Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata PAS sedang menumpukan kapada kegiatan dakwah di kalangan orang bukan Islam supaya mereka memeluk
agama itu.
Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata pelbagai teknik sedang digunakan termasuk melalui ceramah politik dan penulisan supaya mereka benar-benar
faham tentang Islam.
"Apabila mereka terima Islam mereka boleh memerintah negeri dan negara dengan nama Islam," kata beliau ketika menyampaikan kuliah Jumaat di
Pejabat PAS, di sini hari ini.
Nik Aziz berkata sudah menjadi tanggungjawab orang Islam untuk berdakwah kepada orang bukan Islam dengan pelbagai kaedah asalkan tidak bercanggah
dengan kehendak agama itu.
Bagaimanapun katanya, sebelum berdakwah orang Islam sendiri mestilah memahami hukum-hakam Islam kerana pernah terdapat mereka yang mendakwa kononnya
orang Islam boleh berbuat sesuka hati terhadap orang bukan Islam.
Nik Aziz berkata dakwaan itu adalah karut kerana Islam tidak membenarkan orang Islam melakukan perbuatan sesuka hati kepada orang bukan Islam tanpa
mengira bangsa dan agama kerana kesemuanya hamba yang dijadikan Allah.®