DEMI PEMULIHAN, PEMBANGUNAN DAN KEADILAN
Tiga hari lalu, Barisan Alternatif (BA) telah mengemukakan wawasannya untuk membentuk Malaysia baru yang lebih adil, melalui Manifesto Bersamanya. Sebelum itu, Barisan Alternatif pernah mengemukakan pendiriannya terhadap beberapa isu semasa, termasuk masalah ekonomi. Antara lain, BA pernah membantah pendirian Kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap penggabungan institusi kewangan dan syarikat broker saham di samping langkah kawalan modal, yang diperkenalkan pada bulan September 1998. Kami bersyukur bahawa Kerajaan BN telah menarik balik rancangan penggabungan banknya secara paksa dengan menyuarakan alasan yang kami pernah kemukakan.
Dua hari akan datang, Kerajaan BN akan mengemukakan belanjawannya bagi tahun 2000. Orang ramai sudah sedar bahawa Kerajaan BN akan bermurah hati dalam Belanjawan 2000 untuk memancing undi dalam pilihanraya akan datang. Kononnya untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi atau pun kerana prihatin terhadap rakyat, tetapi sebenarnya untuk cuba memastikan kemenangan dalam pilihanraya akan datang. Kerajaan BN akan mengurangkan cukai dan membelanjakan lebih banyak dengan lebih cepat. Sejak tahun 1998, Kerajaan BN telah meminjam dan membelanjakan lebih daripada RM60 bilion untuk menyelamatkan sistem bank, dan banyak lagi untuk beberapa syarikat terpilih yang dikuasai kroni mereka. Kebanyakan social safety net yang disediakan oleh Kerajaan BN ditujukan kepada bank serta kroni, sedangkan golongan rakyat terbanyak terus diabaikan sungguhpun mereka juga menjadi mangsa kegawatan.
Hanya menjelang pilihanraya, mulai pertengahan tahun 1999, barulah Kerajaan BN mula sibuk memberi perhatian terhadap golongan lain seperti orang pencen, kakitangan kerajaan, pekebun kecil getah dan lain lagi. Akibat bantahan rakyat, yang didukung oleh parti Barisan Alternatif, Kerajaan BN terpaksa berkompromi dan memberi perhatian yang lebih wajar terhadap tuntutan rakyat. Kerajaan BN terpaksa membatalkan rancangannya yang ditolak rakyat, seperti rancangan menswastakan lagi perkhidmatan kesihatan dan penggabungan bank secara paksa. Tetapi "silap mata" menjelang pilihanraya tidak mencerminkan sifat Kerajaan BN sebenar, yang dikuasai oleh segelintir pemimpin serta kroni mereka yang tamak dan rakus.
Dasar BA: Pilihan Lebih Baik
Memandangkan dasar ekonomi Kerajaan BN, terutamanya sejak kegawatan ekonomi bermula pada Julai 1997 dan kegawatan dasar dan politik bertambah mulai September 1998, Barisan Alternatif ingin mengemukakan strategi belanjawan alternatif. Tujuan kami ialah untuk mengingatkan rakyat Malaysia bahawa terdapat pilihan lain yang lebih baik bagi seluruh rakyat Malaysia kecuali beberapa kroni mereka yang berkuasa. Oleh demikian, kami berharap pimpinan BN akan insaf terhadap kesilapan dan penyelewengan mereka yang lepas, dan akan "bertaubat" supaya mengutamakan kepentingan rakyat dan masa depan pembangunan ekonomi tanahair kita yang tercinta.
Sebenarnya, kami tidak mampu untuk menyediakan sebuah belanjawan alternatif yang lengkap dan teliti tanpa maklumat serta kemudahan yang ada kepada jentera pentadbiran negara. Maka, usaha kami pada hari ini bertujuan menjelaskan kepada rakyat Malaysia:
Ekonomi Terdedah Kepada Krisis Akibat Dasar Kerajaan BN
Kegawatan ekonomi yang telah dialami Malaysia sejak pertengahan tahun 1997 bukan suatu bencana alam yang tidak dapat dielakkan. Krisis ekonomi yang kita alami merupakan akibat daripada beberapa dasar ekonomi yang sengaja dilaksanakan sebelumnya oleh Kerajaan BN.
Namun, Perdana Menteri Mahathir telah menyalahkan spekulator matawang, terutamanya hedge funds, seperti Quantum Fund yang diketuai George Soros, sebagai sebahagian daripada komplot Barat untuk menghalang kebangkitan Asia Timur, terutamanya Malaysia, kerana cemburu terhadap kita. Walaupun ada beberapa unsur yang benar dalam hujahnya, semua orang yang arif dalam hal ini tidak percaya terhadapnya sepenuhnya kerana teori konspirasi demikian tidak masuk akal dan bertentangan dengan apa yang sebenarnya telah berlaku. Walhal, tuduhan PM berkenaan spekulator matawang bersifat agak munafik memandangkan penglibatan Kerajaan BN pada tahun-tahun 1981- 1993 dalam spekulasi di beberapa pasaran antarabangsa, termasuk pasaran matawang, sehingga mengalami kerugian besar (mungkin melebihi RM20 bilion) akibat kejatuhan nilai pound sterling pada September 1992.
Walaupun terdapat pemimpin Kerajaan BN sendiri yang tidak percaya kepada cerita Mahathir ini, mereka terpaksa mengekalkannya untuk cuba meyakinkan orang ramai bahawa terdapat komplot Barat terhadap Malaysia, di mana Anwar Ibrahim kononnya merupakan agen Barat. Malah, walaupun mereka menyedari bahawa langkah kawalan modal yang diperkenalkan pada September 1998 tidak perlu untuk memulihkan ekonomi dan telah menjadi halangan terhadap usaha pemulihan seterusnya, kawalan modal mesti mereka kekalkan sehingga pilihanraya untuk cuba meyakinkan rakyat Malaysia terhadap mitos kononnya Anwar sebagai agen komplot Barat dan dasar Mahathir sebagai penyelamat ekonomi Malaysia.
Atas desakan kepentingan kewangan dalam dan luar negeri, kebanyakan pemerintah di rantau ini telah mengikat matawang mereka kepada dollar AS. Walaupun nilai ringgit kononnya naik turun mengikut pasaran, sebenarnya, nilainya banyak mengikut nilai dollar AS sejak tahun 1980an. Apabila nilai dollar AS merosot antara September 1985 sehingga pertengahan tahun 1995, nilai ringgit juga merosot berbanding dengan yen serta matawang negeri Asia Timor yang lebih maju. Ini telah menarik pelaburan dari negeri berkenaan, yang telah meningkatkan keluaran serta eksport dengan pesat sejak akhir tahun 1980an.
Sebenarnya, inilah faktor utama yang membawa pemulihan ekonomi di Asia Tenggara mulai akhir tahun 1980an, bukannya pengurusan ekonomi yang baik oleh Kerajaan BN. Tetapi setelah ekonomi Jepun menjadi lembab pada tahun 1990an, nilai dollar AS - dan ringgit Malaysia - meningkat semula mulai pertengahan 1995, yang mula mengancam pertumbuhan. Para spekulator matawang melihat peluang keemasan kerana pemerintah di rantau ini enggan membenarkan nilai matawang mereka mengikut pasang-surut pasaran, dan mula menyerang baht Thai.
