MANIFESTO BERSAMA
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Parti Keadilan
Nasional (KeADILan)
Parti Rakyat Malaysia (PRM)
Parti Tindakan
Demokratik (DAP)
Cabaran Terbesar Sejak Kemerdekaan
Dengan
beberapa perkembangan dewasa ini, jelaslah bahawa cabaran terbesar yang dihadapi
seluruh rakyat Malaysia ialah usaha melahirkan sebuah negara yang adil dan
demokratik.
Krisis Politik
Di negara kita kini, telah terdiri sebuah sistem
pemerintahan yang memusatkan kuasa pada pihak eksekutif amnya dan, dengan cara
tertentu yang bermuslihat, pada seorang individu sahaja khususnya. Dengan itu,
sistem ‘sekatan dan imbangan’ (checks and balances) telah dilumpuhkan.
Apabila
kuasa dijadikan milik peribadi seperti itu, maka:
kepentingan pihak berkuasa
diutamakan, kepentingan rakyat diketepikan;
pihak berkuasa menentukan
segala-galanya, termasuk apa yang kononnya merupakan kepentingan rakyat;
daya upaya rakyat pastilah akan musnah;
pencabulan hak asasi manusia
berleluasa;
pihak yang berkuasa tidak lagi menghormati dan tidak
mengendahkan pandangan pihak-pihak lain yang tidak sehaluan dengannya dan
melemparkan berbagai tohmahan terhadap mereka, termasuk tuduhan yang direka;
yang lebih diutamakan daripada segala-galanya ialah kesetiaan membuta tuli
terhadap para pemimpin, meskipun para pemimpin itu terbukti salah; dan
prinsip dan amalan ketelusan awam tidak dipedulikan lagi oleh pemerintah.
Kezaliman, Korupsi, Kronisme dan Nepotisme
Inilah sebabnya KEZALIMAN,
KORUPSI, KRONISME dan NEPOTISME telah menjadi-jadi di negara ini sejak beberapa
tahun yang lalu. Untuk menyembunyikan dan melindungi segala dosa tersebut, maka
terpaksalah golongan yang berkuasa itu melakukan penipuan dan berdusta kepada
rakyat.
Mulai tahun 1980an, DEB dijadikan alasan untuk melakukan pilih kasih (kronisme) dan pilih keluarga (nepotisme) dalam perniagaan dan politik. Memang tidak boleh dinafikan bahawa ramai rakyat Malaysia, terutamanya daripada kaum BumiputeraMelayu, telah mendapat faedah daripada DEB. Tetapi kronisme dan nepotisme dewasa ini bukan demi perlaksanaan DEB, malah telah banyak menguntungkan beberapa kroni, termasuk bukan BumiputeraMelayu, yang cuba berselindung di sebalik DEB. Fitnah terhadap musuh-musuh politik telah menjadi amalan yang biasa di kalangan golongan pemerintah, dan makin bertambah menonjol dengan krisis politik dewasa ini.
Krisis Ekonomi
Krisis kini menjadi lebih runcing memandangkan Malaysia
belum lagi bersedia menghadapi pasaran global yang makin mencabar dan bersaingan
akibat keengganan pemerintah melaksanakan reformasi ekonomi dan politik yang
tulen. Masa depan negara bergantung kepada daya saing dan keupayaan kita
menembusi pasaran global. Satu sistem pentadbiran dan pengurusan syarikat
(corporate governance) dalam satu rangka pengawasan yang telus, tegas dan bebas
daripada campurtangan politik yang tidak wajar dan berkepentingan, amat mendesak
untuk mewujudkan ekonomi yang kukuh.Amalan korupsi, kronisme dan nepotisme di
bawah pemerintahan BN hanya melumpuhkan ekonomi dan daya saingan kita di tahap
antarabangsa di samping menggadaikan masa depan ekonomi, rakyat dan negara.
Di samping itu, pemerintahan BN sedang menyalahgunakan perbelanjaan kerajaan
untuk memeras ugut dan ‘membeli’ rakyat menjelang pilihanraya. Hasil kerajaan
berpunca daripada usaha, kerja dan pendapatan rakyat, bukan milik parti BN.
Maka, rakyat berhak terhadapnya, dan BN tidak berhak langsung menyalahgunakannya
mengikut nafsu dan demi kepentingan kuasa mereka.
Pencabulan Hak Asasi
Pemerintahan BN telah banyak menyimpang daripada
prinsip-prinsip dan hak-hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.
Berbagai undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Mesin
Cetak dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Polis,
dan sebagainya telah menafikan hak asasi rakyat untuk bersuara, berkumpul secara
aman dan berpersatuan. Segalanya bergantung kepada sukahati pihak yang berkuasa.
Malah, hak rakyat merujuk ke mahkamah pun dinafikan atau disanggah.
Dewasa ini, disiplin polis telah banyak merosot akibat penyalahgunaan kuasa pucuk pimpinan negara, yang membawa kepada penyelewengan, termasuk keganasan polis terhadap rakyat jelata, terutamanya golongan yang lemah. Penyelewengan demikian ini jelas mencerminkan lagak samseng pucuk pimpinan pemerintahan, yang tidak menghormati hak asasi rakyat walaupun dijamin dalam Perlembagaan Malaysia.
Krisis Akhlak
Pemusatan kuasa dan kekayaan dalam tangan segelintir
pemimpin tertinggi negara telah menyebabkan keangkuhan golongan berkuasa
sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja tanpa segan-silu, tidak kira benar
atau palsu, betul atau salah, asalkan kuasa mereka berkekalan. Tahap akhlak di
kalangan golongan pemerintah pada umumnya telah mengalami kadar kemerosotan yang
amat menggerunkan. Golongan pemerintah bukan sahaja sudah hilang kewibawaan
moral, malah tidak dapat diharapkan lagi untuk menjadi penyalur kemurnian akhlak
kepada generasi yang akan datang. Golongan muda sudah berasa kecewa; mereka
tidak lagi menghormati para pemimpin yang ada.
Krisis Kewibawaan
Sistem pemerintahan telah memusnahkan kewibawaan
pelbagai institusi masyarakat seperti parlimen, kehakiman, perkhidmatan awam,
polis dan media yang dipertundukkan kepada kehendak pemimpin-pemimpin tertentu.
Ini mendatangkan kesan yang buruk terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia pada
umumnya, malah telah menggugat keyakinan para pelabur, dari dalam dan luar
negeri. Sebenarnya, hanya perubahan pemerintahan ke arah yang adil, bersih,
cekap, jujur dan berkebolehan akan dapat memulihkan kewibawaan pemerintah dan
kepercayaan orang ramai, menyatupadukan rakyat dan memajukan semula bangsa dan
negara.
Pembohongan Barisan Nasional
Pemerintahan BN:
melanggar pelbagai prinsip dan cita-cita dalam pelbagai
dokumen ciptaannya sendiri, misalnya prinsip-prinsip “kedaulatan undang-undang”
dan cara hidup demokrasi yang tercatat dalam Rukunegara;
mengabaikan
tanggungjawab dalam melaksanakan sembilan cabaran Wawasan 2020, terutamanya
cabaran untuk “melahirkan sebuah masyarakat yang benar-benar berakhlak” dan
cabaran “melahirkan masyarakat penyayang”;
tidak merealisasikan
slogan-slogan laungan sendiri - yakni slogan-slogan tentang pemerintahan yang
“bersih, cekap dan amanah”, “kepimpinan melalui teladan”, “tradisi membela
rakyat”, dan sebagainya;
kalau diambilkira juga berbagai kenyataan dan
tuduhan pemimpin-pemimpin utama BN, maka ketara lagi pembohongan mereka kian
merebak.
Cita-Cita Rakyat Diketepikan
Terdapat beberapa keperluan dan cita-cita
asasi rakyat yang sepatutnya diberikan perhatian utama dan segera seperti:
sejumlah besar rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana masih belum
mampu memperoleh kemudahan perumahan yang sesuai;
sejumlah pelajar yang
layak masih tidak dapat menikmati pendidikan tinggi tempatan yang bermutu pada
kos yang berpatutan. Pendidikan yang bermutu bagi semua yang layak merupakan
tanggungjawab kerajaan yang dapat memajukan ekonomi negara dengan lebih segera;
rawatan perubatan yang berkualiti pada kos yang munasabah atau percuma masih
belum terjamin bagi sejumlah besar rakyat.
Di samping itu, rakyat yang makin
sedar bukan hanya inginkan ekonomi dan taraf hidup yang baik, tetapi juga
kemajuan budaya dan rohaniah serta keselesaan persekitaran hidup.
Jelas bahawa kesejahteraan rakyat umum tidak menjadi agenda utama dasar pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada sekarang. Rakyat negara ini mempunyai hasrat yang amat tinggi terhadap pembangunan yang seimbang dan kesaksamaan sosial, sedangkan golongan pemerintah lebih mementingkan projek-projek mega yang raksaksa dan pencapaian bermegah-megah yang menggembungkan sifat takabur diri melalui projek-projek yang hanya mendatangkan manfaat kepada suatu kelompok kecil.
Oleh kerana itu:
jurang pemisah antara golongan berada dan golongan yang tidak berada menjadi
semakin luas pada tahun-tahun sembilan puluhan ini;
semakin meningkatlah
bilangan dan peratusan rakyat yang semakin terpinggir dalam proses pembangunan
ekonomi, yang bukan sahaja tidak adil dan bersifat songsang, tetapi juga boleh
menghalang kemunculan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada masa akan datang;
dasar pembangunan Kerajaan BN memberikan penekanan yang berlebihan terhadap
keuntungan yang bersifat kebendaan sambil mengabaikan pembangunan masyarakat
yang lebih seimbang dari segi rohani, akhlak, budaya dan tamaddun.
Kesedaran Rakyat
Sejak kebelakangan ini, rakyat mulai sedar akan
kecacatan dasar pembangunan BN dan kelemahan pimpinan BN. Maka, mulailah mereka
menyatakan bantahan secara terbuka. Tanpa menghiraukan keluhan ikhlas rakyat,
Kerajaan BN sebaliknya telah cuba menakutkan rakyat bahawa kononnya, keluhan
demikian bersifat ganas dan akan mencetuskan persengketaan kaum.
Menurut tohmahan BN, huru-hara akan terjadi jika sekiranya kekuatan kedudukan Kerajaan BN itu dipersoalkan. Dalam menyebarkan dakyah tersebut, mereka telah memperalatkan sepenuhnya media aliran utama negara ini, yang dikuasai BN sepenuhnya. Tujuan mereka semata-mata untuk menakut-nakutkan dan memecah-belahkan rakyat, yang mulai sedar dan ingin memperjuangkan perubahan yang benar-benar bermakna. Jelaslah bahawa mereka cukup takut dan sedang cuba menghalang rakyat Malaysia daripada menggembleng tenaga demi membawa reformasi untuk melahirkan sebuah negara yang benar-benar adil, saksama dan demokratik.
