LUPAKANLAH JANJI MANIS BN

Mr. Canggih

Selama 42 tahun memerintah, mengapa baru kini kerajaan BN sibuk dengan isu perumahan rakyat. Dalam tempoh sedemikian lama masih ada rupanya rakyat yang tidak mampu untuk memiliki walau sekecil bagi tedohan panas dan hujan.

Jika hendak dihitung kembali, Malaysia bukan sebuah negara yang miskin. Sejarah telah mencatitkan  bahawa Malaysia pernah menjadi pengeluar bijih timah terkemuka di dunia. Juga pengeluar getah asli sebelum disaingi dengan hebat awal 80'an. Jadi kemanakah kekayaan negara ini dibawa pergi? Siapakah di antara pemimpin BN yang mahu menjawab persoalan ini?

Janji manis BN bukan sekali dua. Malahan sudah sembilan kali. Di negeri Perak umpamanya, ada yang menjadi setinggan 25 tahun lamanya. Masih ada di Kg. Batu, Menglembu, Perak dan juga di tempat-tempat lain. Menteri Besarnya tahu permasalahan ini. Beliau sendiri pernah berjanji tatkala mula memancing undi di awal pemerintahannya 15 tahun dulu. Janji MB, Ramli Marcos, penduduk setinggan di situ akan dianugerahkan hakmilik seandainya memangkah BN pada pilihanraya kali tersebut.

Namun 3 kali pilihanraya sudah pun berlalu. Nasib penduduk Kg. Batu, Menglembu hanyalah sebahagian kecil  dari masalah perumahan rakyat di negeri Perak. Ramai lagi yang menderita di Kg. Seri Rahmat, Kg. Seri Murni, Jelapang Baru, Ladang Strathisla, Chepor, Ladang Klebang, Sri Klebang, Chepor Dalam, Kg. Jawa, dan lain-lain yang merupakan contoh dalam Lembah Kinta.

Janji manis BN ternyata hanyalah janji. Kini BN berjanji lagi dengan lebih sofistikated janjiannya untuk meraih undi. Peraturan akan diketatkan terhadap semua pemaju yang mempamerkan projek perumahan yang belum mula dibina semasa Kempen Pemilikan Rumah kedua yang akan dilancarkan di seluruh negara.

'Kununnya' mahu rakyat membeli rumah yang bukan sahaja murah tetapi juga berkualiti. Kempen ini akan bermula pada 29 Oktober hingga 7 Disember dan pameran akan diadakan pada 29 Oktober hingga 14 November di Pusat Dagangan Sabah. Hanya beberapa ketika sebelum pilihanraya ke 10.

Bagaimana pun kejujuran membantu terjelma sebagai tidak ikhlas apabila rayuan rakyat yang mahukan pembayaran dilakukan hanya selepas projek perumahan siap diberikan bermacam dalihan.

Walau pun baru-baru ini, ada ura-ura pihak kerajaan akan berbincang dengan pemaju bagi membenarkan pengguna membuat bayaran ke atas rumah mereka selepas projek itu siap, namun ia dilihat sebagai 'cakap politik' sahaja.

Rakyat hendaklah menolak 'janji manis' pemerintah masa kini. Jaminan kerajaan baru Alternatif (BA) yang terdiri dari PAS, KeADILan, DAP dan PRM bahawa akan memastikan setiap warganegara yang berkelayakan, memiliki rumah selepas 5 tahun pemerintahan mereka hendaklah diambilkira.

Apalah untungnya kita memilih BN dan apa pula ruginya kita memangkah BA, jika untuk membela nasib keluarga dan generasi akan datang?®