[Rajah 1 menunjukkan kejatuhan nilai matawang ringgit mulai pertengahan Julai setelah nilainya meningkat sedikit akibat usaha menyokong nilai ringgit]
Dasar Kerajaan BN Memburukkan Kesan Krisis
Setelah menghabiskan rizabnya dalam usaha mempertahankan matawang baht, pemerintah Thai terpaksa membenarkan nilai baht merosot. Apabila matawang lain di rantau ini diserang pula, pemerintah Filipina dan Indonesia membiarkan nilai matawang mereka merosot tanpa kerugian rizab yang besar. Di Malaysia, atas arahan Perdana Menteri, yang masih berada di luar negeri ketika itu, negara kita telah kerugian lebih dari RM9 bilion dalam usaha Mat Jenin cuba mempertahankan ringgit dalam keadaan demikian - yang akhirnya pasti akan gagal.
[Rajah 2 menunjukkan kehilangan rizab pada Julai-November 1997]
Beberapa langkah Kerajaan seterusnya telah memburukkan keadaan di Malaysia, walaupun asas ekonomi kita lebih kukuh dan Bank Negara telah menghadkan pinjaman asing oleh pihak swasta - yang menyebabkan wabak krisis kewangan merebak ke bidang ekonomi lain.
Pada hujung bulan Ogos 1997, Kerajaan telah mengumumkan peraturan baru, kononnya untuk menghapuskan "short-selling" yang dianggap Mahathir sebagai sebab utama kejatuhan harga saham. Langkah ini telah mengurangkan kecairan urusniaga urusniaga - yang juga telah menjatuhkan harga - 100 kaunter saham dalam Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI). KLCI melonjak turun akibat tindakan ini dan sekaligus nilai ringgit turut sama. Setelah menyedari kesilapannya, Kerajaan telah membatalkan peraturan baru pada awal September 1997 dengan mengisytiharkan kejayaan langkahnya, yang sebenarnya telah menyebabkan kejatuhan besar dalam harga pasaran saham.
[Rajah 3 menunjukkan kejatuhan KLCI akibat 'designation' pada Ogos-Sept 1997]
Pada awal September 1997, Kerajaan telah mengumumkan penubuhan tabung RM60 bilion untuk membeli saham daripada pemegang tertentu, kononnya untuk menyelamatkan usahawan yang tulen. Namun, langkah ini jelas merupakan usaha untuk menyelamatkan kroni pihak berkuasa, yang pernah bergantung kepada Kerajaan untuk menjadi kaya dan sekarang mengharapkan bantuan Kerajaan untuk menyelamatkan mereka dari nazak. Oleh kerana Kerajaan sanggup menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan kroninya (dan bukan untuk memulihkan ekonomi ataupun membantu mangsa kegawatan di kalangan rakyat jelata), keyakinan terhadap Kerajaan telah terus merosot.
Pengenalan peraturan untuk menghapuskan 'short-selling', pembelian saham tertentu pada harga lebih tinggi dari harga pasaran daripada kroni, ugutan pihak Kerajaan BN untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri, dan pengumuman tabung RM60 bilion semuanya berlaku dalam masa yang agak singkat. Ini diikuti pula oleh tindakan membatalkan langkah "designation" serta tindakan lain yang memberi gambaran dasar kucar-kacir Kerajaan BN, yang telah mengurangkan lagi keyakinan terhadap pemerintah dan ekonomi Malaysia.
[Rajah 3 menunjukkan kejatuhan KLCI akibat peristiwa UEM-Renong pada Nov. 1997]
Beberapa kenyataan Perdana Menteri di dalam dan di luar negeri pada waktu itu juga tidak membantu Malaysia kerana beliau dianggap tidak memahami keadaan sebenar. Malah, Dr Mahathir telah mengakui bahawa nilai ringgit serta matawang lain di rantau ini merosot setiap kali beliau membuat kenyataan yang melulu itu, sehingga kerajaan lain di rantau ini menekan Kerajaan Malaysia supaya tidak terus membuat kenyataan yang memburukkan lagi nasib mereka.
[Rajah 3 menunjukkan kejatuhan nilai ringgit akibat beberapa kenyataan Mahathir pada September 1997]
Belanjawan pertama bagi tahun 1998 (yang dibentangkan pada Oktober 1997) juga tidak memulihkan keyakinan terhadap Kerajaan BN kerana hanya beberapa projek mega yang ditangguh atau digantung buat sementara waktu. Tiada usaha yang serius untuk menangani krisis yang sedang mengancam ekonomi Malaysia pada waktu itu. Namun demikian, pada ketika itu, ramai penyokong Kerajaan BN memuji belanjawan itu, di antaranya ramai yang kini paling lantang mengecam Anwar.
Keadaan telah bertambah teruk pada pertengahan November 1997, apabila Kerajaan telah meminda peraturan untuk membenarkan syarikat Renong menyalahgunakan syarikat UEM (yang lebih kaya dengan wang kerana mendapat kutipan tol Lebuhraya Utara Selatan) untuk menyelamatkan Renong yang banyak berhutang tanpa mempedulikan kepentingan pemegang saham UEM. Setelah diakui pada 17hb November 1997, KLCI telah menjunam sebanyak lebih dari 20% dalam tempoh tiga hari; ringgit pula turut jatuh secara mendadak kepada paras paling rendah setakat itu, iaitu RM3.50 bagi AS$1 dari RM3.32 pada 17hb November. Sekali lagi, Kerajaan BN sanggup menjejaskan keyakinan para pelabur terhadap Kerajaan Maalysia dengan dasar serta tindakan untuk menyelamatkan kroninya.
Retak dalam pucuk pimpinan Kerajaan BN makin kelihatan apabila Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) diumumkan, dengan Tun Daim Zainuddin sebagai Pengarah Eksekutifnya. Dasar ekonomi Malaysia jelas menjadi semacam kapal dengan dua nakhoda ketika gelora di rantau ini bertambah teruk.
[Rajah 4 menunjukkan kejatuhan KLCI pada bahagian kedua 1997 juga disebabkan oleh kejatuhan ringgit]
Pada awal Disember 1997, Menteri Kewangan Anwar Ibrahim telah mengumumkan usaha lebih serius untuk mengurangkan lagi perbelanjaan kerajaan, terutamanya untuk projek mega. Usahanya pada ketika itu - untuk mengetatkan peraturan dan pengawasan bagi mengurangkan penyelewengan - sudah terlewat, malah telah menyulitkan tekanan yang dihadapi oleh perusahaan yang menghadapi masalah akibat beberapa perkara. Antaranya, kejatuhan nilai ringgit, pengurangan kecairan dalam sistem kewangan serta kenaikan kadar faedah pada peringkat antarabangsa, yang sukar dielakkan dalam ekonomi Malaysia yang amat terbuka.
