Pelancaran Tahun Melawat Perak 2000 berlangsung dalam suasana penuh warni malam ini dengan diserikan persembahan kebudayaan serta nyanyian dan lawak
jenaka artis popular tanah air.
Majlis dimulakan dengan tayangan klip video yang memaparkan keunikan destinasi pelancongan terkenal di negeri ini sebaik sahaja Menteri Besar Tan Sri
Ramli Ngah Talib selesai memberikan ucapan perasmiannya.
Lebih seribu penonton termasuk 300 pelancong asing yang dibawa khas oleh kerajaan negeri dihiburkan dengan pelbagai tarian tardisional oleh penari
kebudayaan Perak yang lebih dikenali sebagai Selendang Perak.
Di atas pentas berbentuk talam tembaga atau "semerih" yang turut dihiasi replika labu sayong dan bangunan bersejarah di negeri Perak itu,
beberapa artis terkenal termasuk Rozita Ezlynn, Ruhil Armani Hussein dan kumpulan Senario tidak ketinggalan menghiburkan para tetamu.
Pada majlis itu, maskot Tahun Melawat Perak iaitu Si Labu Sayong turut diperkenalkan manakala tema yang dipilih untuk acara itu pula adalah Perak Bumi
Bertuah - Keindahan Sepanjang Masa.
Perak yang terpilih sebagai destinasi pelancongan domestik utama tahun ini dijangka dapat menarik 2 juta pelancong sepanjang promosi tahun Melawat
Perak tahun depan.