Raja Komando, 100 penyokong keluar Umno

 Berita Harakah

SHAH ALAM : Ketua Umno Cawangan Bukit Sri Andalas, Raja Kamarudin Raja Wahid atau dikenali Raja Komando, 52, berserta lebih 100 orang penyokongnya mengisytiharkan keluar Umno dan menyerahkan borang keahlian menyertai Parti KeADILan kepada presidennya, Datin Sri Dr. Wan Azizah Ismail di Majlis Ceramah Perhimpunan Rakyat, di Telok Menegon, Sabtu lalu.

Raja Kamarudin amat dikagumi di kalangan penyokong reformasi kerana keberaniannya menyatakan kebenaran, walaupun berhadapan pelbagai risiko.

Beliau juga menyatakan rasa hairan, walaupun kenyataannya menerusi media cetak Alternatif banyak menyerang dan merugikan Umno, tetapi tiada tindakan disiplin atau memecatnya dari parti sehinggalah beliau sendiri keluar parti bersama penyokongnya.

Dalam ucapan perisytiharan di hadapan lebih 5,000 orang hadir malam itu, Raja Kamarudin mengulangi dakwaannya, bahawa perancang utama yang menjatuhkan Dato' Seri Anwar Ibrahim ialah Dato' Aziz Shamsuddin yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Menurutnya, Aziz Shamsuddinlah yang memanggil beliau datang ke pejabatnya dua bulan sebelum Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno.

Dalam pertemuan itu beliau adalah antara beberapa orang yang diminta membuat cadangan atau tuduhan terhadap Anwar sehingga boleh dijatuhkan daripada kedudukannya.

"Menyedari arahan itu sebagai kerja jahat di luar batas kemanusiaan, saya enggan bekerjasama dan meninggalkan mereka sehinggalah berlaku apa yang telah berlaku," kata Raja Kamarudin dalam pengakuannya dengan bersumpah dengan nama Allah.