Pada ketika yang sama, keadaan di Korea dan Indonesia telah terus merosot, yang memberi kesan kepada seluruh rantau ini. Seperti Negeri Thai sebelumnya, Korea dan kemudiannya, Indonesia terpaksa menurut syarat IMF kerana terpaksa meminta bantuannya. Oleh kerana kebanyakan syarikat swasta di Malaysia tidak dibenarkan meminjam daripada luar negeri oleh Bank Negara, Malaysia tidak menghadapi masalah yang serupa dan tidak perlu meminta bantuan IMF, dan oleh itu, tidak terpaksa menerima syaratnya. Sebenarnya, tiada kerajaan Asia Timur yang mengikut IMF jikalau tidak terpaksa. Tiada kerajaan yang meminta bantuan IMF dan menerima syaratnya, kalau mempunyai pilihan lain. (Walaupun Malaysia tidak banyak meminjam dari luar negeri, nisbah hutangnya amat tinggi - sebanyak lebih dari 150% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).)
[Rajah 5 menunjukkan kenaikan kadar bunga di Malaysia jauh kurang daripada Negeri Thai pada Julai 1997-Ogos 1998]
Oleh kerana terdapat mitos bahawa dasar ekonomi Anwar waktu itu mengikut telunjuk IMF, perlu ditekankan bahawa ramai pihak lain yang mendesaknya meningkatkan kadar bunga supaya nilai ringgit tidak terus menjunam. Ketika Malaysia kononnya "menurut IMF", kadar faedah di Malaysia meningkat kurang dari 3 peratus, iaitu kenaikan yang jauh kurang daripada kenaikan di ekonomi jiran yang lain. (Oleh demikian, Anwar pernah menyokong dasar kawalan matawang Mahathir kerana tiada cara lain untuk menurunkan kadar faedah ketika itu, akibat dasar ekonomi Kerajaan BN sebelumnya.) Mulai akhir tahun 1997, krisis di Korea dan Indonesia serta masalah lain - seperti kesan musim kemarau El Nino, kejatuhan permintaan untuk barang elektronik serta kemerosotan harga pada peringkat antarabangsa dan sikap Barat ketika itu terhadap krisis Asia Timur - telah memburukkan lagi keadaan ekonomi sebenar di Malaysia.
Mulai pertengahan tahun 1998, Anwar telah cuba meningkatkan semula perbelanjaan kerajaan, tetapi demi kepentingan rakyat jelata, seperti untuk perumahan kos rendah atau pun untuk kakitangan kerajaan, tetapi bukan untuk membiayai projek mega segelintir kroni. Setelah merosot sebanyak -14.9% pada suku pertama tahun 1998, perkhidmatan kerajaan telah berkembang sebanyak 12.4%, 4.4% dan 5.5% dalam tiga sukutahun berikut, yang mencerminkan usaha Anwar untuk memulihkan ekonomi setelah awal tahun 1998. Di samping itu, beliau telah mengurangkan nisbah rizab wajib bank untuk menambahkan kecairan dan mengurangkan margin faedah.
Namun, setelah Jen. Soeharto di Indonesia terpaksa meletak jawatan pada Mei 1998 setelah bantahan orang ramai terhadap KKN, iaitu korupsi, kolusi (pakatan) dan nepotisme (pilih keluarga), politik Malaysia semakin gawat. Akhirnya, ia membawa kepada penyingkiran Anwar daripada pimpinan kerajaan BN dan parti UMNO kerana pucuk pimpinannya menganggap Anwar tidak dapat diharapkan untuk menyelamatkan kepentingan mereka.
Kegawatan ekonomi di dunia bertambah serius pada Ogos 1998. Krisis kewangan meletup di Rusia, sebuah "hedge fund" (LTCM) diselamatkan akibat arahan bank pusat AS dan paras harga saham jatuh menjunam di New York. Paras KLCI di sekitar 300, dibanding dengan hampir 1300 pada Februari 1997, hanya 18 bulan sebelumnya.
[Rajah 6 menunjukkan kejatuhan pasaran saham di Malaysia sebanyak 80% antara Feb. 1997 sehinga Sept. 1998, sedangkan Jadual 1 menunjukkan kejatuhan KLCI lebih daripada semua pasaran mangsa krisis lain]
Sebenarnya, peranan lebih besar pasaran saham di Malaysia - dibanding dengan mangsa krisis lain - yang menyebabkan wabak krisis kewangan menjangkit ke Malaysia dengan kesan yang begitu buruk. Kerajaan BN pernah bangga kerana kejayaan usahanya menarik pelabur asing melabur di Malaysia; mereka pernah mengaku Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) lebih giat daripada Wall Street dan lebih besar daripada pasaran saham di Australia, yang mempunyai ekonomi jauh lebih besar. Gejala demikian sebenarnya mencerminkan sifat lebih spekulatif pasaran saham kita, tetapi ini pula yang dibanggakan mereka.
Di ekonomi lain yang dilanda krisis, pinjaman asing yang tidak terkawal merupakan kelemahan utama, tetapi di Malaysia, kemerosotan nilai ringgit telah memburukkan kejatuhan pasaran saham dan menyebabkan ramai pelabur asing melarikan modal mereka ke tempat lain. Kehilangan keyakinan terhadap dasar Kerajaan BN serta gelaga"pak turut" yang meluas di pasaran saham telah memburukkan lagi keadaan.
Pemulihan Ekonomi Bukan Kerana Dasar Kawalan Modal
Kerana bangga dengan kejayaan usahanya menarik modal asing, Kerajaan BN telah menolak langkah kawalan modal yang diperkenalkan awal sebelum krisis (misalnya, cara Chile, yang menyekat kemasukan modal) untuk mengelakkan krisis berlaku. Peluang sementara yang timbul daripada langkah kawalan modal yang diperkenalkan setelah krisis bermula (untuk membantu pemulihan) mesti dimanafaatkan dengan cermat. Kalau tidak, kesan buruknya boleh melebihi kesan baiknya, terutama sekali dalam jangka panjang.
Mahathir mula menguatkuasakan langkah kawalan modalnya mulai 1 September 1998, iaitu 14 bulan setelah krisis bermula. Portfolio pelabur asing (terutamanya saham) yang masih ada di Malaysia tidak dapat dikeluarkan selama setahun, sedangkan matawang ringgit tidak bernilai lagi di luar negeri mulai Oktober 1998. Pada hari berikutannya, harga ringgit telah ditetapkan pada paras RM3.8 untuk US$1, beberapa jam sebelum Anwar dipecat.
Pada Februari 1999, atas nasihat Bank Dunia, Kerajaan telah mengubah syarat asal kawalan modal dengan membenarkan modal asing keluar sebelum tamat tempoh setahun, dengan syarat membayar 'cukai keluar' (yang bertingkat mengikut masa modal itu tinggal di Malaysia). Di samping itu, diumumkan 'cukai untung modal' (capital gains tax) yang akan dikenakan mulai September 1999; kadar 30% kalau modal keluar dalam tahun pertama dan 10% setelah tahun pertama. Sebenarnya, langkah demikian tidak dapat mengelakkan krisis berulang: dalam keadaan gawat, pelabur hanya ingin mengurangkan kerugiannya, dan cukai demikian langsung tidak merupakan halangan. Namun, kadar cukai ini telah diseragamkan menjadi 10% bagi semua mulai bulan lalu. Maka, perbezaan kadar - yang dapat mengurangkan spekulasi jangka pendek dari luar negeri - tidak wujud lagi.
