Kenyataan Akhbar
Tahniah, Gus Dur 21 Oktober 1999 |
|||
Parti Keadilan Nasional (KeADILan) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Abdurrahman Wahid (Gus Dur) atas pemilihannya sebagai Presiden keempat Republik Indonesia. Abdurrahman merupakan salah seorang pemimpin utama pergerakan reformasi Indonesia yang berjaya membawa perubahan-perubahan mendalam kepada politik Indonesia. Lahirnya masyarakat demokratik di Indonesia, berikutan perletakan jawatan Suharto, adalah kerana perjuangan Abdurrahman dan pemimpin- pemimpin lain yang menegakkan prinsip-prinsip hak asasi manusia dan keadilan sosial selama tiga dasawarsa. KeADILan berharap Presiden Abdurrahman akan berjaya menyatukan kumpulan-kumpulan politik yang berbeza fahaman dan orientasi dan mengwujudkan keamanan dan kestabilan di Indonesia. Suasana politik yang aman damai akan membolehkan pentadbiran baru meneruskan perjuangannya untuk menegakkan keadilan sosial dan demokrasi yang merupakan agenda utama Abdurrahman. Dalam usaha mencapai matlamat ini, sokongan dan kerjasama semua pihak, termasuk Megawati Sukarnoputri adalah penting. Sebagai pemimpin parti yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihanraya umum Jun 1999, Megawati mempunyai banyak penyokong. Beliau harus digalakkan menyumbang kepada pembinaan negara Indonesia yang adil dan makmur. Parti Keadilan Nasional mengucapkan 'Selamat Maju Jaya' kepada Presiden Abdurrahman dan pemimpin-pemimpin Indonesia yang lain dalam perjuangan murni mereka untuk mengatasi cabaran-cabaran besar yang menghadapi rakyat Indonesia.
DATIN SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Media Statement
|