Selain itu, dalam menghadapi kegelisahan rakyat, pemerintahan BN dengan jelasnya telah memperalatkan sentimen perkauman. Mereka cuba menimbulkan rasa syak wasangka di kalangan pelbagai kelompok kaum dan melaga-lagakan satu kelompok kaum dengan yang lainnya. Malah, BN terus menerus menggembar-gemburkan persengketaan kaum di negara-negara lain yang keadaannya sama sekali berbeza daripada negara ini dan tidak ada relevannya bagi negara ini.
Pemerintahan BN juga memfitnah parti alternatif sebagai agen kuasa asing. Sedangkan merekalah yang mendakwa bahawa pelabur asing akan lari tanpa BN kononnya kerana tidak yakin pada parti alternatif. Rakyat tidak mudah tertipu oleh mereka yang sudah lama bersubahat dengan kuasa asing dari Barat dan Timur. Sekarang, BN cuba memomokkan kuasa asing sebagai alasan atas kegagalan BN dari segi pentadbiran ekonomi. Kita bersyukur kerana permainan jahat ini sudah disedari rakyat dan tidak lagi berkesan.
Barisan Alternatif: Malaysia Yang Adil dan Demokratik
Peristiwa Bersejarah
Kini, telah lahir iltizam yang amat kuat di kalangan
rakyat Malaysia dari pelbagai kaum untuk melaksanakan suatu perubahan besar.
Rakyat Malaysia dari segala lapisan kini telah bertekad untuk melahirkan sebuah
sistem demokrasi:
yang jujur, dinamis dan benar-benar bertanggungjawab
kepada rakyat;
yang mempunyai sistem berparlimen yang dapat mewakili
kepentingan-kepentingan rakyat jelata;
yang mempunyai institusi kehakiman
yang benar-benar bebas dan bersih;
yang mempunyai angkatan polis yang
bersifat profesional, yakni melaksanakan tugas-tugasnya secara adil dan saksama
menurut lunas undang-undang;
yang mempunyai media massa yang tidak
dibelenggu oleh pihak berkuasa semata-mata;
dengan sifat bertanggungjawab
dan ketelusan yang dihargai sebagai ciri asasi sistem pemerintahan;
di mana
perbezaan pandangan dan pendapat bukan sahaja dihormati, malah dimanfaatkan
untuk membaiki kesilapan akibat kekurangan faktor insaniah; dan
yang
mendukung ekonomi yang dinamis, kukuh, adil dan mampu bersaing di tahap
antarabangsa.
Masyarakat adil dan demokratik yang kita hasratkan itu mestilah dibina atas asas nilai-nilai rohani dan akhlak yang tersimpul dalam ajaran Islam dan ajaran-ajaran agama lainnya. Pengamalan Islam sebagai ad-deen dan penghayatan nilai-nilai kerohanian - baik pada tahap individu maupun pada tahap masyarakat - adalah benteng yang melindungi kita daripada korupsi, tamak haloba dan keruntuhan moral.
Demi mencapai natijah ini, institusi keluarga sebagai unit asas masyarakat mesti dimantapkan. Institusi-institusi sosial lainnya juga akan turut dimantapkan untuk menjadi asas pembinaan sebuah peradaban moden yang utuh. Sesungguhnya, dalam usaha membina sebuah bangsa yang berakhlak, perlulah usaha secara sedar untuk menggubal dasar dan program dalam setiap bidang kehidupan masyarakat yang menerapkan prinsip akhlak dan kerohanian yang bersifat universal. Di antara prinsip-prinsip ini, nyatalah bahawa prinsip keadilan mempunyai kedudukan yang utama.
Usaha Kerajaan BN untuk hanya memperjuangkan prinsip keadilan politik dan ekonomi di peringkat antarabangsa di kalangan negara-negara di dunia bukan sahaja tidak jujur, konsisten atau menyeluruh. Sepatutnya, mestilah terdapat iltizam yang lebih untuk menegakkan prinsip dan amalan keadilan dalam Malaysia ini sendiri. Usaha Malaysia sebagai pejuang keadilan antarabangsa ditertawakan masyarakat dunia kerana prinsip yang sama tidak pula diperjuangkan dan dilindungi dalam negara kita sendiri. Sebahagian daripada perjuangan menegakkan keadilan ini ialah perjuangan mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara kita, meskipun kita senantiasa berusaha untuk memupuk hubungan yang baik dengan negara-negara lain.
Janji Kami
Dalam memperjuangkan cita-cita melahirkan negara Malaysia yang
adil dengan nilai-nilai akhlak yang luhur, kita menghormati prinsip-prinsip
asasi Perlembagaan Malaysia, iaitu:
Kedaulatan perlembagaan;
Raja
berperlembagaan;
Demokrasi berparlimen;
Hak-hak kebebasan asasi;
Keluhuran undang-undang;
Kebebasan kehakiman;
Hak dan tanggungjawab
kewarganegaraaan;
Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, dan prinsip
kebebasan beragama;
Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,
bahasa ilmu dan bahasa rasmi, dan hak menggunakan dan mempelajari bahasa-bahasa
lain;
Kedudukan istimewa orang Melayu dan rakyat Bumiputera Sabah dan Sarawak
serta kepentingan-kepentingan sah, dan hak kaum-kaum lain; dan
Sistem
pemerintahan persekutuan yang memenuhi tanggungjawabnya, di mana kedudukan
istimewa negeri Sabah dan Sarawak dilindungi dan dihormati.
Maka, kami berikrar akan:
bersama dengan perjuangan rakyat untuk
melahirkan negara Malaysia yang makmur dan adil berasaskan sistem pemerintahan
demokratik tulen;
melindungi dan mempertahankan hak dan martabat semua
rakyat serta menjamin keadilan untuk semua;
melaksanakan usaha sepadu untuk
mempertingkatkan daya pengeluaran ekonomi, memantapkan kecekapan ekonomi, dan
menyelaraskan pengurusan ekonomi demi menyediakan ekonomi negara menghadapi
cabaran antarabangsa;
menyalurkan sumber-sumber negara, bukan sahaja untuk
memenuhi keperluan asasi rakyat, tetapi yang lebih penting lagi, untuk
memastikan bahawa mutu kehidupan dan kesejahteraan masyarakat pada umumnya
ditingkatkan;
mengagihkan kemewahan dan peluang secara saksama kepada semua;
mewujudkan kemudahan sosial yang bermutu dan persekitaran fisikal yang
bersih dan selesa; memantapkan mutu pendidikan, kesihatan serta perkhidmatan
sosial lainnya; membina masjid dan tempat-tempat ibadah; membina taman-taman dan
perpustakaan-perpustakaan awam; membina pusat-pusat kegiatan budaya dan seni;
dan membuka kesempatan seluas-luasnya untuk memanfaatkan komputer, teknologi
maklumat dan cara komunikasi lainnya; dan
mewujudkan suasana yang
menggalakkan - melalui penyediaan prasarana, pendidikan dan perundangan - ke
arah penghayatan Islam sebagai sistem hidup yang menyeluruh (ad-deen) di
kalangan umat Islam, di samping memastikan bahawa hak masyarakat bukan Islam
mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing terus terjamin.
RANCANGAN DAN PROGRAM
Program Kami
Pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional mengambil
kesempatan di sebalik topeng menangani kegawatan ekonomi untuk menyelamatkan,
malah memperluaskan lagi, kepentingan mereka sendiri serta kroni-kroni mereka.
Mereka memperluaskan lagi kuasa mereka, terutama sekali terhadap sektor korporat (melalui peristiwa seperti CLOB dan MPHB), bank (melalui syarat ‘bantuan’ Danaharta dan Danamodal) serta syarikat niaga saham.
Penyalahgunaan kuasa demikian telah melambatkan pemulihan ekonomi Malaysia berbanding dengan mangsa lain krisis ekonomi di rantau ini. Malah, negara-negara jiran yang mengalami krisis jauh lebih teruk pun kini sedang dalam proses pemulihan, sedangkan asas ekonomi kita sebelum krisis jauh lebih baik berbanding mereka.
Namun, cabaran ekonomi yang terbesar bukan sahaja sekadar pemulihan setelah krisis. Cabaran utama sebenarnya ialah pembentukan rangka pembangunan dan pengawasan nasional untuk masa depan, memandangkan sistem ekonomi antarabangsa yang sudah wujud dan akan berkembang.
Oleh yang demikian, Barisan Alternatif akan membentuk dasar baru untuk menggalakkan pelaburan dan pertumbuhan dalam rangka liberal dan fleksibel, yang dilengkapi dengan rangka pengawasan yang berpatutan untuk menggalakkan pelaburan dan pertumbuhan tanpa mengorbankan kepentingan jangka panjang negara. Masa depan Malaysia akan bergantung kepada penglibatan yang bijak dalam ekonomi global. Tetapi, Malaysia juga memerlukan rangka pengawasan untuk mengelak daripada menjadi mangsa kuasa pasaran modal global, bukan kerana spekulasi antarabangsa sahaja, tetapi juga kerana faktor tempatan, seperti kegunaan modal secara tidak cekap dan produktif, dan campurtangan pemerintah secara tidak telus demi kepentingan tertentu.
Untuk memulihkan ekonomi dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang mantap lagi
mampan, semua sumber ekonomi patut digemblengkan. Suatu rangka pelaburan
menarik, yang dapat menjaga kepentingan rakyat dan negara, akan disediakan.
Retorik kosong Mahathir (sebenarnya, ‘cakap tak serupa bikin’) menjelang
pilihanraya telah menjejaskan pelaburan asing yang baru dan juga perusahaan
pelancongan, serta kepentingan rakyat yang bergantung terhadap kedua-duanya.
Ekonomi dunia kian berubah dengan pesat. Kita mesti menangani perubahan ini
dengan bijak kerana ekonomi kita amat terbuka. Kami menjamin bahawa Barisan
Alternatif akan tetap bersikap bertanggung jawab dan tidak akan mengubah
peraturan dan suasana sesuka hati tanpa menghiraukan kesannya, terutama sekali
terhadap nasib rakyat dan kepentingan nasional. Sementara itu, kami juga akan
mengambil tindakan yang wajar untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul
daripada kekurangan dan kegagalan pasaran tempatan dan global. Khususnya, kami
berjanji mengambil tindakan untuk perbetulkan berbagai herotan yang muncul
akibat pertumbuhan pesat yang tidak seimbang dalam dekad sebelum dilanda
kegawatan ekonomi.