Dari langkah kawalan modal Mahathir yang asal, kadar pertukaran tetap agak popular. Kadar pertukaran yang agak stabil - seperti pernah wujud sebelum Julai 1997 - dikehendaki oleh ramai pihak. Tetapi, pada hakikatnya, kadar pertukaran matawang lain di rantau ini tidak banyak naik turun sejak September 1998. Kegawatan di seluruh rantau ini telah tamat, tetapi bukan kerana langkah Kerajaan Malaysia - seperti didakwa oleh pihak berkuasa, yang tidak malu 'masuk bakul angkat sendiri'. Walaupun Mahathir berlagak sebagai pengkritik anti-Barat, dengan terus mengikat nilai ringgit kepada dollar AS, sebahagian dari dasar ekonomi Malaysia sebenarnya ditentukan oleh Amerika Syarikat.
Setelah kegawatan kewangan dunia mula mengancam Amerika Syarikat pada Ogos 1998, sikap pihak berkuasa di AS terpaksa berubah. Krisis Asia Timur bukan lagi krisis rantau, tetapi jelas menjadi krisis dunia, yang mengancam Amerika Syarikat. Pada September 1998, bank pusat AS mengurangkan kadar faedah, yang telah memperkuatkan semua matawang lain di rantau Asia Timur. Dengan itu, usaha untuk meningkatkan harga matawang ringgit akhirnya telah mengurangkan harganya! Eksport kita menjadi murah, import menjadi mahal, lebihan perdagangan terus meningkat, rizab kita cepat bertambah. Permintaan barang elektronik mula pulih pada akhir tahun 1998, dan eksport dari seluruh rantau ini mula pulih pada tahun ini. Tetapi semuanya telah berlaku secara kebetulan, bukan dirancang oleh Kerajaan BN. Jikalau nilai matawang lain tidak bertambah mahal setelah 2 September 1998, lain ceritanya.
[Rajah 5 menunjukkan kadar bunga di Negeri Thai lebih rendah daripada Malaysia sejak September 1998]
Kadar faedah telah menurun di Malaysia setelah pengenalan langkah kawalan modal, tetapi perkembangan serupa telah berlaku di ekonomi lain di rantau ini yang dilanda krisis. Malah kadar faedah di beberapa ekonomi lain lebih rendah lagi. Di Malaysia, Kerajaan telah cuba memaksa bank meningkatkan peminjaman, tetapi bank telah mengurangkan kadar peminjaman setelah kawalan modal diperkenalkan. Bank perdagangan berhati-hati setelah pengalaman pahit yang baru dialami, dan kadar perkembangan pinjaman masih jauh kurang daripada sasaran 8% Bank Negara pada tahun lalu dan tahun 1999.
[Jadual 2 menunjukkan jumlah pinjaman telah merosot sejak 1997, dan kadar peminjaman baru terus menurun]
Kemerosotan ekonomi di Malaysia masih kurang teruk setelah September 1998: ekonomi kita merosot –10.3% pada sukutahun ke 4 tahun 1998 dibanding dengan –10.9% pada sukutahun ke3. Sektor perkilangan telah mengecut sebanyak –18.9% dan –18.6% pada sukutahun yang sama. Setelah kemerosotan setahun lebih, pemulihan bermula pada awal tahun ini di kebanyakan ekonomi di rantau ini yang dilanda krisis. Ekonomi Malaysia memang telah mula pulih pada sukutahun ke2 tahun ini, setelah Korea Selatan, Negeri Thai dan Indonesia mula pulih pada sukutahun pertama.
Langkah kawalan modal memang tidak membawa malapetaka, seperti didakwa akan berlaku oleh beberapa ahli ekonomi asing. Namun, masih tiada sebarang bukti bahawa langkah kawalan modal perlu untuk pemulihan, memandangkan seluruh rantau telah mula pulih walaupun pemerintah lain tidak menggunakan langkah serupa. Kalaulah hakikat ini sudah jelas, mengapa pula kerajaan tidak mahu membatalkan langkah yang tidak berkesan itu, yang juga membawa bahaya dan masalah untuk masa depan?
Walaupun pindaan terhadap dasar kawalan matawang pilihan barangkali akan dibuat lusa dalam Belanjawan 2000, Kerajaan BN tidak berani membatalkan kesemuanya sebelum pilihanraya kerana langkah demikian akan mendedahkan bahawa propaganda kerajaan pimpinan Mahathir selama ini palsu, dan ini sudah pasti akan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadapnya, dan seterusnya, prestasi BN dalam pilihanraya akan datang. Pada hakikatnya, kerajaan BN telah melonggarkan berbagai peraturan atas desakan kepentingan asing, misalnya dengan membenarkan penyertaan institusi kewangan asing dalam pasaran peminjaman ringgit. Britain telah timbul semula sebagai pelabur asing yang terbesar di Malaysia setelah lebih dari tiga dekad kerana Kerajaan BN membenarkan syarikat asing mengambil alih perusahaan untuk pasaran tempatan seperti simen, penjanaan elektrik dan telekomunikasi.
Propagandanya dalam hal ini mempunyai dua matlamat yang penting untuk kempen politiknya. Pertama, kerajaan ingin cuba meyakinkan orang ramai bahawa pemulihan ekonomi adalah akibat daripada langkah bijaknya, dan bukan kerana krisis sudah tamat dan pemulihan sudah bermula di seluruh rantau ini. Kedua, kerajaan BN sedang cuba menggambarkan Anwar - dan seterusnya, Barisan Alternatif - sebagai agen kuasa serta kepentingan asing, dan BN sebagai pembela tulen kepentingan nasional. Walaupun kedua-dua hujah ini palsu, dengan kuasa medianya, Kerajaan BN pimpinan Mahathir akan terus cuba mengelirukan sebahagian daripada orang ramai.
Peluang penting yang terdapat akibat dasar kawalan modal dan sumber pembiayaan yang terdapat telah banyak disalahgunakan untuk membantu dan menyelamatkan kepentingan ekonomi beberapa kroni yang rapat dengan pihak berkuasa. Dengan demikian, institusi yang perlu untuk pemulihan - seperti Danaharta, Danamodal dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (CDRC) - masih dipengaruhi oleh pertimbangan kronisme dan nepotisme; beban kosnya yang tinggi terpaksa ditanggung oleh rakyat jelata, termasuk generasi akan datang, yang terpaksa menyelesaikan hutang yang diperolehi untuk membiayai usaha ini.
