HASRAT NEGARA ISLAM AKAN DITERUSKAN

Timbalan Presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS akan meneruskan hasratnya untuk menubuhkan negara Islam walaupun manifesto Barisan Alternatif yang dianggotai parti itu tidak menyebut perkara berkenaan.

Beliau berkata Pas tidak akan melupakan perkara itu kerana hasrat untuk menubuhkan negara Islam termaktub dalam perlembagaan parti yang tidak boleh diubah dengan senang melainkan menerusi muktamar.

Menurutnya, hasrat PAS untuk menubuhkan negara Islam juga bergantung kepada keputusan pilihan raya akan datang, sama ada parti itu mendapat kerusi majoriti dalam Dewan Rakyat atau sebaliknya.

Sementara itu Tuan Guru Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang berkata PAS Terengganu akan mempunyai manifesto berasingan yang menyatakan secara jelas hasrat parti itu untuk menubuhkan kerajaan negeri Islam di Terengganu yang akan dilancarkan selepas Parlimen dibubarkan.®