Justeru itu, Barisan Alternatif akan membentuk Majlis Perundingan Ekonomi dan Sosial untuk menggemblengkan bakat-bakat profesional sektor swasta maupun sektor awam serta masyarakat umum untuk mencapai muafakat dan sokongan penuh akan dasar yang dibentuk mengikut kepentingan negara dan rakyat.
Sasaran utama dasar tersebut ialah menggerakkan Malaysia ke arah ekonomi
teknologi tinggi (hi-tech) dan ekonomi maklumat dan ilmiah (information and
knowledge economy) sambil terus memajukan sektor-sektor tradisional seperti
pertanian dan perindustrian. Sebagai sebuah negara yang kecil dengan bilangan
penduduk yang kecil, inilah satu-satu jalan kita dapat berjaya dalam ekonomi
global pada masa akan datang. Fleksibiliti, kecerdasan dan kecergasan dalam
sektor perkhidmatan sedunia, bukan industri berat ala Mahathir yang gagal, yang
akan menjamin kedudukan dan masa depan negara dalam alaf baru.
Sasaran ini
memerlukan masyarakat yang mempunyai tahap keilmuan, kecerdasan berfikir serta
kreativiti yang tinggi. Ia berkait rapat dengan pembentukan sebuah negara
yang benar-benar demokratik dan adil, kerana itulah prasyarat untuk membebaskan
potensi individu dan negara. Ia memerlukan pendekatan baru dan menyeluruh
terhadap pendidikan. Ia memerlukan individu yang mampu mengawasi dan
mendisiplinkan diri, bukan hanya sekadar menunduk kepada perintah atau sekadar
akur hanya apabila diawasi dan dikawal. Malah, kemampuan mengawasi dan
mendisiplinkan diri adalah asas akhlak dalam era teknologi maklumat, kerana itu
sahaja yang mampu menangkis pengaruh, nilai dan kegiatan yang negatif.
Sementara itu, perkembangan antarabangsa jelas membuktikan bahawa ekonomi global yang sedang muncul tiada belas kasihan dan akan mendatangkan kesan buruk dari segi memperluaskan jurang pendapatan di dalam negeri dan di antara negara.
Kami ingin menghalang gejala ini, juga amat prihatin akan keperluan rangka sosial supaya membantu rakyat menghadapi cabaran ini melalui usaha pendidikan, latihan dan kebajikan yang serius dari awal-awal lagi.
Rancangan Bertindak
Berdasarkan prinsip-prinsip yang telah dihuraikan
dalam Muqadimah di atas, maka kami kemukakan, secara lebih terperinci,
perkara-perkara utama yang patut akan kami dilaksanakan oleh kerajaan negara
ini. dalam pelbagai bidang dalam penggal pemerintahan yang akan datang,
sekiranya rakyat memilih Barisan Alternatif.
Secara umum, kami akan mengambil langkah-langkah permulaan untuk membangunkan sistem pemerintahan yang demokratik, telus, bertanggungjawab (accountable), serta berakhlak untuk menyediakan suasana di mana ekonomi kita boleh pulih kembali dengan lebih teguh, mantap dan mampan, rakyat boleh hidup dengan makmur, bebas dan sentosa, dan tanahair kita benar-benar disegani dunia.
Oleh itu, dalam penggal parlimen
nanti, kami bercadang mengambil langkah-langkah tertentu bersesuaian dengan alaf
baru demi:
mengukuhkan ekonomi negara;
meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti
pentadbiran;
mewujudkan kontrak sosial baru;
memupuk perpaduan nasional;
membina demokrasi tulen; dan
memulihkan imej dan kedudukan Malaysia di
pentas dunia
Secara am, sasaran jangka panjang kami ialah sebuah masyarakat maju yang adil yang memenuhi potensi insan dari segi jasmani, mental dan rohani;
yang
matang dari segi politik;
yang bersifat penyayang;
yang kreatif;
yan
mempunyai nilai dan orientasi hidup yang seimbang;
yang benar-benar
menyumbang kepada kebangkitan semula Asia dalam ertikata yang menyeluruh, bukan
hanya ekonomi dan teknologi.
1. Mengukuhkan Ekonomi
1.1. Kurangkan beban rakyat
Kami ingin mengurangkan beban ke atas rakyat.
Maka, sebagai langkah-langkah awal di bawah perlu diambil oleh pemerintah:
:
1.1.1. Kurangkan beban cukai
Meningkatkan paras pendapatan yang
dikecualikan cukai ke RM12,000 setahun di samping meningkatkan elaun anak-anak
ke paras yang munasabah;
Meningkatkan paras pengecualian cukai pendapatan
untuk isteri yang bertugas sebagai surirumah sepenuh masa sebagai tanda
penghargaan akan sumbangan besar mereka;
Meningkatkan paras pengecualian
cukai khidmat kepada jumlah niaga sejuta ringgit setahun;
Menyemak semula
sistem percukaian negara secara keseluruhannya, dengan tujuan untuk
memperkukuhkan hasil kerajaan sambil mengurangkan beban cukai terhadap rakyat,
terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
1.1.2. Hapuskan kemiskinan mutlak
Menghapuskan kemiskinan mutlak dalam
jangka masa separuh penggal;
Mengurangkan kadar kemiskinan dalam jangka masa
satu penggal kepada paras separuh daripada kadar kemiskinan pada tahun 1999;
Membaiki dasar serta rancangan pembasmian kemiskinan supaya dibebaskan
daripada campurtangan politik dan benar-benar membantu golongan termiskin;
Menyelaraskan berbagai program pembasmian kemiskinan yang sedia ada;
Mengurangkan jurang pendapatan serta kekayaan di kalangan rakyat Malaysia
tanpa menjejaskan hak sah semua rakyat.
1.1.3. Bantu peniaga kecil dan penjaja
Menamatkan amalan pelesenan
peniaga kecil dan penjaja sebagai sumber pendapatan negara dan sebagai alat
politik kepartian, sebaliknya menggunakan sistem pelesanan hanya untuk
pengurusan dan pemantauan demi menjamin keselesaan dan kesihatan rakyat, peniaga
kecil dan penjaja;
Menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang selesa,
bersih dan menarik bagi penjaja.
1.1.4. Baiki perkhidmatan pengangkutan awam
Membaiki mutu perkhidmatan
pengangkutan awam dan mengurangkan kadar tambang pada keseluruhannya supaya
sesuai dengan taraf hidup rakyat;
Memberi permit teksi kepada
pengusaha-penguasaha individu dan koperasi mereka, bukan lagi kepada syarikat
besar;
Meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan teksi oleh pengusaha
individu melalui pembentukan koperasi, persatuan, majlis dan sebagainya untuk
menghasilkan sistem pengangkutan teksi yang teratur;
Menurunkan kadar
tambang penerbangan domestik antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan
Sarawak demi mendorong integrasi nasional dan pelancongan dalam negeri;
Memodenkan dan mempertingkatkan perkhidmatan keretapi di Semenanjung
Malaysia;
Memajukan sistem jalanraya di Sabah dan Sarawak;
Memberi
perhatian yang lebih serius terhadap masalah kemalangan dan bahaya lalu lintas
dengan menyediakan kemudahan serta peraturan sesuai yang dapat menjamin
keselamatan orang ramai;
Mengkaji kemungkinan cara pengangkutan awam baru di
bandar-bandar utama di Malaysia untuk membaiki mutu hidup di bandar;
Mengadakan perkhidmatan pengangkutan bas-bas sekolah yang lebih teratur dan
menasabah dari segi tambang untuk meringankan beban kepada ibu-bapa.
1.2. Pertumbuhan Dinamik dan Adil
Supaya ekonomi kita lebih dinamis dan
untuk meningkatkan daya saing kita di pasaran global, kita perlu juga
pertingkatkan permintaan domestik serta pelaburan domestik yang produktif, bukan
membazir. Maka, kami akan:
Mengkaji semula rangka pengawasan yang sedia ada,
dengan tujuan mengatasi kekurangannya;
Memastikan sektor swasta berteraskan
etika pengurusan korporat, sedangkan sektor perbankan dan kewangan tidak
disalahgunakan dan senantiasa diuruskan dengan telus dan bertanggungjawab;
Mengutamakan projek-projek yang menjana manfaat yang paling besar kepada
rakyat seperti projek-projek perumahan kos sederhana dan rendah, projek
memodenkan sistem keretapi, projek jalanraya di negeri Sabah dan Sarawak, dan
sebagainya;
Menghentikan projek-projek mega seperti Empangan Bakun dan
Empangan Sungei Selangor yang membazir, memusnahkan alam sekitar dan tidak
mendatangkan manfaat kepada rakyat;
Mempertingkatkan peluang ekonomi yang
saksama bagi semua rakyat, dengan memberikan perhatian khusus dan bantuan khas
kepada golongan yang dhaif, dan sokongan yang cekap untuk inisiatif usahawan
tempatan, terutamanya usahawan kecil dan sederhana;
Memastikan pembangunan
ekonomi seimbang lagi mampan, dan tidak menjejaskan keutuhan sosial atau
memusnahkan alam sekitar dan sumber alam;
Memastikan rakyat miskin atau
kurang berada di kampung-kampung tradisi, kampung-kampung baru dan ladang-ladang
diserap ke dalam arus utama pembangunan negara menerusi rancangan pembangunan
khas serta memberikan punca pendapatan lebih baik, pekerjaan dan milik tanah
kepada mereka.
Memastikan bahawa hak istimewa tidak disalahgunakan untuk
memberi kemewahan kepada segelintir suku-sakat orang berkuasa.
1.2.1. Memantapkan perindustrian
Walaupun perindustrian di Malaysia agak
maju, kemampuan industri Malaysia masih agak ketinggalan dan kurang diberi
perhatian dan sokongan sewajarnya. Kemampuan industri Malaysia masih tidak
seimbang dan harus diutamakan dengan dasar serta institusi yang sesuai
memandangkan masalah serta cabaran yang dihadapi.
Maka, kami akan:
Memodenkan ekonomi dan membanyakkan industri dengan daya
pengeluaran tinggi bagi meningkatkan daya saing ekonomi negara dan menggalakkan
eksport yang bernilai tinggi;
Mengatasi kelemahan teknologi industri kita yang memperlihatkan jurang yang agak luas di antara yang agak mundur dengan yang paling canggih;
Memastikan bahawa projek-projek besar, termasuklah projek-projek industri berat, dirancang secara sepadu dan selaras dengan pelan induk perkembangan industri yang menasabah;
Memberi insentif serta sokongan lebih untuk industri kecil dan sederhana.
