Satu ciri yang menarik dalam Manifesto Bersama BA ialah mengenai perumahan rakyat. Kerajaan Alternatif menganggap hak mendapat perumahan setaraf dengan pendidikan dan kesihatan sebagai hak asasi rakyat jelata.
Justeru itu Kerajaan Alternatif akan memastikan bahawa segala kemudahan dan perkhidmatan awam yang asasi - seperti air, pendidikan, kesihatan dan perumahan rakyat - hanya diperbadankan atau dikorporatkan demi membaiki pengurusan, tetapi sekali-kali tidak akan diswastakan.
Perumahan yang selesa pada harga yang berpatutan merupakan
satu keperluan asasi. Keperluan ini makin mendesak dengan proses perbandaran -
kini, hampir 60% daripada penduduk Malaysia berada di kawasan bandar.
Kegagalan program pembangunan perumahan kos rendah dan sederhana Kerajaan Barisan
Nasional bermula sejak tahun lapan puluhan. Akibat dasar songsangnya
dan amalan spekulasi tanah yang berlebihan, terdapat penawaran yang berlebihan
bagi perumahan pada harga yang di luar kemampuan golongan pendapatan rendah dan
sederhana. Maka, golongan-golongan ini telah bertahun-tahun menunggu giliran mereka dan mereka menjadi mangsa kepada fenomena peneroka bandar
(setinggan).
Dalam memperkukuhkan strategi membantu perumahan rakyat Kerajaan Alternatif akan menubuhkan sebuah Perbadanan Perumahan Rakyat dengan
tugas memenuhi permintaan perumahan kos rendah dan sederhana. Program pembinaan
ini boleh dikorporatkan dan kerajaan akan menguruskan peruntukan perumahan.
Secara tidak langsung, program ini akan mengurangkan harga perumahan di pasaran
terbuka, yang akan menguntungkan semua rakyat.
Selagi masalah perumahan
tidak selesai, hak 'peneroka bandar' akan terus diiktiraf. Mereka
berhak mendapat perumahan alternatif atau pampasan lain yang wajar sekiraya
dikehendaki berpindah untuk melicinkan pembangunan.
Dalam usahanya membantu perumahan rakyat, Kerajaan Alternatif akan mendirikan lebih banyak rumah kos rendah yang baik dan selesa agar dapat memenuhi keperluan asas seisi keluarga dari segi ruang persekitarannya.
Menyelesaikan masalah peneroka bandar akan diatasi dengan segera, terutamanya di kawasan bandar, sebaik-baiknya melalui pembangunan perumahan 'in situ' dan/atau sistem perkongsian tanah (land sharing). Kekerasan dan sebarang bentuk paksaan akan dielakkan dalam proses penempatan semula kaum “setinggan”.
Perundingan akan dijalankan di antara “setinggan”, pemaju dan pihak berkuasa terlebih dulu untuk
menyetujui soal-soal rumah/tanah ganti atau pampasan. Kerajaan Alternatif juga akan berusaha untuk
menyediakan kemudahan pinjaman yang murah bagi membantu peneroka bandar memiliki
rumah sendiri.
Sementara itu kemudahan awam di kawasan rumah pangsa akan
diperbanyakkan untuk menjamin pertumbuhan sahsiah yang seimbang.®