MOKHTAR CUBA KETEPIKAN SAPENA KE ATAS PM

Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah hari ini memberi notis kepada Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan akan menimbang untuk memohon bagi mengenepikan sapena terhadap Perdana Menteri Maha Fiarun itu untuk datang ke mahkamah atas alasan hubung-kaitnya dengan kes.

Mohtar berkata sapena itu dikeluarkan terhadap Perdana Menteri ekoran permohonan pihak pembelaan tertuduh kedua, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, dan bukan DSAI.

Mahkamah telah memerintahkan Anwar dan Sukma supaya membela diri setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap mereka.

Mohtar berkata tidak perlu bagi Perdana Menteri datang ke mahkamah pada hari Khamis memandangkan Anwar dan Sukma belum selesai memberi keterangan. Beliau berkata permohonan pihak pendakwaan itu akan diasaskan kepada Seksyen 136 Akta Keterangan.

Apabila ditanya Gobind Singh Deo, peguam bagi Sukma, apakah sapena itu sudah disampaikan kepada Perdana Menteri, hakim Datuk Arifin Jaka berkata mengikut Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rozilah Salleh, sapena itu telah dikeluarkan dan diberikan kepada polis untuk disampaikan.

Arifin mengeluarkan sapena itu minggu lepas bagi pihak Sukma, bagi mengarahkan Dr Mahathir menghadiri perbicaraan pada 28 Oktober 1999 untuk membolehkan pihak pembelaan menemuramah beliau sebelum memutuskan sama ada hendak memanggil beliau sebagai saksinya.

"Adalah menghairankan yang AG (Peguam Negara) ingin memohon untuk mengenepikan sapena itu apabila Perdana Menteri sendiri telah secara terbuka menyatakan yang beliau akan datang ke mahkamah," kata Gobind.

Beliau berkata pejabat peguam negara tidak seharusnya campur tangan terhadap saksinya.

Mohtar menjawab dengan berkata bahawa pihak pendakwaan mempunyai hak untuk menyoal motif bagi memanggil seseorang saksi.

Pada peringkat itu, mahkamah menyaksikan pertengkaran hangat antara Gobind dan Mohtar, dan Gobind kedengaran mengadu kepada mahkamah bahawa Peguam Negara telah berkata "bapa borek anak rintik" terhadapnya, sebagai merujuk kepada Gobind dan bapanya, Karpal Singh yang sebelum itu telah diberi amaran oleh hakim kerana membuat komen terhadap mahkamah.®