ISU SALAHLAKU SEKS DAIM DIDENGAR DIMAHKAMAH

DSAI membangkitkan isu salahlaku seksual Menteri Kewangan Pertama Tun Daim Zainuddin pada perbicaraan kes liwatnya semalam. Bagaimana pun Hakim Ariffin Jaka menolak kenyataan DSAI dengan mengatakan perkara itu tidak relevan dengan pertuduhan yang dihadapi Anwar dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

DSAI mendakwa Daim telah menggunakan jet peribadinya untuk membawa masuk perempuan-perempuan asing melalui saluran VIP tanpa melalui pemeriksaan kastam dan imigresen. Beliau mempertikaikan kenapa Daim beria-ia menyuruhnya meletak jawatan serta merancang pertuduhan terhadapnya bersama-sama Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah.

"Saya memberitahu beliau, Tun berani mereka-reka pembohongan jahat mengenai dakwaan rasuah dan salahlaku seks saya sedangkan ramai yang tahu yang Tun telah menghabiskan berbilion duit negara dan Tun telah menggunakan jet peribadi untuk membawa masuk wanita asing menggunakan saluran VIP tanpa melalui kastam dan imigresen," katanya.

DSAI berkata demikian ketika disoal peguam utamanya Christopher Fernando pada hari kedua beliau membela diri pada perbicaraan kes liwatnya yang masuk hari ke-64 hari ini.

Anwar, 52, dan Sukma, 38, meliwat Azizan Abu Bakar, 39, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Bangsar di sini, pada satu malam, pukul 7.45, antara Januari dan Mac 1993.

Sukma, seorang ahli perniagaan, juga dituduh bersubahat dengan bekas menteri kewangan itu untuk meliwat Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar di tempat dan pada masa yang sama.

DSAI juga memberitahu mahkamah Daim juga telah menyalahgunakan kuasanya untuk mendapatkan saham bernilai RM400 juta tanpa perlu membelinya yang menyebabkan beliau membantah dan melaporkan perkara itu kepada Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, tiada tindakan diambil terhadap Daim. "Tindakan tidak diambil, duit sahaja yang diambil," katanya menyebabkan mereka yang berada di dalam mahkamah ketawa.

Anwar juga memberitahu mahkamah mengenai wujudnya persengketaan antara mereka berdua yang berpunca daripada pegangannya ketika menjadi Menteri Kewangan dalam membuat keputusan yang melibatkan kepentingan Daim.

Bagaimanapun beliau berkata keputusan akhir yang dibuat selalunya memihak kepada Daim berikutan campurtangan Perdana Menteri.

Pada peringkat ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail membantah atas alasan perkara itu tidak relevan tetapi ditolak mahkamah setelah Fernando menyatakan perkara itu mempunyai hubungkait dengan pembelaan konspirasi sehingga menyebabkan Anwar dituduh meliwat Azizan.

Anwar memberitahu mahkamah bahawa beliau menolong Daim untuk memiliki Hock Hua Bank walaupun beliau tidak bersetuju kerana ia tidak mematuhi peraturan Bank Negara yang turut kurang bersetuju berhubung perkara itu.

Ketika Fernando meminta Anwar memberikan contoh-contoh lain, Arifin berkata ia tidak perlu kerana keterangan yang ada sudah cukup untuk menunjukkan Anwar dan Daim memang bersengketa.

Anwar berkata ketika Daim menasihatkannya untuk meletak jawatan, beliau telah bersemuka dengan menteri berkenaan dan meminta supaya Daim tidak mengugut atau mereka-reka pertuduhan palsu terhadapnya.

Katanya beliau telah memberitahu Daim bahawa perbuatan-perbuatan serta penyalahgunaan kuasa menteri itu akan didedahkan walaupun pada ketika itu Anwar mendakwa Daim dilindungi oleh Peguam Negara dan Perdana Menteri.

Selepas itu, menurut Anwar lagi, mereka bertengkar dan dalam pertengkaran itu, Daim memberitahunya beliau hanya ingin menolong Anwar kerana "jika Datuk Seri meletakkan jawatan, perkara itu akan selesai".

Ketika Fernando menyoal "Adakah Tun Daim, dalam menjalankan konspirasi itu berjumpa dengan Ummi Hafilda Ali?" Anwar berkata Daim sendiri telah mengesahkan secara bertulis bahawa beliau telah bertemu dengan Ummi.

Ummi ialah penulis surat "Perihal Salahlaku Timbalan Perdana Menteri" yang mengandungi dakwaan salahlaku seksual Anwar yang dihantar kepada Perdana Menteri bersama-sama pengakuan bersumpah Azizan bahawa dia diliwat Anwar.

Anwar berkata beliau tahu Ummi Hafilda, Azizan dan Ziela Jalil, isteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob telah bertemu dengan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, yang turut didakwa terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkannya.

Katanya beliau juga tahu bahawa buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM" telah dicetak dan diedarkan dari pejabat yang sebelum itu dimiliki oleh Abdul Rahim di Taman Kosas, Ampang di sini.

Anwar berkata kandungan buku itu menggambarkan beliau sebagai "manusia yang paling jelik" dan ia telah diedarkan kepada sebahagian daripada perwakilan Umno beberapa hari sebelum Perhimpunan Agung parti itu tahun lepas dengan cara memasukkannya ke dalam beg mereka.

Beliau berkata kakitangannya juga memberitahu beliau bahawa buku itu turut diedarkan di luar dewan PWTC, tempat perhimpunan agung Umno itu diadakan.

Bagaimanapun, katanya, ramai perwakilan yang telah mengecam semasa persidangan Umno itu fitnah dan percubaan untuk menjatuhkannya sebagaimana yang terdapat dalam buku itu.

Anwar berkata itu bukanlah kali pertama percubaan untuk menjatuhkannya dibuat kerana pada perhimpunan tahun sebelumnya (1997), surat layang Ummi Hafilda disebarkan untuk tujuan yang sama dan beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Katanya Perdana Menteri ketika menyerahkan surat layang itu kepadanya menyuruh beliau "baca dan musnahkan".®