Menggalakkan lagi - melalui sekim insentif yang tepat - hubungan antara
industri tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, dengan
syarikat-syarikat besar antarabangsa untuk meningkatkan pemindahan teknologi
kepada industri tempatan serta kegunaan input tempatan;
Menyokong usahawan tempatan dan menggalakkan perkembangan kemahiran serta kemampuan sumber manusia tempatan tanpa menolak kemahiran luar;
Menggunakan modal, kepakaran, pasaran dan teknologi luar dengan bijaksana demi memperkukuh asas-asas ekonomi tempatan;
Meningkatkan peranan sains dan teknologi demi kemajuan, dan memantapkan pendidikan sains asas di samping kemudahan latihan teknikal yang sesuai;
Meningkatkan dan mempercekapkan peruntukan kewangan serta perangsang lain untuk penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi.
1.2.2. Mengukuhkan pertanian dan perikanan kecil dan sederhana
Kebelakangan ini, BN telah melupakan pentingnya sektor pertanian pada
keseluruhannya, dan nasib serta masalah pekebun kecil khasnya. Kami akan
perbetulkan ini dengan tumpuan yang wajar kepada sektor asas ini, yang
sebenarnya telah menyelamatkan ekonomi Malaysia ketika kegawatan ekonomi
melanda.
Oleh kerana itu, Malaysia perlu:
Mengutamakan pembangunan pertanian untuk
meningkatkan pengeluaran makanan demi keselamatan dan kestabilan negara;
Mempertingkatkan penyelidikan pertanian, khususnya teknologi tinggi, makanan
serta kegunaan industri hasil tanaman di Malaysia;
Menggubal undang-undang demi melindungi kepelbagaian alam (biodiversity) dalam bidang pengeluaran pertanian dan perhutanan, serta mempertingkatkan penyelidikan kegunaan industri bahan kepelbagaian alam;
Mengkaji semula rancangan-rancangan FELDA, FELCRA, RISDA, MAJUIKAN serta
badan-badan kemajuan pertanian dan perikanan lainnya untuk membaiki pengurusan
dan teknologinya demi memanfaatkan para peneroka, petani dan nelayan;
Menyusun semula monopoli pemerintah yang menelan sumber ekonomi kerajaan
supaya menjadi badan yang lebih cekap, berkesan dan sesuai dengan pasaran;
Melaksanakan dengan tegas undang-undang pengasingan kawasan perikanan supaya melindungi nelayan kecil daripada pencerobohan bot besar dan pukat yang merosakkan punca perikanan tepi pantai;
Membangunkan lebih banyak tanah terbiar untuk meningkatkan pembangunan pertanian.
1.2.3. Teknologi dan ekonomi maklumat untuk semua
Rakyat Malaysia
menyedari teknologi maklumat (IT) telah muncul dengan cepat sebagai bidang yang
amat penting dan dinamik dalam ekonomi global, sedangkan pimpinan Mahathir telah
banyak memberi perhatian kepadanya. Akan tetapi, masih terdapat beberapa jurang
yang amat luas, misalnya di antara bandar dan luar bandar, yang mesti diatasi
supaya kita tidak akan ketinggalan zaman dengan kesan yang malang bagi mereka
yang tertinggal.
Oleh demikian, kami akan berusaha:
Mempercepatkan penyambungan infrastruktur telekomunikasi ke seluruh pelusuk
negara dan mengurangkan kos penggunaannya bagi rakyat jelata;
Mengembangkan
pendidikan teknologi maklumat (IT) di semua sekolah dari sekolah rendah;
Merancang semula pengenalan teknologi maklumat (IT) kepada masyarakat umum
dengan lebih berkesan;
Melancarkan program ‘satu kampung, satu pusat IT’ dengan memberi insentif
yang wajar untuk menggalakkan penyebaran kemudahan teknologi maklumat di pekan
kecil dan di luar bandar;
Mewajibkan perancangan infrastruktur teknologi maklumat di semua skim
perumahan yang baru, termasuk rumah kos murah dan sederhana, dan memodenkan
infrastruktur ini di kawasan perumahan sedia ada dengan cara yang paling cekap;
Berunding dengan pengeluar perisian untuk mendapat perisian yang murah untuk
pasaran tempatan.
1.2.4. Utamakan perusahaan kecil dan sederhana
Perusahaan kecil dan
sederhana boleh memainkan peranan yang penting, bukan hanya untuk pemulihan
ekonomi, malah dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa. Akan tetapi, amatlah
ketara rangka institusi kini perlu dirombak semula supaya benar-benar menyokong
pembangunan dan perkembangan perusahaan ini. Banyak insentif perlu diberi untuk
menggalakkan peningkatan secara berterusan teknologi pengeluaran dan
perkhidmatan perusahaan kecil dan sederhana serta daya pengeluaran mereka.
Sehubungan ini, kita perlu:
Menubuhkan dana pelaburan yang dijamin oleh kerajaan untuk pembangunan perusahaan kecil dan sederhana yang diperuntukkan mengikut prestasi, bukan pilih kasih politik.
1.2.5. Merombak rangka dasar penswastaan
Cukup ketara bahawa dasar
penswastaan Barisan Nasional dan pelaksanaannya telah banyak diselewengkan demi
menguntungkan segelintir orang dengan pendekatan pilih kawan (kronisme) dan
pilih keluarga (nepotisme). Melalui penyelewengan demikian, monopoli swasta
telah menggantikan monopoli awam sehingga rakyat dibebankan dengan harga yang
terus meningkat. Rangka pengawasan yang sepatutnya melindungi kepentingan awam
hampir tiada atau pun tidak berkesan.
Penswastaan boleh digunakan secara
berhati-hati demi pembangunan negara, tetapi dasar penswastaan serta
pelaksanaannya perlu dirombak. Kalaulah sektor swasta boleh mengurus
perkhidmatan dan memajukan projek dengan lebih cekap dan menarik modal yang
kekurangan, sektor swasta boleh dijemput mengambilalihnya daripada sektor awam
asalkan kepentingan awam tidak dikorbankan, seperti berlaku di bawah BN.
Kemudahan awam yang bersifat monopoli tidak patut dibenarkan menjadi monopoli
swasta. Di bawah BN, faedah daripada penswastaan dibolot oleh kroni
pemimpin-pemimpin tertentu, sedangkan hanya sedikit faedah yang tumpah kepada
rakyat atau pun sektor awam. Kami berjanji:
Menggantikan dasar penswastaan kini, yang mengandungi unsur udang di sebalik batu, dengan dasar penswastaan telus yang dapat memelihara kepentingan pengguna serta pekerja, dan menjamin hak rakyat. Oleh yang demikian, kami akan memastikan bahawa butir-butir semua kontrak penswastaan diumumkan kepada orang ramai;
Memastikan bahawa dasar penswastaan memanfaatkan masyarakat, dan bukan lagi sekadar menggantikan monopoli awam dengan monopoli swasta;
Memastikan bahawa segala kemudahan dan perkhidmatan awam yang asasi - seperti air, pendidikan, kesihatan dan perumahan rakyat - hanya diperbadankan atau dikorporatkan demi membaiki pengurusan, tetapi tidak diswastakan;
Memastikan bahawa perusahaan awam yang telah pun diswastakan akan diawasi dengan rapi untuk memelihara kepentingan rakyat (perusahaan yang telah pun diswastakan tidak akan dihakmiliknegarakan kerana kami akan patuh kepada undang-undang negara; namun, kontrak yang tidak sah boleh dimansuhkan demi kepentingan rakyat dan negara);
Membentuk sebuah Suruhanjaya Bebas untuk mengkaji dan mengaudit semua projek besar yang telah diswastakan untuk memastikan manfaatnya kepada rakyat.
1.2.6. Memantapkan Sistem Kewangan
Malaysia mesti menyediakan rangka yang
perlu untuk mengurus sistem kewangan kita dengan lebih baik supaya dapat
mengambil tempatnya bersama negara-negara lain dalam masyarakat kewangan
antarabangsa. Maka itu, kami akan membatalkan langkah-langkah kawalan modal 1
September 1998 dan menggantikannya dengan sistem baru untuk mengawasi pengaliran
kewangan supaya dapat mengelak krisis 1997-8 daripada berulang.
Kami akan memperkemaskan sistem kewangan dalam negeri supaya:
bersifat
adil, telus, bertanggungjawab serta tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam;
menyalurkan pelaburan dan kemudahan kredit ke bidang yang produktif, bukan ke
bidang spekulatif;
memulihkan imej, prestij dan kewibawaan Bank Negara;
memastikan perbelanjaan persekutuan disalurkan terutamanya untuk
mempertingkatkan taraf hidup golongan miskin, serta kawasan desa dan pendalaman
yang masih terpinggir.
Sistem percukaian juga akan diteliti dengan tujuan menggunakannya untuk menggalakkan para pengguna dan pengusaha industri supaya lebih peka terhadap pemeliharaan alam sekitar serta perkara-perkara lain yang diingini dari segi kepentingan negara. Antara perkara yang akan diberi perhatian ialah percukaian terhadap untung spekulasi, pengurangan beban cukai pendapatan upah, gaji dan dividen, dan percukaian terhadap sumber-sumber alam untuk menggalakkan penggunaannya yang cermat.
2. Meningkatkan Ketelusan dan ‘Accountability’
2.1. Ke arah politik yang demokratik dan adil
Keperluan proses
pemerintahan yang lebih demokratik amat mendesak. Ketelusan serta akauntabiliti
(accountability) perlu diterapkan ke dalam semua aspek pentadbiran kerajaan,
tanpa mengganggu-gugat kelicinan pentadbiran.