Kita bersyukur kerana pemulihan sudah bermula, tetapi prestasinya setakat ini kurang meyakinkan. Walaupun asas ekonomi kita sebelum krisis lebih kukuh, dan kita tidak banyak meminjam dari luar negeri - kalau dibanding dengan mangsa krisis yang lain - asas pemulihan ekonomi Malaysia masih tidak meyakinkan. Permintaan dalam negeri masih lembab, malah masih merosot pada sukutahun ke2 tahun ini. Selain dari perbelanjaan kerajaan, sektor elektronik - yang dikuasai syarikat asing – dan petroleum saja yang berkembang dengan pesat. Pengeluaran minyak kelapa sawit, yang pernah banyak membantu, sudah menjadi lembab, seperti getah, tekstil dan balak sebelumnya. Pertumbuhan keluaran industri, yang bermula pada bulan Februari tahun 1999, masih agak lemah dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
[Rajah 7 menunjukkan Indeks Keluaran Industri tidak terus meningkat; ini bererti bahawa terdapat pemulihan hanya kerana perbandingannya dengan tahun 1998, bukan dengan bulan sebelumnya]
Ketiga, walaupun pemulihan peringkat awal dapat berkembang tanpa kapasiti pengeluaran baru (kerana kemerosotan mendadak sebelumnya), pemulihan tidak dapat dikekalkan tanpa pelaburan baru, termasuk pelaburan langsung dari luar negeri (FDI). Ringgit yang terlalu murah mengurangkan pelaburan yang memerlukan kelengkapan atau bahan import. Dasar ekonomi yang kucar-kacir sejak krisis bermula, terutamanya dalam tahun yang lalu, tidak meyakinkan pelabur asing, walaupun kerajaan cuba meyakinkan pelabur asing bahawa langkah kawalan modal tidak ditujukan terhadap FDI.
[Rajah 8 menunjukkan permohonan untuk melabur dan kelulusannya telah terus menurun selepas tahun 1996, termasuk tahun 1999]
Liberalisasi kewangan antarabangsa sejak tahun 1980an telah menyebabkan sistem kewangan Malaysia lebih terdedah, lagi tidak stabil. Keterbukaan sistem kewangan sukar dielakkan dan akan lebih mengancam sektor kewangan tempatan. Oleh demikian, institusi kewangan di Malaysia mesti cepat bertambah cekap dan mampu bersaing dengan institusi asing. Peraturan dan amalan lama - yang pernah mencukupi dahulu - tidak sesuai lagi memandangkan cabaran baru.
Baru-baru ini, Kerajaan BN terpaksa menerima hujah kenyataan dasar BA, yang telah menolak cadangannya untuk menggabungkan 58 bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan menjadi enam bank besar. BA menolak sistem bank cara bekas penjajah British, yang menjadi teladan bagi Kerajaan BN dan akan menggalakkan institusi kewangan yang sedia ada supaya bergabung dan bercantum secara rela bukan dipaksa dalam suatu sistem kewangan bertingkat (multi-tier), seperti terdapat di kebanyakan ekonomi di dunia. Yang anehnya, Britain terus menjadi teladan bagi kerajaan Barisan Nasional, lebih 42 tahun setelah Merdeka, ketika menjelang alaf baru. BA juga menolak cadangan Kerajaan BN itu kerana jelas merupakan usaha untuk membolehkan beberapa kroni lebih menguasai sistem kewangan di Malaysia, termasuk syarikat broker saham. Namun, ramai orang kurang yakin terhadap pendirian baru BN, yang dianggap terpaksa dipinda menjelang pilihanraya. Ini menambahkan lagi kesangsian dalam keadaan yang amat memerlukan ketelusan, kewibawaan dan kepastian dasar kerajaan.
Strategi Belanjawan Demi Pemulihan dan Keadilan
Memandangkan kelemahan dalam pemulihan setakat ini, strategi Belanjawan Kerajaan sepatutnya cuba bantu memperkukuhkan pemulihan ekonomi dan, seterusnya, mencapai pembangunan mampan. Selain dari permintaan luar, strategi perbelanjaan patut memperkukuhkan permintaan dalam negeri, terutamanya demi pemulihan sesuai dengan kepentingan rakyat, sama ada dari segi permintaan swasta atau awam.
[Rajah 9 menunjukkan defisit belanjawan pada 1989-92 diikuti pula oleh lebihan pada 1993-97]
Penting ditekankan di sini bahawa BA mempunyai perspektif yang realistik terhadap apa yang dapat dicapai oleh pemerintah dalam ekonomi campuran Malaysia, yang terdedah kepada pasang-surut serta kesan lain ekonomi dunia. Pada prinsipnya, asas utama campurtangan pemerintah hanya kerana terdapat kegagalan pasaran. Kalau pasaran atau sektor swasta dapat mencapai hasrat kita dengan lebih cekap dan berkesan, campurtangan pemerintah tidak perlu dan tidak dikehendaki. Dan kalaulah campurtangan pemerintah perlu, campurtangan itu sepatutnya berpandu kepada kepentingan negara, seluruh rakyat, dan bukan hanya kepentingan segelintir kroni yang kecil.
Oleh kerana BA menghormati dan menghargai masyarakat madani, termasuk sektor swasta, keseimbangan serta kerjasama antara semua golongan utama dalam masyarakat perlu dicapai, di mana pemerintah dapat memainkan peranan penting dalam menyeleraskan kepentingan berlainan yang terlibat serta usaha yang perlu. BA akan mewujudkan mekanisme perundingan yang tetap di mana sesuai supaya sentiasa peka terhadap pandangan serta kehendak rakyat. Mekanisme yang sedia ada perlu ditukar supaya lebih berkesan, lebih membina dan kurang merupakan pentas cakap kosong.
Bergantung kepada keadaan, strategi belanjawan kerajaan sepatutnya melawan kitaran: apabila ekonomi berkembang dengan pesat, kerajaan patut berjimat, tetapi dalam keadaan meleset, defisit sementara mungkin perlu untuk memulihkan ekonomi. Maknanya, BA ingin mencapai belanjawan yang seimbang, bukan setiap tahun, tetapi dalam tempoh sesuatu kitaran. Memandangkan keadaan ekonomi yang masih tenat, Barisan Alternatif sanggup menerima defisit belanjawan yang tidak melebihi 5% daripada KNK bagi tahun 2000 ' dibanding dengan 6% yang diramalkan bagi tahun ini. Tetapi kalaulah ekonomi pulih dengan lebih cepat, defisit akan berkurangan dengan sendirinya kerana hasil kerajaan akan meningkat. Maksudnya, dasar belanjawan sepatutnya fleksibel dari satu segi, tetapi terus mengutamakan disiplin fiskal dari segi lain. Memandangkan defisit belanjawan perlu untuk pemulihan, kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan kecekapan dan mengelakkan pembaziran.
BA ingin mencadangkan beberapa langkah yang dapat meningkatkan pertumbuhan dari segi permintaan maupun penawaran.
BA ingin menyelamatkan sektor kewangan untuk menjamin kecairan dalam sistem ekonomi. Tetapi ada perbezaan antara pendekatan BA dengan Kerajaan BN, yang setakat ini juga mengutamakan pemulihan sektor kewangan, khususnya bank, industri kereta dan pembinaan. BA tidak setuju dengan dasar pilih kasih dalam menangani usaha memulihkan sektor ini. Misalnya, Danaharta pernah membeli pinjaman non-performing daripada pihak tertentu (contohnya Bank Bumiputra) tanpa mengenakan diskaun yang biasanya dikenakan, tanpa sebarang alasan ekonomi yang munasabah.
