SAYA TIDAK SANGKA SEDRASTIK INI!

BERNAMA

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak menyangka bahawa "ketegangan hubungannya dengan Perdana Menteri" menyebabkan tindakan drastik diambil terhadapnya.

Anwar berkata beliau telah dimaklumkan oleh Tun Daim Zainuddin, Menteri Kewangan Pertama, bahawa beliau akan didakwa di mahkamah dengan segera terhadap pelbagai tuduhan termasuk rasuah dan salahlaku seks.

"Walaupun saya menjangka masalah akan berbangkit akibat ketegangan hubungan saya dengan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, saya tidak terfikir ada kemungkinan mereka tergamak mengambil tindakan sedrastik itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada hari pertama beliau membela diri terhadap tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandu peribadi isterinya pada perbicaraan yang masuk hari ke-62 hari ini.

Anwar dilucutkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 Sept 1998.

Anwar, 52, dan adik angkatnya Sukma, 38, menghadapi tuduhan bersama meliwat Azizan, 39, di pangsapuri Sukma di Tivoli Villa, Bangsar, di sini pada suatu malam antara Januari dan Mac 1993.

Sukma, ahli perniagaan, menghadapi satu lagi tuduhan iaitu bersubahat dengan Anwar untuk meliwat Azizan di tempat dan pada masa yang sama.

Sebelum itu, ketika diminta mengingati mengenai peristiwa yang relevan sehingga pemecatannya, Anwar berkata ia bermula dengan Daim memaklumkannya pada 12 Ogos 1998 bahawa beliau akan didakwa di mahkamah.

Anwar berkata beliau perlu merujuk kepada buku catatan hariannya bagi mengesahkan tarikh itu, bagaimanapun, buku itu tidak dapat dikemukakan kerana kini berada dengan pihak polis.

Peguam utama Anwar, Christopher Fernando memberitahu mahkamah bahawa notis berhubung perkara itu telah diserahkan kepada pendakwaan semalam tetapi Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail menafikannya, sebaliknya menyatakan bahawa mereka hanya menerima notis itu pagi tadi.

Hakim berkata, perkara itu harus diselesaikan untuk memudahkan perjalanan perbicaraan kes itu.

Anwar berkata beliau mengingati tarikh berkenaan sebagai hari Rabu sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung apabila Daim memaklumkannya bahawa Mohtar telah berbincang berkaitan tindakan yang akan diambil terhadapnya.

Katanya, Mohtar memberitahu Daim bahawa beliau (Anwar) akan didakwa dengan segera dan Daim mengusulkan kepadanya supaya meletakkan jawatan bagi mengelakkan "keaiban terhadap saya dan keluarga".

Anwar berkata beliau memberitahu Daim dengan nada yang keras bahawa beliau terkejut dengan tindakan Mohtar yang memilih beliau (Daim) untuk membincangkan perkara itu, dan berkata "saya tidak gentar pada ugutan", sebelum terus ke pejabat Perdana Menteri.

"Saya memaklumkan kepada Perdana Menteri apa yang diberitahu oleh Tun Daim kepada saya dan saya membantah kerana Tun Daim tidak mempunyai hak atau peranan atau tanggungjawab menguasai atau memberi telunjuk kepada Peguam Negara," katanya.

Anwar berkata Dr Mahathir telah menelefon Mohtar dan beliau dapat mendengar perbualan mereka yang antara lain Perdana Menteri membenarkan Peguam Negara meneruskan pendakwaan terhadap Datuk S. Nallakaruppan (rakan tenis Anwar) dan Khalid Jafri, penulis buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM," dan berkata "tunggu arahan saya selanjutnya mengenai Datuk Seri Anwar".

Mesyuarat Kabinet telah tertangguh sehingga jam 10 pagi setelah beliau meminta penjelasan Dr Mahathir mengenai sebab beliau akan didakwa berdasarkan maklumat yang disampaikan oleh Daim iaitu rasuah dan salahlaku seks, Akta Rahsia Rasmi dan kemungkinan kerana kesalahan mengkhianati negara.

Beliau berkata bagaimanapun, perdana menteri tidak mengesahkannya. "Setelah perdana menteri meletakkan telefon, saya menyatakan semata-mata kerana saya berbeza pendapat dalam beberapa isu termasuk kes-kes rasuah yang besar yang melibatkan pemimpin-pemimpin termasuk kes "bail out" perniagaan yang melibatkan anaknya, Mirzan, dan lain-lain, beliau tidak patut mengambil tindakan untuk merekacipta pertuduhan dan berkonspirasi terhadap saya," kata Anwar.

Beliau berkata isu konspirasi sering dibincangkan antara beliau dan Dr Mahathir berminggu-minggu sebelum kejadian itu dan perbincangan yang agak tegang kerap berlaku semasa pertemuan mereka setiap hari yang bermula antara pukul 8.10 dan 8.15 pagi dan berakhir antara 8.45 dan 9 pagi.

Perbicaraan disambung Isnin ini.®