Kami akan menggalakkan
pengagihan kuasa sehingga ke peringkat tempatan supaya lebih melibatkan kerajaan
negeri dalam pembangunan negeri masing-masing, sambil menghidupkan kembali
penyertaan rakyat dalam pemilihan kerajaan tempatan seperti majlis perbandaran,
dan sebagainya. Selain itu, kami berikrar melakukan perkara-perkara di
bawah:
Memperkuatkan kewibawaan Parlimen melalui penubuhan
jawatankuasa-jawatankuasa tetap yang terdiri dari semua parti yang diwakili
dalam Parlimen dengan kuasa menamakan Peguam Negara, Hakim Negara dan
Hakim-Hakim lain, Ketua Polis Negara dan Gabenor Bank Negara yang akan dilantik
oleh DYMM Yang di Pertuan Agong di bawah Perlembagaan;
Menghadkan tempoh
perkhidmatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal
pada masa hadapan;
Menjamin kebebasan media supaya dapat mengawasi dan
mendedahkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa jika berlaku;
Melaksanakan secara tegas semua undang-undang yang kini mewajibkan mendengar
pandangan orang awam (public hearing) sebelum sesuatu projek dilaksanakan atau
peraturan dipinda, seperti Akta Perlindungan Alam Sekitar, pindaan kepada
taksiran nilai hartanah, dll.;
Mengkaji semula kaedah pemilihan anggota
Dewan Negara dengan tujuan memperkenalkan kaedah yang mencerminkan kepentingan
seluruh rakyat;
Memperkenalkan semula sistem pilihanraya bagi kerajaan
tempatan supaya pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi dapat menegakkan
prinsip akauntabiliti;
Memperkenalkan sistem hisbah (ombudsman) sebagai
badan pengaduan awam yang bebas lagi berkesan;
Melindungi, melalui
undang-undang, individu atau kumpulan, yang mendedahkan penyelewengan,
penyalahgunaan kuasa dan rasuah, terutamanya di peringkat atasan.
Menjadikan
Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai sebuah badan bebas yang dilindungi oleh
perlembagaan dan bertanggungjawab terus kepada Parlimen; BPR mestilah diketuai
oleh tokoh yang berwibawa;
Mewajibkan pengisytiharan harta wakil-wakil
rakyat dilakukan secara terbuka pada setiap tahun;
Meningkatkan kewibawaan
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dengan memberikan kuasa penuh perlantikan
Pengerusi serta anggota-anggota lain SPR kepada Parlimen melalui proses ‘open
hearing’;
Membersihkan daftar pemilih supaya bebas daripada ‘pengundi
hantu’, ‘pengundi bertindih’, dan warganegara asing;
Mengurangkan had umur
mengundi bagi warganegara Malaysia kepada 18 tahun dan menjamin pendaftaran
semua warganegara secara otomatik sebagai pengundi yang sah.
2.2. Pulihkan kewibawaan perundangan dan kehakiman
Dalam beberapa tahun
ini, pucuk pimpinan pemerintah sekarang
telah melemahkan kepercayaan umum terhadap kewibawaan perundangan
dan kehakiman di negeri ini. Untuk memulihkan kewibawaan ini, kami berikrar akan
melaksanakan perkara-perkara berikut:
Membentuk sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk mengkaji semula sistem kehakiman
dan pentadbiran undang-undang negara;, dan membuat syor-syor wajar untuk
dilaksanakan, termasuk syor-syor untuk menjamin kebebasan kehakiman, perlantikan
dan pemecatan hakim dan penyalahgunaan undang-undang menghina mahkamah
Memulihkan imej dan kedudukan Polis DiRaja Malaysia dengan menubuhkan satu
jawatankuasa tetap sebagai Suruhanjaya Polis yang bebas untuk menerima dan
mempertimbangkan rayuan rakyat jelata berkenaan kelakuan polis;
Memastikan
bahawa Peguam Negara tidak boleh menjadi ahli yang turut mengundi dalam membuat
keputusan Lembaga Pengampunan, tetapi hanya menjadi sumber nasihat dan maklumat
untuk lembaga tersebut;
Mengasingkan perkhidmatan perundangan dan kehakiman,
supaya kedua-duanya tidak sekali gus dikuasai oleh Peguam Negara;
Menjamin
sistem ‘checks-and-balances’ dengan meminda segala undang-undang yang kini
menidakkan kuasa penilaian semula kehakiman (judicial review), termasuk
undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dll.;
Mengkaji semula
kedudukan, pentadbiran dan perlaksanaan undang-undang syariah bagi menjamin
perlaksanaan keadilan dan melindungi aqidah umat Islam.
2.3 Pulihkan
kewibawaan perkhidmatan awam
Anggota perkhidmatan awam negara mempunyai
kebolehan dan profesionalisme yang tinggi.
Di bawah Kerajaan Barisan
Nasional, terutamanya kebelakangan ini, potensi penuh perkhidmatan awam tidak
tercapai. Sebaliknya, semangat anggotanya semakin merosot kerana perkhidmatan
awam telah dipolitikkan dengan berbagai cara sehingga menjejaskan
profesionalisme anggotanya. Budaya mengiyakan pemimpin politik digalakkan
sehingga menggantikan budaya integriti dan berkhidmat demi kepentingan awam.
Perkhidmatan awam memerlukan perubahan paradigma dan harus diberi peranan
yang berpatutan untuk mengurus pembangunan dan pentadbiran negara tanpa diganggu
oleh politik kepartian.
Demi itu, kami berjanji akan:
Memulihkan
kewibawaan perkhidmatan awam, dengan memanfaatkan sepenuhnya kepakaran dan
pengalaman yang terdapat di kalangan para anggota perkhidmatan awam;
Mengganggap anggota perkhidmatan awam sebagai pasangan yang setaraf dalam
usaha membangunkan negara;
Mengadakan reformasi sektor awam yang perlu demi
meningkatkan kecekapannya dan menaikkan semangat dan etika bekerja dengan
memperbaiki keadaan bekerja dalam sektor awam;
Berusaha menghapuskan jurang
dari segi syarat perkhidmatan di antara sektor awam dan sektor swasta,
terutamanya di kalangan mereka yang mempunyai kelayakan yang sama dan
melaksanakan tugas yang sama;
Mengurangkan jurang pendapatan antara
peringkat tertinggi dan peringkat pertengahan dan bawah sebagai teladan bagi
sektor swasta;
Menggalakkan anggota perkhidmatan awam menunjukkan iltizam
yang baru demi berkhidmat untuk rakyat dan negara, bukan untuk pemimpin politik.
3. Kontrak Sosial Menuju Alaf Baru
Keghairahan Kerajaan BN memajukan
projek ‘mega’ dan menswastakan kemudahan-kemudahan sosial telah mengenepikan
kepentingan dan keperluan rakyat jelata. Maka, perlu dijalin satu ‘kontrak
sosial’ baru antara pemerintah dan rakyat - yang akan mengutamakan keperluan dan
kepentingan rakyat pada masa depan. Kami menganggap hak mendapat perumahan,
pendidikan dan kesihatan sebagai hak asasi rakyat jelata
3.1. Pendidikan
Pengiktirafan rakyat Malaysia terhadap pentingnya
pendidikan merupakan suatu kekuatan nasional. Sikap ini boleh menjamin masa
depan rakyat masing-masing dan negara keseluruhannya.
Pendidikan yang luas juga merupakan satu cara utama untuk mengurangkan jurang sosio-ekonomi, di samping menyediakan rakyat untuk menghadapi cabaran masa depan dan globalisasi.
Sekolah dan institusi pengajian tinggi telah dibangunkan di seluruh negara
dan telah berjaya mendidik ramai orang, tetapi malangnya, ramai lagi yang tidak
berpeluang melanjutkan pendidikan mereka sehingga memenuhi potensi
masing-masing..
Di samping itu, semua warga institusi pengajian menyedari
kelengkapan serta mutu pendidikan dalam negeri semakin merosot, sedangkan
semangat guru-guru sekolah dan pensyarah institusi pengajian tinggi semakin
lemah.
Kemerosotan ini mesti dihentikan dan pembangunan sepadu - yang merangkumi peruntukan serta kurikulum - mesti diutamakan. Penglibatan guru-guru dan pensyarah dalam proses pengurusan amat perlu untuk meningkatkan semangat mengajar.
Masalah utama kini ialah sikap Kerajaan BN, yang mahu menswastakan pendidikan dan menganggap pendidikan sebagai satu lagi cara mengaut keuntungan, iaitu sebagai satu jenis perniagaan. Falsafah dan orientasi institusi pendidikan swasta harus disesuaikan dengan kepentingan awam untuk mengutamakan cita-cita pendidikan, bukan keuntungan semata-mata - seperti berlaku di banyak negara lain.
Maka, kami bercadang mengambil langkah-langkah berikut sebagai langkah permulaan ke arah sebuah sistem yang memenuhi keperluan dan hasrat rakyat untuk pendidikan, serta kepentingan negara dan masyarakat:
Menegaskan bahawa pendidikan merupakan tanggungjawab asasi negara, meskipun
sistem pendidikan swasta dibenarkan;
Sebuah Majlis Perundingan Pendidikan
Kebangsaan akan ditubuhkan untuk memastikan penghayatan Falsafah Pendidikan
Negara dan perlaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan secara berkesan dan adil;
Menghentikan segala usaha ke arah penswastaan institusi pengajian tinggi awam
dan mengkaji semula pelaksanaan dasar pengkorporatan supaya memastikan ia
berpegang kepada prinsip pendidikan dan bukan keuntungan kewangan;
Memperuntukkan perbelanjaan pendidikan supaya lebih seimbang dan adil dan
tiada golongan yang diabaikan;
Mengagihkan lebih biasiswa dan bantuan
pendidikan lain berdasarkan keperluan;
Memperbanyakkan kemudahan taska dan tadika, terutamanya untuk golongan
berpendapatan rendah;
Menjamin terdapatnya pendidikan wajib yang percuma
untuk peringkat sekolah rendah dan menengah rendah;
Meningkatkan mutu dan
kemudahan sekolah di kawasan pendalaman, terutamanya di Sabah dan Sarawak;
Mengkaji semula sekim perkhidmatan guru serta memperkenalkan insentif
tambahan untuk berkhidmat di kawasan pendalaman;
Menaikkan taraf latihan
guru untuk semua peringkat sekolah dan meningkatkan bilangan guru yang dilatih
selaras dengan permintaan;
Memperbanyakkan peluang latihan lanjutan untuk
guru dan pensyarah supaya sentiasa kemaskini dari segi pengetahuan dan kemahiran
mereka masing-masing;
Memantapkan mutu dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai
bahasa perantaraan di kalangan rakyat;
Menggalakkan dan mengembangkan Bahasa
Melayu sebagai bahasa sastera dan budaya yang dinamik, yang diterima dan
digunakan oleh semua kaum di Malaysia;
Menjamin hak mempelajari bahasa ibunda seperti Cina, Tamil, Iban, Kadazandusun dan lain-lain di sekolah dan membaiki pelaksanaan peraturan dasar bahasa ibunda supaya lebih cekap, bermutu dan peka terhadap permintaan ibu-bapa; guru bahasa ibunda yang terlatih mesti disediakan oleh sekolah kerajaan kalau terdapat sekurang-kurangnya sepuluh anak murid yang menghendaki guru bahasa berkenaan dan latihan guru bahasa ibunda akan ditingkatkan di kolej latihan guru dan di institusi pengajian tinggi awam;
Mengekalkan aliran bahasa pengantar di peringkat sekolah rendah seperti yang wujud pada masa kini, di samping menggalakkan integrasi di kalangan para pelajar
yang terdiri daripada pelbagai kaum, misalnya menerusi kegiatan ko-kurikulum;
Menambahkan jumlah dan kemudahan sekolah bahasa ibunda sesuai dengan
permintaan;
Memajukan pengajaran serta pembelajaran bahasa-bahasa
antarabangsa, terutamanya bahasa Inggeris dan bahasa Arab mengikut keperluan
dari semasa ke semasa;
Meningkatkan mutu dan kemudahan yang terdapat di
sekolah rendah dan menengah agama;
Memperkukuhkan kedudukan institusi
pengajian tinggi awam (IPTA) yang sedia ada dan meningkatkan prestasi mereka;
Memperbanyakkan bilangan IPTA secara teratur supaya tidak melemahkan IPTA
yang sedia wujud untuk membolehkan mereka menerima pelajar-pelajar yang layak
dengan yuran pengajian yang paling minima atau percuma;
Memperluaskan skim
biasiswa dan pinjaman, terutamanya untuk pelajar-pelajar dari keluarga
berpendapatan rendah dan sederhana;
Menjamin otonomi universiti dan
institusi pengajian tinggi serta mutu mereka dengan membentuk Suruhanjaya
Universiti yang akan menyelia pengurusan semua universiti, dan meminda AUKU
supaya menegakkan hak asasi masyarakat akademik, termasuk siswa-siswi;
Mengadakan saluran TV pendidikan untuk melengkapi pendidikan formal dan
untuk menggalakkan pendidikan berterusan sepanjang umur, dengan bantuan sektor
korporat swasta dan institusi-institusi pendidikan awam dan swasta;
Memperluaskan skop Lembaga Akreditasi Negara untuk memantau, mengkaji dan
mengiktiraf taraf akademik diploma, ijazah dan sijil peperiksaan di luar sistem
pendidikan kebangsaan. Ijazah-ijazah dari institusi pengajian tinggi Arab,
Indonesia, Filipina, Taiwan, India, Pakistan, China dan negara-negara lain serta
sijil-sijil persekolahan tempatan - seperti Sijil Peperiksaan Sekolah Bebas
Bersatu (United Independent Schools Examination, UISE) - perlu ditimbangkan dari
segi taraf akademiknya.