Akibatnya, kewibawaan institusi penyusunan semula bank terjejas, keberkesanannya terbantut dan wang rakyat dibazir demi menyelamatkan kroni tertentu. CDRC pula telah meluluskan beberapa rancangan untuk menyelamatkan syarikat tertentu yang memberi kesan serupa, misalnya untuk Tongkah Holdings, yang dikuasai seorang anak Perdana Menteri, yang juga Bendahari Pemuda UMNO. Rancangan CDRC untuk menyelamatkan kumpulan Renong, yang dikuasai kroni Daim, akan mengurangkan hasil Kerajaan sebanyak beberapa bilion ringgit pada masa hadapan kerana melanjutkan tempoh konsesi Lebuhraya Utara-Selatan. Wang Petronas pula telah digunakan untuk membeli Konsortium Perkapalan daripada anak Perdana Menteri lain dan juga Hicom dan Proton. Wang KWSP pula telah disalahgunakan untuk cuba mendukung harga saham tertentu sehingga menyebabkan kerugian lebih dari RM10 bilion pada tahun 1998. Dikhuatiri dana tabung awam lain juga disalahgunakan untuk tujuan yang serupa.
Hasil kerajaan telah menurun sejak tahun 1997, sebanyak -16% pada 1998. Belanjawan 1999 telah menjangka penurunan sebanyak -14% lagi pada 1999, dibanding dengan 1998. Tetapi kenaikan harga minyak petroleum dewasa ini telah meningkatkan hasil kerajaan. Selain hasil bukan-cukai, cukai pendapatan korporat, cukai pendapatan peribadi, cukai jualan, cukai pekhidmatan, cukai export dan cukai import semua dianggar telah dan akan naik pada tahun 1999 kerana kemerosotan telah tamat di seluruh rantau ini mulai awal tahun ini.
Walaupun hasil pendapatan kerajaan meningkat pada tahun ini, disiplin fiskal - dari segi usaha mengutip hasil, terutamanya cukai, dan juga dari segi perbelanjaan - mesti ditingkatkan supaya lebih cekap, berkesan dan konsisten. Masih 20-25% dari hasil kerajaan bukan daripada cukai, tetapi berasal daripada harta milik kerajaan.
BA akan mengkaji semula perlaksanaan dasar penswastaan setakat ini untuk memastikan:
Untuk mengelakkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa demikian, pelaburan besar-besaran oleh perusahaan awam seperti Petronas dan Khazanah Holdings mesti diteliti oleh Parlimen. BA akan memastikan bahawa akaun kira-kira tahunan semua perusahaan awam dibentang dalam Parlimen untuk pengetahuan umum dan untuk mengelakkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. (Malangnya, sebahagian besar daripada wang Petronas, misalnya, telah dibazirkan dewasa ini untuk projek mega dan mewah (seperti Putrajaya, Menara Kembar KLCC dan Litar F-1), dan juga untuk menyelamatkan kepentingan tertentu seperti Bank Bumiputra, Konsortium Perkapalan, Proton dan sebagainya.)
Sektor awam patut disusun semula untuk memastikan perusahaan awam tidak menjadi beban besar terhadap kerajaan, ekonomi dan rakyat. Terdapat cara lebih baik (selain daripada penswastaan kepada kroni pilihan dengan harga murah) untuk mengatasi kelembaban sektor awam. Walaupun matlamat sosial tidak patut dilupakan, sektor awam harus diurus dengan lebih cekap dan berkesan untuk mendatangkan hasil pendapatan lebih besar bagi kerajaan.
Percukaian Lebih Adil
Beberapa kelemahan dalam sistem percukaian yang sedia ada mesti diperbetulkan supaya pengutipan cukai di Malaysia lebih cekap dan saksama, dan tidak lagi berat sebelah kepada kepentingan kroni..
Dewasa ini, terutamanya sejak pertengahan tahun 1980an, kesan sistem percukaian semakin regresif, di mana agihan pendapatan selepas percukaian lebih tidak saksama kalau dibanding dengan agihannya sebelum dikenakan cukai. BA akan berusaha supaya sistem percukaian menjadi lebih adil dan tidak lagi meningkatkan ketidaksamaan.
Walau bagaimanapun, BA akan menggunakan dasar fiskal, termasuk sistem percukaian, untuk menggalakkan kegiatan yang diingini dan mengurangkan perkara yang tidak dikehendaki. Oleh demikian, pengecualian tambahan akan diberi untuk menggalakkan sektor swasta membelanja lebih untuk melatih pekerja mereka atau pun untuk menjalankan penyelidikan. BA juga akan mengenakan cukai lebih berat terhadap kegiatan yang tidak patut digalakkan - seperti merokok, meminum arak, berjudi dan sebagainya. Cukai TV akan dibatalkan memandangkan RTM memperoleh pendapatan daripada iklan.
BA tidak akan mengenakan cukai nilai tambahan (value added tax, atau VAT) buat sementara waktu walaupun sudah lama dirancang oleh Kerajaan BN. Memandangkan bahawa peraturan World Trade Organization (WTO) akan mengurangkan ruang untuk mengenakan cukai import atau tarif, BA akan menimbangkan cukai terhadap barang dan perkhidmatan mewah dan membatalkan pengecualian cukai sedia ada terhadap bot mewah, jet peribadi, kereta berlumba, kereta antik, jet peribadi dan korporat, dan sebagainya. Sebaliknya, kadar cukai terhadap jualan lain akan dikurangkan. Langkah demikian bukan hanya akan mengurangkan ketidakadilan sistem percukaian yang sedia ada, tetapi juga akan meningkatkan permintaan tempatan yang masih merosot sebanyak -3.4% pada sukutahun kedua tahun 1999 walaupun pengeluaran telah mula pulih.
BA akan meminda struktur percukaian untuk mengurangkan beban cukai terhadap golongan berpendapatan sederhana yang dikenakan cukai pendapatan. Pindaan demikian wajar memandangkan kenaikan kos hidup sejak pindaan demikian yang terakhir. Oleh demikian, paras pendapatan yang dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan akan ditingkatkan kepada RM12,000. Pengecualian untuk ibu bapa yang membiayai pendidikan anak mereka akan ditambahkan 100%. Langkah demikian akan meningkatkan pendapatan lepas-cukai, yang akan menambahkan lagi permintaan swasta, yang akan membantu pemulihan ekonomi.
Cukai import untuk melindungi perusahaan tempatan serta pengecualian daripada cukai merupakan satu insentif penting untuk menggalakkan pelaburan produktif untuk eksport yang dikehendaki. Walaupun peraturan World Trade Organization (WTO) semakin ketat dan hanya memberi ruang yang makin sempit, Malaysia mesti menggunakan peluang yang masih ada sepenuh-penuhnya untuk memajukan industri serta perusahaan milik Malaysia yang akan mampu bersaing tidak lama lagi. Perlindungan sementara patut diberi kepada perusahaan atau industri baru yang mampu memperoleh kemampuan untuk bersaing pada peringkat antarabangsa dalam masa yang singkat. Potongan cukai untuk kegiatan memajukan eksport patut ditingkatkan kepada 300%. Kerajaan akan meningkatkan usaha menarik pelaburan yang dikehendaki serta memperluaskan lagi pasaran eksport, dengan lebih manafaat kepada kepentingan perusahaan kecil dan sederhana.
