SAPINA BARU BUAT MAHATHIR

BERNAMA

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mengeluarkan sapina baru terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad untuk hadir pada perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sapina baru itu mengkehendaki Dr Mahathir hadir di mahkamah pada 1 Nov ini bagi membolehkan pihak pembelaan menemusoal beliau sebelum memutuskan sama ada Perdana Menteri akan dipanggil sebagai saksi bagi kes pembelaan.

Peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili adik angkat bekas Timbalan Perdana Menteri, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang dituduh bersama-sama Anwar, memberitahu wartawan di luar mahkamah bahawa sapina baru itu dikeluarkan bagi menggantikan sapina yang dikeluarkan sebelum ini.

"Kami berharap Perdana Menteri akan menerima sapina itu dan hadir di mahkamah seperti yang dikehendaki," kata Gobind lagi.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata beliau sanggup ke mahkamah untuk memberi keterangan pada perbicaraan Anwar jika diberikan senarai soalan-soalan berhubung kes liwat bekas timbalannya itu.

Gobind berkata, "soal menghantar senarai soalan tidak timbul dan kita jangka yang sapina itu akan sampai kepadanya dalam beberapa hari lagi."

Pada 18 Okt, mahkamah mengeluarkan sapina terhadap Dr Mahathir tanpa menetapkan tarikh dan pada 21 Okt lepas, Hakim Datuk Arifin Jaka memerintahkan Perdana Menteri untuk hadir di mahkamah esok.

Sapina itu dikeluarkan atas permohonan Sukma.®