Sebelum kerajaan BN kemuka belanjawan mereka

PARTI ALTERNATIF KEMUKA BELANJAWAN

Oleh Mohd. Shamil Azhar

LENGGONG, PERAK: Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd. Noor berkata, Parti Alternatif akan mengumumkan belanjawan negara Parti Alternatif kepada rakyat sebelum Barisan Nasional membentangkan belanjawannya di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini.

"Parti Alternatif akan melaksanakan belanjawan negara yang dirangkanya sekiranya ia memenangi pilihan raya umum akan datang ini," katanya.

Beliau menyatakan demikian di majlis ceramah anjuran PAS Kawasan Chenderoh di Kampung Sira Puteh, di sini malam kelmarin.

Katanya, kali ini rakyat berpeluang membuat perbandingan di antara belanjawan Kerajaan Barisan Nasional dengan Belanjawan Parti Alternatif untuk tahun 2000.

Di depan puluhan ribu orang yang hadir itu, Dato' Haji Fadzil yakin, Belanjawan Negara Tahun 2000 yang akan dibentangkan oleh Barisan Nasional akan dipergunakan oleh pemimpin BN untuk merasuah rakyat agar menyokong mereka dalam pilihan raya kali ini.

 

Bandingkan belanjawan Alternatif dari BN

Katanya, Parti Alternatif telah memutuskan untuk membentangkan Belanjawan Alternatif untuk tahun 2000 kepada rakyat sebelum Belanjawan BN dibentangkan.

"Ini supaya rakyat dapat membezakan mana yang baik," katanya disambut dengan takbir dan tepuk gemuruh hadirin.

Dato' Haji Fadzil berkata, sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan sebelum selesai perbahasan belanjawan, ini adalah perkara tidak pernah berlaku dalam mana-mana negara demokrasi dan nyata Mahathir begitu terdesak untuk menghadapi rakyat.

Menurutnya, manifesto bersama Parti Alternatif akan diumumkan segera dan ia adalah Rancangan Lima Tahun kiranya berjaya memerintah negara ini.