Sebelum krisis bermula pada tahun 1997, kurang dari 25% daripada pinjaman bank perdagangan tempatan diberi untuk perkilangan, pertanian atau perlombongan; peratusan pada tahun 1998 telah banyak merosot kepada paras 16%, yang mengurangkan kemungkinan pemulihan yang kuat. Kawalan serta pencukaian terhadap institusi kewangan akan dipinda untuk menggalakkan pinjaman demikian, dan untuk mengurangkan pinjaman untuk pembelian saham dan harta tanah (selain dari rumah pertama), yang telah menyebabkan 'buih' inflasi harga aset (saham dan harta tanah), yang akhirnya membawa krisis di seluruh rantau ini apabila buih itu meletup. Institusi kewangan di Malaysia akan digalakkan - antara lain, melalui insentif fiskal dan monetar - supaya lebih banyak meminjam untuk tujuan produktif.
Perbelanjaan Terpilih Lebih Berkesan
Pemulihan ekonomi di Malaysia masih lembab, akibat beberapa faktor, termasuk dasar ekonomi BN yang tidak meyakinkan para pelabur jangka panjang. Memandangkan betapa sulitnya meningkatkan permintaan swasta, perlu diperkenalkan usaha meningkatkan permintaan awam melalui perbelanjaan awam, sama ada sebagai pelaburan atau pun penggunaan. Demi meningkatkan mutu hidup rakyat Malaysia, BA akan lebih mengutamakan perbelanjaan yang bersifat pelaburan daripada perbelanjaan yang bersifat penggunaan, terutamanya penggunaan mewah dan sia-sia. Maka, walaupun BA mencadangkan belanjawan yang bertujuan untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi, BA juga akan meningkatkan disiplin fiskal dan memenuhi keperluan untuk mencapai pembangunan yang mampan.
Pengawalan terhadap perbelanjaan sektor awam mesti lebih rapi dan berkesan. Projek mega dan mewah oleh pihak kerajaan patut dibatalkan kalau boleh; kalaulah projek berkenaan sudah bermula, kerajaan harus bertindak dengan cermat untuk mengurangkan kerugian akibatnya. Sebagai contoh, projek Empangan Bakun harus dibatalkan atas sebab-sebab ekonomi selain daripada masalah alam sekitar, masyarakat tempatan, kejuruteraan dan sebagainya. Cadangan kerajaan BN baru-baru ini untuk membina empangan lebih kecil (kapasiti 500MW) akan membawa pembaziran yang lebih besar daripada cadangan asal (2,400MW) yang sudah boros. Keputusan Kerajaan BN untuk membayar ganti rugi yang lumayan kepada kepentingan yang pernah mendapat peluang membina empangan itu patut dikaji semula dan dikurangkan ataupun dibatalkan mengikut penilaian yang teliti lagi seimbang. BA akan mengkaji semula semua projek besar (melebihi RM100 juta), sama ada sudah diperuntukkan, telah dikontrakkan atau pun sedang dilaksanakan, dengan tujuan mengurangkan liabiliti kerajaan atau pun menjejaskan kewangan kerajaan dari segi lain. Kalau penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa disyaki, BPR akan menjalankan penyiasatan selanjutnya.
Untuk meningkatkan permintaan swasta, BA akan meminda peraturan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membenarkan pencarum mengeluarkan lebih banyak wang dengan lebih mudah sebelum bersara untuk tujuan membeli rumah, membiayai pendidikan anak dan belanja kesihatan yang luar biasa. Akaun kecil KWSP patut ditingkatkan sebanyak 20% dalam tiga tahun akan datang supaya pembeli rumah pertama dapat mengambil kesempatan dari keadaan pasaran perumahan sekarang untuk memperolehi rumah sendiri. Langkah demikian juga akan membantu industri perumahan. Pendidikan anak patut ditambah sebagai kategori pelaburan Akaun C KWSP kerana merupakan pelaburan sumber manusia keluarga.
BA juga akan mengkaji semula cadangan laporan kepada Jemaah Menteri pada tahun 1967 untuk memperluaskan keselamatan sosial sesuai dengan keadaan, kehendak dan keperluan semasa.
BA juga akan menjamin supaya setiap penuntut yang layak mengikuti pendidikan tinggi boleh mendapat pinjaman yang mencukupi daripada tabung yang telah didirikan.
BA akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya untuk membuat cadangan tentang skim Insurans Kesihatan Nasional. Suruhanjaya ini akan terdiri daripada semua golongan utama yang berkepentingan, termasuk wakil ikhtisas perubatan, majikan, pekerja, industri kewangan dan insurans, badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan. Suruhanjaya ini akan diberi tempoh enam bulan untuk menyediakan laporan untuk dipertimbangkan oleh orang ramai dan Parlimen untuk tindakan seterusnya.
Memandangkan trend pembandaran dalam tiga dekad yang lalu, terdapat krisis perumahan bandar yang masih amat serius. Harga harta tanah telah melambung tinggi, dan ramai keluarga bandar tidak mampu membeli rumah pada harga pasaran. BA akan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Perumahan dengan geran pelancaran RM1 bilion, khusus untuk mengatasi masalah kekurangan perumahan secepat mungkin. Dengan mengurangkan kos transaksi, PPP ini dapat bergiat secara berkesan dan cekap.
BA juga bercadang membelanja untuk membina perumahan kos rendah dan sederhana untuk orang awam, perumahan bagi kakitangan kerajaan, terutamanya tentera, guru, jururawat dan sebagainya, sekolah, hospital dan klinik, jalan, bekalan air bersih, dan lain-lain. BA akan mempercepatkan penyelesaian projek infrastruktur yang perlu dan berguna, termasuk jalan dan bekalan air, tetapi akan cuba membatalkan projek mega dan mewah seperti pulau lapangan terbang berdekatan dengan Pantai Merdeka, jambatan ke Sumatera, empangan Bakun, pemulihan tanah sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan jalanraya di Banjaran Titiwangsa.
Sebelum krisis bermula, sektor pembinaan cukup giat membina pejabat dan kedai sehingga terdapat terlalu banyak ruang demikian. Satu-satunya cara menyelamatkan industri pembinaan serta industri bahan pembinaan ialah dengan mengalihkannya untuk mengatasi krisis perumahan serta kerja awam. Perbelanjaan demikian patut mendatangkan kesan sampingan baik yang berlipat ganda dari segi ekonomi dan sosial sesuai dengan hasrat mewujudkan masyarakat penyayang. Di samping itu, projek demikian juga kurang melibatkan bahan import. Masalah ini tidak akan selesai hanya dengan bergantung kepada kuasa pasaran. Bantuan serta insentif perlu untuk mendorong industri pembinaan ke arah memenuhi kehendak rakyat jelata. Memandangkan krisis harta tanah pernah berlaku dahulu, dan Kerajaan BN telah gagal mengelakkannya, BA bercadang menubuhkan Pejabat Pendaftar Harta Tanah untuk menyelaraskan kelulusan projek pembinaan, mengumpul segala maklumat yang relevan dan membantu perancangan pada masa depan. BA juga akan menjamin ketelusan maklumat berkenaan untuk mengelakkan penyelewengan, serta membolehkan dan memudahkan pengawalan sendiri industri pembinaan.