3.2. Kesihatan
Kerajaan Barisan Nasional mempunyai rancangan
pengkorporatan sistem kesihatan awam sebagai langkah ke arah penswastaan.
Rancangan ini dijalankan tanpa perundingan yang wajar dengan pihak-pihak yang
berkenaan, termasuk kakitangan sistem kesihatan dan rakyat jelata. Setelah
dibantah oleh orang ramai, Kerajaan BN terpaksa mengumumkan pembatalan rancangan
asalnya menjelang pilihanraya, tetapi sedang memindakannya untuk dilaksanakan
setelah pilihanraya.
Walhal, Malaysia mempunyai sistem kesihatan awam antara
yang terbaik dan termurah dari segi kecekapan belanjanya di dunia. Ini telah
dicapai dengan peruntukan belanjawan yang sedikit - pada puratanya, sebanyak 7%
daripada perbelanjaan mengurus dan 4% daripada perbelanjaan pembangunan dalam
tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh setakat ini (1996-1999). Tiada sebab kewangan
mengapa sistem ini perlu diswastakan pada ketika ini.
Oleh demikian, kami akan memastikan pihak-pihak berkuasa patut mengadakan perundingan dengan semua pihak yang
berkenaan tentang cara-cara terperinci untuk meningkatkan lagi mutu
perkhidmatan. Kami berikrar demi mempertahankan dan memajukan lagi mutu
perkhidmatan ini, kami mencadangkan langkah-langkah berikut:.
Justeru itu,
kami akan:
Menubuhkan Majlis Kesihatan Kebangsaan, yang bertujuan memelihara
kepentingan semua rakyat, untuk memajukan lagi mutu kesihatan;
Membatalkan
semua program untuk menswastakan sistem kesihatan awam;
Mengkaji semula -
dari segi kos dan mutu perkhidmatan - segala perkhidmatan kesihatan yang telah
diswastakan;
Meningkatkan peruntukan perbelanjaan untuk sektor kesihatan;
Merombak sekim perkhidmatan kakitangan kesihatan kerajaan supaya lebih
menasabah memandangkan beban kerja serta tanggungjawab mereka;
Mengekalkan
perkhidmatan rawatan kos rendah untuk semua rakyat;
Menubuhkan suruhanjaya
untuk mengkaji kekurangan sistem kesihatan yang sedia ada untuk mengemukakan
cadangan yang perlu untuk memajukan sistem kesihatan sektor awam;
Mengawasi
perkhidmatan rawatan swasta untuk mereka yang mampu dan memerlukannya supaya
mengurangkan penyelewengan;
Mewujudkan pusat kebangsaan kawalan penyakit
bagi melakukan kajian, memantau dan mengawal penyakit-penyakit;
Memperbanyakkan peluang pendidikan serta latihan kepakaran yang berterusan
untuk doktor, jururawat dan kakitangan makmal;
Mengkaji untuk mengiktiraf
kaedah-kaedah rawatan complementary (seperti homeopathy dan perubatan
tradisional) ke dalam sistem kesihatan Malaysia;
Mempertingkatkan
kegiatan-kegiatan promosi dan pendidikan kesihatan, serta kegiatan-kegiatan
pencegahan dan pemantauan penyakit;
Menggalakkan penglibatan kaum wanita
dalam sektor perubatan, termasuk melatih lebih ramai doktor wanita demi
menangani masalah pesakit wanita.
3.3. Perumahan
Perumahan yang selesa pada harga yang berpatutan merupakan
satu keperluan asasi. Keperluan ini makin mendesak dengan proses perbandaran -
kini, hampir 60% daripada penduduk Malaysia berada di kawasan bandar.
Program pembangunan perumahan kos rendah dan sederhana Kerajaan Barisan
Nasional jelas telah gagal sejak tahun lapan puluhan. Akibat dasar songsangnya
dan amalan spekulasi tanah yang berlebihan, terdapat penawaran yang berlebihan
bagi perumahan pada harga yang di luar kemampuan golongan pendapatan rendah dan
sederhana. Maka, golongan-golongan ini telah bertahun-tahun menunggu giliran
mereka; antara hasil kehampaan ini ialah fenomena peneroka bandar (“setinggan”).
Barisan Alternatif akan menubuhkan sebuah Perbadanan Perumahan Rakyat dengan
tugas memenuhi permintaan perumahan kos rendah dan sederhana. Program pembinaan
ini boleh dikorporatkan dan kerajaan akan menguruskan peruntukan perumahan.
Secara tidak langsung, program ini akan mengurangkan harga perumahan di pasaran
terbuka, yang akan menguntungkan semua rakyat.
Selagi masalah perumahan
tidak selesai, hak peneroka bandar hendaklah terus diiktiraf. Peneroka bandar
berhak mendapat perumahan alternatif atau pampasan lain yang wajar kalau
dikehendaki berpindah untuk melicinkan pembangunan. Di samping itu, Kerajaan
Alternatif akan:
Memperbanyakkan rumah kos rendah baik dan selesa yang dapat
memenuhi keperluan asas seisi keluarga dari segi ruang persekitaran;
Menyelesaikan masalah “setinggan” dengan segera, terutamanya di kawasan
bandar, sebaik-baiknya melalui pembangunan perumahan in situ dan/atau sistem
perkongsian tanah (land sharing)
Kekerasan dan pemaksaan mesti dielakkan
dalam proses penempatan semula kaum “setinggan”. Perundingan hendaklah
dijalankan di antara “setinggan”, pemaju dan pihak berkuasa terlebih dulu untuk
menyetujui soal-soal rumah/tanah ganti atau pampasan.
Berusaha untuk
menyediakan kemudahan pinjaman yang murah bagi membantu peneroka bandar memiliki
rumah sendiri.
Kemudahan awam di kawasan rumah pangsa hendaklah
diperbanyakkan untuk menjamin pertumbuhan sahsiah yang seimbang.
3.4 Perkhidmatan Sosial
Kami akan memberi tumpuan yang lebih kepada
keperluan sosial rakyat, terutamanya mereka yang kurang bernasib. Akan tetapi,
ini hanya dapat dilakukan dengan bantuan dan kerjasama daripada pertubuhan
sosial dan komuniti.
Maka, kami akan mengeratkan perhubungan dengan
pertubuhan-pertubuhan tersebut dan menggalakkan mereka mengambil peranan yang
lebih besar dengan sokongan daripada kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan;
Memastikan bahawa negara menyediakan perkhidmatan sosial yang menyeluruh,
adil dan cekap sebagai salah satu tanggungjawab asasi kerajaan;
Memastikan
setiap projek perumahan yang melebihi saiz tertentu menyediakan
kemudahan-kemudahan sosial, seperti padang, kelab rekreasi awam, perpustakaan
dan sebagainya untuk kegunaan rakyat awam;
Mengadakan suatu sistem yang
tersusun lagi menyeluruh untuk melindungi dan membantu kebajikan golongan fakir
miskin, anak yatim, dan ibu atau bapa tunggal;
Memastikan bahawa peluang dan
hak yang sama disediakan untuk orang cacat bagi memperoleh kemajuan diri,
pendidikan, kerjaya, penyertaan dalam masyarakat dan kemudahan yang perlu untuk
hidup berdikari di semua kawasan, kemudahan dan bangunan awam.
3.5. Alam Sekitar
Kerajaan BN hanya bercakap manis tentang alam sekitar
dan pembangunan mampan. Walhal, mereka tiada program untuk pembangunan bestari
terhadap sebarang aspek alam sekitar (sama ada perhutanan, perikanan, perairan
dan udara), malah tidak berupaya menggembelingkan tenaga rakyat untuk memelihara
persekitaran hidup mereka.
Kebanyakan petunjuk alam sekitar menunjukkan kemerosotan mutu alam sekitar, walaupun kerajaan pernah merahsiakan indeks pencemaran udara apabila jerebu bertambah buruk. Apabila sesuatu yang tidak dikehendaki berlaku, seperti keruntuhan tanah, pemimpin kerajaan pandai menyalahkan orang ramai, negara jiran, malah Tuhan juga!.
