan dengan mengarahkan Ariffin Jaka menjatuhkan hukuman penjara yang panjang ke atas Anwar bakal mengundang kepercayaan rakyat terhadap kerajaan saudara, nyata sekali saudara tersilap perhitungan. Saudara sendiri boleh melihat dengan mata kepala saudara samada sokongan rakyat semakin surut atau tidak terhadap saudara.

Dalam banyak hal, saudara memang banyak telah ditipu dan diperdaya oleh orang-orang yang berada di sekeliling saudara tetapi saudara tidak sedar dan menganggap apa yg datang dari mereka sebagai ‘maklumat’ atau pun nasihat. Cukuplah saudara. Rakyat terlalu benci dengan saudara.

Bukan itu sahaja, malah majoriti menteri-menteri kabinet saudara pun cuma menunggu masa yang sesuai sahaja untuk melanyak saudara. Di depan saudara mereka berpura-pura memberikan sokongan padu, tetapi dalam hati betapa benci dan meluatnya mereka terhadap saudara. Usahlah saudara asyik dibuai mimpi indah lagi. Hari saudara kini boleh dihitung dengan jari. Pilihlah samada saudara mahu berundur secara terhormat atau bakal mendapat aib yang besar kalah dalam pilihanraya.

Dan lagi, usahlah saudara merancang itu dan ini angkara jahat untuk terus berkuasa selepas pilihanraya jika BN kalah. Cukuplah dosa-dosa saudara 30 tahun dahulu menyebabkan rakyat yang tidak berdosa bertempur sesama sendiri. Janganlah ulangi tragedi tahun 1969 menjadi tragedi tahun 1999 pulak. Janganlah tambahi dosa-dosa saudara yang sudah menggunung itu, kelak nanti tidak terbawa memikulnya di Padang Mahsyar.

Kalau saudara kalah dalam pilihanraya nanti (seperti maklumat perisikan yang saudara terima), terimalah kekalahan dengan hati yang terbuka. Saudara sudah tua dan usang. Sebaiknya saudara perbanyakkanlah taubat nasuha dan amal ibadat sebelum ajal datang menjemput.

Insaflah saudara ! Hari saudara sudah berakhir ! Kekuasaan saudara sudah di penghujung ! Saudara sama sekali tidak dapat menongkat langit !