Kerjasama DAP Dengan PAS Adalah Untuk Memulihkan Keadilan

Lim Kit Siang

Saya baru menerima surat perintah tentang mesyuarat Parlimen yang bermula pada hari Isnin sehingga 9 Disember 1999.

Antara mesyuarat pembentangan Belanjawan tahun 2000 ialah rang undang-undang peribadi yang telah saya hantarkan untuk meminda Akta Kawalan Sewa (Dimansuhkan) 1997 supaya melanjutkan tempoh pemansuhan kawalan sewa pada 31 Disember 1999 kepada 5 tahun kemudiannya, iaitu dari 31 Disember 1999 ke 31 Disember 2004.

Saya juga telah memberi notis tentang usul tersendiri atas integriti kehakiman yang menumpu kepada tuduhan ketidaksenonohan kehakiman yang dibuat dalam kes fitnah Asian Wall Street Journal yang melibatkan Ketua Hakim Negara, Tun Eusuff Chin dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohtar Sidin dan meminta mereka hadir ke Parlimen untuk menjawab tuduhan-tuduhan itu.

Semasa sesi pertanyaan pada hari Isnin, saya akan membangkitkan isu keracunan arsenik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan meminta suatu Suruhanjaya Penyiasatan Diraja untuk menyiasat hal ini kerana orang awam telah kehilangan keyakinan terhadap pengendalian polis selepas kes “mata lebam” Anwar.

Pada hari Selasa yang berikutnya, saya akan menanya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Badawi mengenai penubuhan Police Ombudsman untuk memulihkan keyakinan awam terhadap kebebasan, profesionalisme dan integriti pasukan polis yang disoal akibat daripada kejadian polis gila menembak yang menyebabkan kematian Dr Tai Eng Teck. Saya juga akan meminta Menteri Dalam Negeri memperbaiki kualiti pasukan polis melalui pelarasan gaji dan prosedur pengambilan yang lebih ketat untuk memastikan suatu pasukan polis yang lebih bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan adil.

Pada hari Rabu yang berikutnya, saya akan bertanya kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Ting Chew Peh sama ada kerajaan akan melanjutkan Akta Kawalan Sewa (Dimansuhkan) kepada 5 tahun kemudiannya.

Pada hari Khamis yang berikutnya, saya akan meminta Menteri Dalam Negeri memberi maklumat terkini tentang penyiasatan polis ke atas 4 laporan polis Anwar Ibrahim mengenai korupsi dan penyalahgunaan kuasa di peringkat politik tinggi iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Menteri Kewangan pertama, Tun Daim Zainuddin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Paduka Rafidah Aziz, dua pegawai perundangan tertinggi, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah dan Datuk Gani Patail, serta bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Bagi mesyuarat Parlimen akan datang, Timbalan Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen bagi kawasan Marang telah memberi satu notis lagi bagi rang undang-undang peribadi untuk menjadikan kemurtadan suatu kesalahan hukum bunuh antara Muslim.

Ini bukan kali pertama Timbalan Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang memberi notis sedemikian. Percubaannya dalam beberapa persidangan Parlimen yang lalu telah gagal kerana tidak cukup masa, dan saya menjangka keadaan yang sama akan berlaku pada persidangan Parlimen ini.

Walau bagaimanapun, jika rang undang-undang itu akan diluluskan melalui undi, Ahli Parlimen DAP tidak akan mengundinya.

Kerjasama DAP dengan PAS adalah untuk memulihkan keadilan, kebebasan, demokrasi dan pentadbiran baik dan bukan untuk menubuhkan negara Islam atau meluluskan undang-undang demi menjadikan kemurtadan suatu kesalahan hukum bunuh.

Objektif bersama DAP, PAS, Keadilan dan PRM adalah untuk memulihkan keadilan, kebebasan, demokrasi dan pentadbiran baik yang dijelaskan dalam manifesto pilihan raya bersama yang akan diterbitkan tidak lama lagi pada bulan ini.

Manifesto itu meliputi isu-isu pembangunan negara – politik, ekonomi, pendidikan, sosial, alam sekitar, moral dan sebagainya.

Contohnya, demi memulihkan keadilan dan demokrasi, manifesto bersama itu membuat cadangan seperti memperkukuh Parlimen untuk menyemak calon kerajaan bagi jawatan Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan hakim lain, Ketua Polis Negara, Governor Bank Negara sebelum dilantik oleh Yang di Pertuan Agong; menjamin kebebasan berakhbar; mengkaji semula perlantikan Senator; membolehkan Badan Pencegah Rasuah terus bertanggungjawab kepada Parlimen; menubuhkan satu Suruhanjaya Pilihan Raya yang benar-benar bebas dan boleh dipercayai dan mengurangkan umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun.®