Bumi adalah
anugerah Tuhan kepada insan. Kadar pemusnahan dan pengurangan sumber alam kini
menimbulkan pertanyaan: Apakah yang akan menjadi pesaka anak-cucu kita? Maka,
secara prinsip, pembangunan tidak harus memusnahkan alam sekitar, dan sebarang
impak negatif pembangunan terhadap alam sekitar mesti diminimakan melalui satu
sistem pengurusan pembangunan yang menyeluruh, kukuh serta berpandangan jauh.
Demi itu, kami berjanji:
Menggubal dasar jangka panjang pembangunan
bestari dengan penglibatan semua golongan masyarakat supaya mendapat sokongan
penuh bagi setiap peringkat kerajaan di kalangan badan-badan bukan kerajaan,
parti-parti politik dan masyarakat umum;
Meminda Akta Perlindungan Alam
Sekitar supaya sesuatu projek tidak boleh dilaksanakan/dimulakan tanpa kelulusan
Penilaian Impak Alam Sekitar dan Sosial dan komitmen penaja secara bertulis
untuk melaksanakan semua syarat pengurangan impak negatif yang ditetapkan oleh
Jabatan Alam Sekitar, dan mengenalpasti prosedur penyampaian maklumat dan
perundingan di dalam proses Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) supaya melibatkan
golongan utama yang terlibat;
Menyelaraskan undang-undang perlindungan alam
sekitar di peringkat negeri dan persekutuan supaya penguatkuasaan dan pengawasan
lebih berkesan dan cekap (cost-effective);
Menguatkuasakan undang-undang
untuk melindungi harta-harta warisan kebangsaan, dan meningkatkan denda dan
hukum kerana kesalahan melanggar Akta Perlindungan Alam Sekitar serta
undang-undang perlindungan harta warisan kebangsaan;
Memastikan bahawa
tiap-tiap negeri mengambil langkah mewartakan taman negara atau taman
pemeliharaan yang menasabah serta tapak-tapak perbandaran dan perumahan baru
dalam pelan induk;
Berusaha ke arah penyelarasan undang-undang perhutanan
dan pembalakan di antara negeri dan mewujudkan sistem pemeriksaan yang bebas
untuk memastikan bahawa semua undang-undangnya dilaksanakan dengan tegas;
Menggalakkan semua negeri mewartakan kawasan tadahan air yang mencukupi bagi
masa depan secepat mungkin;
Berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri supaya
melaksanakan pelan pemeliharaan yang sedia ada serta menyediakan pelan
pemeliharaan yang baru di mana perlu.
3.6. Kepenggunaan dan Harga
Barisan Alternatif menganggap bahawa kerajaan
bertanggungjawab melindungi kepentingan rakyat sebagai pengguna, antara lain
dengan memajukan mutu hidup dan mengawal kos hidup. Oleh demikian, kami
berjanji akan:
Memperkuatkan undang-undang perlindungan pengguna, khususnya
dari segi kawalan harga barang dan kos perkhidmatan serta mutunya, terutamanya
pada musim perayaan;
Mengkaji semula Akta Pengguna supaya sebuah Tribunal
bebas ditubuhkan dengan penyertaan badan-badan bukan kerajaan, untuk
mengenalpasti senarai barang-barang keperluan serta mengawal kenaikan harga
barang-barang tersebut dengan mewujudkan satu sistem indeks harga bagi tujuan
pengawalan;
Menggalakkan gerakan koperasi dalam bidang pengeluaran dan
pengedaran barang perlu;
Menggalakkan persatuan-persatuan pengguna bergiat
dengan lebih cergas supaya meningkatkan tahap kesedaran pengguna akan hak
mereka;
Mengawal pengiklanan supaya tidak menjejaskan maruah kaum wanita
atau golongan lain.
3.7. Pekerja
Supaya Malaysia dapat meningkatkan daya saingnya di dalam
ekonomi global alaf baru, pekerja perlu bersifat fleksibel dari segi kemahiran
dan kemampuan mereka, bersikap inovatif dan sentiasa meningkatkan produktiviti
mereka. Demi itu, proses pendidikan berterusan, suasana bekerja serta rangka
perhubungan perusahaan amat penting, bukan hanya dari segi hak pekerja, tetapi
juga dari segi kepentingan negara. Kami berjanji akan:
Membentuk rangka
perundingan tiga pihak (tripartism) yang berkesan, adil dan demokratik, dan
meminda undang-undang buruh, kesatuan sekerja dan perhubungan perusahaan sesuai
dengannya;
Memansuhkan atau meminda undang-undang yang menyekat hak pekerja
untuk membentuk, menyertai dan bergiat dalam kesatuan sekerja;
Mengkaji
semula dan mengemaskinikan faedah-faedah pemberhentian kerja serta mengkaji
pembentukan dana kebangsaan bagi membantu para pekerja yang diberhentikan
(retrenchment fund);
Menetapkan gaji minima bulanan yang menasabah untuk
pekerja-pekerja bergaji harian;
Menetapkan gaji minima bulanan yang
menasabah untuk pekerja estet dan melaksanakan skim perumahan untuk pekerja
estet secara serius;
Memberi teladan ke arah sistem bekerja 5 hari seminggu
dengan waktu kerja biasa tidak melebihi 40 jam seminggu;
Mengkaji semula
cara pengambilan dan pengupahan pekerja asing di samping mengurangkan
pergantungan kepada mereka;
Mengiktiraf hak penglibatan kesatuan sekerja dan
pemimpin kesatuan sekerja dalam politik kebangsaan;
Menaikkan umur bersara
kepada umur 60 tahun bagi sektor awam sesuai dengan peningkatan kesihatan dan
jangka hidup;
Memastikan gaji atau ganjaran yang sama bagi lelaki dan
perempuan untuk kerja atau tugas yang sama;
Meningkatkan cuti bersalin ibu
di sektor awam kepada 90 hari dan memperkenalkan cuti kebapaan suaminya sebanyak
7 hari;
Memperbanyakkan program latihan dan pendidikan berterusan bersama
sektor swasta demi meningkatkan fleksibiliti, kemahiran dan produktiviti
pekerja;
Mengadakan program latihan semula untuk para pekerja yang
diberhentikan kerja;
Mengkaji semula keberkesanan Institut Nasional Untuk
Keselamatan dan Kesihatan Kerja dan memperbetulkan kekurangan-kekurangannya
3.8. Wanita
Kerajaan BN menganggap kaum wanita sebagai sumber tenaga
manusia sampingan; mereka digalakkan bekerja di luar rumah apabila timbul
kekurangan tenaga pekerja dan kembali ke rumahtangga apabila pengangguran
meningkat.
Kami akan:
Memperketatkan undang-undang berkenaan hak, kepentingan dan
martabat wanita dan memansuhkan undang-undang serta peraturan yang
mendiskriminasi terhadap wanita.
Melindungi hak serta kebajikan wanita yang ditinggalkan suami tanpa nafkah
yang berpatutan.
Meneruskan penerimaan pencen bagi balu walaupun mereka
berkahwin lain.
Menyediakan kemudahan-kemudahan asuhan bayi dalam komuniti
dan di tempat kerja.
Memperkenalkan waktu kerja anjal bagi kaum wanita yang
bekerja.
Mengkaji Agenda Perubahan Untuk Wanita dengan tujuan untuk melaksanakan perakuan-perakuan yang sesuai.
3.9. Belia
Kegagalan atau kurang keberkesanan berbagai program untuk
belia ialah kerana program diatur tanpa perundingan penuh dengan belia sendiri
dan penyertaan mereka. Kami akan memberi nafas baru kepada program belia melalui
perundingan bermakna dengan belia sendiri. Kami akan menimbangkan bagaimana:
Memberi dorongan dan kemudahan kepada belia untuk mempertingkatkan bakat
dalam bidang seni, sukan dan budaya;
Mengadakan projek-projek khusus untuk
mencungkil bakat pimpinan dalam bidang perkembangan diri, budaya, keusahawanan,
dan sosial;
Mengatasi masalah-masalah yang sering dihadapi oleh sesetengah belia seperti pengangguran, salahguna dadah, keciciran dan masalah-masalah akhlak dengan pendekatan yang tidak mengasingkan mereka lagi;
Membuka peluang yang lebih luas kepada belia dari pelbagai latarbelakang sosial untuk menyertai latihan kemahiran dan projek ekonomi;
Menyediakan pusat pemulihan yang lebih berkesan serta peluang pekerjaan bagi belia yang menjadi mangsa gejala sosial, supaya mereka dapat diserap kembali ke dalam masyarakat dari segi peluang kehidupan bermasyarakat.
3.10. Warga Tua dan Pesara
Warga tua dan pesara patut mendapat tempat
yang sesuai dalam masyarakat yang pesat membangun. Oleh kerana tidak terlalu
sibuk dengan beban kerja, warga tua patut digalakkan memainkan peranan lebih
besar dalam masyarakat. Kerajaan tempatan patut memulakan program di kalangan
masyarakat untuk menggerakkan warga tua ke arah ini.
Untuk menjaga kebajikan warga tua dan pesara, kami akan:
Menetapkan kadar pencen minima supaya warga tua mampu menyara diri;
Membolehkan pesara yang masih ingin bekerja supaya dapat menyumbang kepada pembangunan nasional;
Mengadakan sistem tambang separuh harga untuk para warga tua dan pesara bagi semua jenis pengangkutan awam;
Mewajibkan anak-anak dan waris terdekat bertanggungjawab bagi penjagaan warga tua dan menyokong langkah demikian dengan pengecualian cukai serta kemudahan-kemudahan lain;
Memastikan bahawa warga tua mendapat keutamaan dalam menetapkan giliran mengerjakan haji;
Menggalakkan badan-badan bukan kerajaan mengembangkan lagi program dan kursus untuk golongan warga tua dan pesara yang ingin mencungkil bakat dan menguasai kemahiran baru, menyertai pelancongan bersifat pendidikan, kursus bahasa, pendidikan jasmani, dan sebagainya.
4. Perpaduan Nasional
Perpaduan nasional masih merupakan cabaran besar
bagi Malaysia. Oleh demikian, Barisan Alternatif akan menumpu perhatian terhadap
usaha berterusan untuk mengeratkan perpaduan antara semua golongan masyarakat
Malaysia:
Menghapuskan amalan dan dasar “pecah dan perintah” antara kaum yang sering diamalkan oleh Kerajaan BN untuk terus berkuasa;
Menegakkan perpaduan nasional berasaskan keadilan serta kepelbagaian budaya;
Mendukung peruntukan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan, tetapi menentang penyalahgunaannya (misalnya untuk menguasai kekayaan bagi segolongan kecil kroni), dan memperluaskan lingkungan tindakan afirmatif kepada golongan yang lemah dan mundur tanpa mengira kaum, latarbelakang sosial dan agama.
