MIRZAN GAGAL SAMAN CHINA PRESS

Saman fitnah yang dikemukakan oleh pengerusi eksekutif kumpulan Konsortium Perkapalan Bhd Mirzan Mahathir terhadap akhbar Cina, China Press Bhd dan ketua pengarangnya Poon Chau Huay, telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Penyelesaian itu dicatatkan di hadapan Hakim Datin Paduka Rahmah Hussain di mahkamah terbuka hari ini selepas peguam kedua-dua pihak membacakan satu kenyataan berhubung penyelesaian itu.

Menurut kenyataan yang dibacakan peguam Mirzan Datuk V.K. Lingam, tindakan undang-undang itu telah diselesaikan dengan syarat Mirzan menerima kos kerugian dan kos undang-undang yang dipersetujui daripada defendan.

Bagaimanapun jumlahnya tidak dinyatakan.

Katanya defendan juga perlu membuat penarikan balik dan meminta maaf melalui peguam mereka dan berjanji tidak akan mengulangi atau menyiarkan perkataan dakwaan fitnah yang serupa berkenaan beliau dalam apa jua bentuk sekalipun.

"Dengan justifikasi itu, setelah Puan Yang Arif mendengar daripada rakan saya yang bijaksana syarat-syarat yang dipersetujui, plaintif berpuashati," katanya.

Mirzan, anak lelaki sulung Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, menyaman China Press dan ketua pengarangnya dengan menuntut RM200 juta kerana menyiarkan semula satu rencana Asian Wall Street Journal (AWSJ) mengenai kegiatan perniagaannya yang didakwa sebagai fitnah.

Rencana itu yang disiarkan pada 5 Jan tahun ini merupakan terjemahan rencana yang disiarkan pada muka depan dan empat isu AWSJ pada 4 Jan.®