Memberi perhatian dan tumpuan yang wajar kepada Orang Asli serta semua kelompok orang-orang asal di Sabah dan Sarawak, dan meminda berbagai dasar dan peraturan berkenaan mereka supaya berlaku adil terhadap mereka,; termasuk menubuhkan Suruhanjaya untuk melindungi tanah Hak Adat Orang Asal (native customary rights, NCR) menyelesaikan masalah-masalah tuntutan tanah di samping menghormati nilai-nilai dan tradisi masyarakat orang asal;
Memantapkan hubungan baik antara Negeri dan Pusat dalam rangka sistem Persekutuan yang adil dan bertanggungjawab lagi demokratik dalam perkara-perkara seperti peruntukan kewangan, penggunaan sumber alam dan pentadbiran tanah. Dalam hubungan ini, Perjanjian Petroleum antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri harus dikaji semula untuk menjamin keadilan untuk semua pihak;
Memantapkan integrasi nasional dengan memulihkan hak serta keistimewaan yang
pernah dijanjikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak di samping mengelakkan
penyalahgunaan keistimewaan ini oleh segelintir pemimpin politik BN serta kroni
mereka;
Menubuhkan sebuah Majlis Hubungan Kaum yang bebas yang melapor terus
kepada Parlimen demi membantu pembentukan Bangsa Malaysia yang bersatu padu.
4.1. Agama dan Budaya
Oleh kerana masyarakat adil yang menjadi hasrat
kita dibina antara lain atas asas agama dan budaya, kita harus menentukan bahawa
perspektif dan pendekatan kepada persoalan-persoalan agama dan budaya akan
membantu kita mencapai matlamat yang murni itu.
Membentuk Suruhanjaya Kehakiman Syari’ah di peringkat Persekutuan;
Mengurangkan pengaruh politik kepartian dalam Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, masjid-masjid dan institusi-institusi agama Islam yang lain;
Memperuntukkan tanah perkuburan dan tapak rumah ibadah bagi masyarakat bukan Islam selaras dengan prinsip kebebasan beragama;
Memperbanyakkan dailog antara agama dan budaya untuk memupuk persefahaman di kalangan rakyat Malaysia;
Menggalakkan pengkajian, penerangan, perbincangan dan penghayatan semua peradaban besar dunia yang memperkayakan budaya rakyat Malaysia;
Mengembangkan budaya Malaysia yang berteraskan nilai-nilai akhlak dan prinsip-prinsip hidup yang mulia. Pembentukan budaya Malaysia memerlukan sikap terbuka kepada kepelbagaian budaya kaum dan suku kaum negara. Pada masa yang sama, rakyat harus memahami hakikat sejarah negara dan evolusi masyarakat Malaysia. Unsur-unsur budaya yang sihat dari luar harus diterima, tertakluk kepada tata susila masyarakat kita.
5. Membina Demokrasi Tulen
Demokrasi tulen memberikan ruang yang bermakna
untuk penyuaraan pendapat orang awam serta penyertaan orang awam dalam berbagai
proses pemerintahan harian dan bukan hanya sekadar mengundi lima tahun sekali.
Kumpulan-kumpulan yang berkepentingan patut dibenarkan mengutarakan dan memperdebatkan pandangan masing-masing jika tidak menjejaskan keselamatan negara, tidak menghasut kelakuan ganas, atau bersifat fitnah semata-mata.
Maklumat yang penting haruslah terbuka kepada semua yang menghendakinya, tertakluk kepada undang-undang negara, yang harus dipinda untuk hanya merahsiakan perkara yang perlu dirahsiakan seperti rahsia ketenteraan.
Kami akan mengurangkan atau menghapuskan sama sekali segala bentuk tekanan atau ancaman pemerintah. Semua undang-undang anti-demokratik, seperti tahanan tanpa bicara, akan dimansuhkan.
Namun, kami akan memperkenalkan berbagai peraturan minima, yang membawa hukuman yang berat sekiranya dilanggar. Demokrasi tulen tidak bermakna ‘apa saja pun boleh’, tetapi ia memerlukan rakyat yang bertanggungjawab supaya mengawal diri dalam rangka peraturan-peraturan minima ini.
Kami juga akan:
Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan
menghentikan amalan penahanan tanpa bicara.
Menubuhkan Suruhanjaya Bebas untuk mengkaji semula akta dan undang-undang (seperti Akta Rahsia Resmi (OSA), Akta Hasutan, Akta Polis, AUKU, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dll) dengan tujuan menghapuskan aspek-aspek yang zalim dan mencabul hak asasi manusia.
Menjamin kebebasan media serta hak berkumpul, bersuara dan berpersatuan melalui pindaan kepada akta dan undang-undang tersebut; RTM akan diperbadankan tertakluk kepada sebuah Suruhanjaya Penyiaran yang bebas.
Memastikan bahawa semua dasar, akta dan undang-undang diselaraskan dengan sikap menjunjung kemuliaan dan martabat insan.
Memastikan Suruhanjaya Hak-hak Asasi Manusia yang bebas dan berwibawa untuk melindungi dan memupuk hak-hak asasi manusia rakyat, di mana keahliannya mewakili semua golongan utama dalam masyarakat madani.
Menggubal suatu Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act) bagi menjamin ketelusan dan pengaliran maklumat kerajaan kepada rakyat.
Menggubal undang-undang untuk melindungi orang yang membongkarkan rasuah, penyelewengan dan salah laku kerajaan yang lain untuk membaiki pentadbiran.
Menandatangani dan mengesahkan Kovenan Antarabangsa Tentang Hak-hak Sivil dan Politik dan Kovenan Antarabangsa Tentang Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Budaya.
Meningkatkan mutu dan keberkesanan pendidikan hak asasi di semua peringkat persekolahan dan institusi pengajian tinggi serta pusat-pusat latihan perkhidmatan awam.
Membaiki pentadbiran penjara supaya orang tahanan mendapat layanan yang sesuai dengan piawaian antarabangsa.
6. Memulihkan Imej dan Kedudukan Antarabangsa
Nama baik Malaysia telah
dicemarkan oleh Kerajaan BN kebelakangan ini, bukan hanya kerana kes Dato’ Seri
Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng serta kenyataan-kenyataan yang melulu, tetapi
kerana amalan bertalam dua muka di dalam dan di luar negeri. Namun, Malaysia
mempunyai peranan yang penting dalam arena antarabangsa akibat beberapa kejayaan
dasar luar negeri yang kami akan pertahankan.
Kami akan tetap:
Memberi tekanan kepada pendirian-pendirian antarabangsa
Malaysia yang mendukung keadilan dan kepentingan negara-negara membangun di
medan dan badan antarabangsa, dan akan meminda dasar luar negara Malaysia yang
bercanggah dengan pendirian ini;
Memperjuangkan pandangan dan kepentingan dunia membangun dalam forum-forum antarabangsa, dan kami akan cuba sedaya upaya untuk menggerakkan semula pergerakan negara berkecuali (non-aligned movement) dan memberikan nafas baru kepada Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC);
Memperjuangkan reformasi dalam berbagai badan antarabangsa supaya lebih bersifat demokratik serta telus, dan kurang bersifat alat kuasa besar;
Menyediakan negara untuk menangani globalisasi dengan prinsip ‘terima yang
jernih, buang yang keroh’;
Menjalin hubungan persahabatan dengan semua
negara yang inginkan kedamaian dan kerjasama yang saling menguntungkan.
Oleh
yang demikian, kami akan:
Mendukung sistem antarabangsa baru yang adil serta demokratik, berdasarkan kesaksamaan dan kedaulatan nasional, saling hormat-menghormati, dan hak asasi;
Melaksanakan dasar luar yang bebas serta berkecuali dan memastikan kepentingan ekonomi dan politik negara Malaysia sekali-kali tidak tertakluk kepada kepentingan kuasa besar dunia;
Memperjuangkan reformasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), IMF (International Monetary Fund), Bank Dunia dan WTO (World Trade Organization) supaya menjamin keadilan bagi negara-negara kecil dan miskin serta rakyat dunia, dan tidak memihak kepada kepentingan syarikat gergasi antarabangsa atau kuasa-kuasa besar;
Memastikan proses globalisasi tidak mengancam kepentingan negara dan rakyat
jelata;
Menentang pemusatan kekayaan dan penindasan di peringkat
antarabangsa yang mengakibatkan jurang sosio-ekonomi bertambah lebar antara
Utara dengan Selatan;
Menyokong dasar “penglibatan membina” (constructive engagement) di kalangan
negara-negara ASEAN dalam persoalan-persoalan pelaburan ekonomi, alam sekitar,
hak asasi manusia, pekerja asing, dan masalah-masalah sosial lainnya;
Mempertingkatkan kerjasama serantau di kalangan negara-negara anggota ASEAN
dalam semua bidang;
Memperluaskan hubungan di kalangan rakyat negara-negara ASEAN supaya hubungan itu tidak terbatas hanya kepada hubungan antara kerajaan;
Memastikan bahawa wilayah Malaysia tidak akan ditawarkan lagi untuk dijadikan pengkalan tentera asing, seperti pernah ditawarkan oleh Kerajaan Mahathir, yang kononnya anti-Barat.
Masa Depan Negara Dalam Tangan Rakyat
Kerajaan BN pernah mengaku dirinya
‘bersih, cekap, amanah’, tetapi sebenarnya, ‘boros, curang dan angkuh’.
Untuk menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman pimpinan rakus yang secara
bermaharajalela mempertahankan, malah menambahkan lagi kuasa politik dan
ekonominya, rakyat mesti bersatu padu untuk menolak pemerintahan BN pimpinan
Mahathir.
Sesungguhnya, amatlah sukar bagi kami - yang serba kekurangan - mengalahkan BN, yang sedang terus menyalahgunakan kuasanya terhadap jentera dan perbelanjaan kerajaan, media siaran dan cetak, serta politik wang. Walau bagaimana pun, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa BN dewasa ini telah membuka jalan baru yang belum pernah diterokai rakyat Malaysia sebelumnya. Buat kali pertama sejak kemerdekaan, kebanyakan rakyat Malaysia daripada semua kaum menghendaki perubahan sedangkan parti politik alternatif pula berjaya bersatu demi keadilan. Sekurang-kurangnya, kesedaran rakyat yang meluas dan perpaduan parti alternatif yang kukuh akan mengurangkan dominasi Barisan Nasional dalam pilihanraya kesepuluh, dan insya Allah, memudahkan proses mengganti BN, yang telah mengkhianati amanah rakyat, dengan Barisan Alternatif.
RAKYAT BOLEH
SELAMATKAN MALAYSIA
DEMI KEADILAN
24 Oktober 1999