BA akan berusaha untuk memulihkan kewibawaan sektor awam amnya dan institusi Kerajaan khususnya. BA akan memperkenalkan langkah yang perlu untuk membaiki prosedur pembiayaan, mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan. Perhatian khusus akan diberi kepada cara pemerolehan kerajaan, sistem peruntukan belanjawan, struktur pengurusan kewangan dan penjagaan harta benda kerajaan.
BA akan meningkatkan penanggungjawaban (akauntibiliti) sektor awam, terutamanya pihak berkuasa, dengan menambahkan ketelusannya. Pengoditan serta kawalan lebih rapi terhadap perbelanjaan kerajaan mesti dikuatkuasakan secara konsisten dan tegas untuk mengelakkan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan serta keuntungan yang lumayan untuk kroni pimpinan BN. Prestasi sektor awam akan dipercekapkan dan diperkemaskan melalui reformasi sektor awam, termasuk pengenalan pengoditan prestasi (performance auditing).
Perubahan dasar serta sikap terhadap sektor awam di bawah pemerintahan Mahathir telah membelakangkan sektor awam dan menjatuhkan semangat pekerjanya. Kenaikan gaji serta martabat pekerja sektor awam amat perlu untuk memupuk semangat bekerja kuat, dan untuk mengelakkan mereka terpaksa mencari pendapatan sampingan kerana kekurangan pendapatan. Gaji pekerja sektor awam patut ditingkatkan memandangkan kenaikan harga yang lebih pesat daripada kenaikan gaji mereka sejak tahun 1980an. Hari Sabtu akan dijadikan hari cuti am bagi pekerja sektor awam dengan menyusun semula jadual kerja mingguan. BA akan melibatkan kesatuan sekerja serta wakil pekerja yang lain dalam kajian terhadap cara membaiki syarat pekerjaan sektor awam, pindaan gaji sesuai dengan tugas serta tanggungjawab dan mengurangkan jurang gaji yang sedia ada untuk meningkatkan semangat bekerja di sektor awam. Hasil kajian ini akan diumumkan dan dilaksanakan dalam Belanjawan bagi tahun 2001 nanti.
Kenaikan gaji demikian akan dikaitkan dengan insentif kerja baru dan disiplin lebih tinggi untuk menghapuskan rasuah dan sebagainya. Sesuai dengan hasrat ini, BA akan meminda undang-undang untuk membolehkan BPR mendakwa pihak yang terlibat dengan rasuah, dan juga untuk membolehkan rakyat serta media massa mendapat dan menyiarkan maklumat ekonomi yang dirahsiakan dengan tujuan melindungi para kroni. BPR akan diarahkan menyiasat penyelewengan dalam perbelanjaan serta urusniaga badan-badan ini, termasuk institusi yang baru didirikan setelah ekonomi kita dilanda krisis. BPR juga akan diarahkan supaya menumpukan usaha penyiasatannya terhadap ikan yu yang tamak, bukan ikan bilis yang 'cari makan'.
Kerajaan BN telah banyak meminjam untuk membiayai usaha menyelamatkan sektor kewangan serta beberapa syarikat kroni. Kalau pemerintah lain berusaha kuat untuk mengurangkan kesan buruk krisis terhadap golongan yang paling daif dan terdedah dalam masyarakat, keutamaan Kerajaan BN ditumpukan terhadap usaha menyelamatkan segelintir tertentu saja. Malah, ada kroni tertentu yang mengambil kesempatan daripada krisis ekonomi untuk memperluaskan dan memperkukuhkan kuasa kewangannya, misalnya melalui cadangan penggabungan bank dan syarikat broker, seperti diterangkan tadi. Kalau terdapat penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, BPR akan menyiasat dan mengambil tindakan selanjutnya.
Nasib rakyat jelata yang mengalami kesulitan tidak diberi perhatian sebelum musim pilihanraya bermula. Ratusan ribu pekebun kecil getah telah menghadapi kejatuhan harga getah; bantuan harga susu getah yang baru diperkenalkan menjelang pilihanraya hanya menaikkan harga yang diterima pekebun kecil kepada paras yang terdapat pada penghujung tahun 1974, ketika berpuluhan ribu pekebun kecil telah menunjuk perasaan di Baling, Sik dan Selama. Harga padi pula hanya meningkat sekali menjelang pilihanraya tahun 1990 setelah tunjuk perasaan di Alor Setar pada tahun 1980 berjaya meningkatkannya sebanyak 25%. Maka, harga yang diterima penanam padi sekarang jauh kurang daripada tahun 1980 akibat kenaikan harga barang lain. Malah, harga minyak kelapa sawit juga telah jatuh dewasa ini. Kerajaan akan membantu petani miskin dengan usaha sokongan harga yang menasabah serta cara lain seperti menambahkan peluang memperoleh pendapatan tambahan dari kegiatan ekonomi lain di luar bandar.
Kebanyakan tenaga kerja di Malaysia kini terdiri daripada pekerja upahan. Hanya sebahagian kecil daripada mereka menjadi anggota kesatuan sekerja. Selama ini, Kerajaan BN tidak menggalakkan pekerja menganggotai kesatuan untuk mewakili mereka. BA bersikap positif terhadap kesatuan sekerja, dan akan memastikan majlis tiga pihak (majikan, pekerja, kerajaan) manjadi lebih bermakna dan berkesan.
BA akan memperkenalkan gaji minimum yang munasabah mengikut kos hidup dan industri, yang akan dipersetujui oleh sebuah Majlis Gaji Nasional.
BA akan melaksanakan cadangan daripada beberapa siasatan terhadap nasib pekerja, terutamanya pekerja ladang, yang telah lama diabaikan.
Melalui Kerajaan Tempatan yang dipilih oleh pemestautin berkenaan, BA akan menghidupkan semula penglibatan masyarakat madani dalam menentukan nasib mereka sendiri. Dengan demikian, BA akan menambahkan kuasa rakyat jelata dalam usaha menyelesaikan masalah tanah, infrastruktur serta kemudahan lain di peringkat kampung tradisional dan kampung baru.
Bantuan lain untuk warga tua, orang cacat dan ibu tunggal (yang menyara anak secara bersendirian) amat perlu untuk menyelamatkan mereka daripada cengkaman kemiskinan. Golongan termiskin lain juga memerlukan perhatian khusus. Seperti juga dengan usaha bantuan lain, langkah demikian mesti diagih secara adil dan saksama mengikut keperluan, dan bukan atas perkiraan politik. BA akan mengkaji semula sistem serta amalan yang sedia ada, dan akan bertindak untuk mengatasi peruntukan subsidi serta bantuan untuk golongan miskin secara tidak adil.
BA juga akan melaksanakan langkah khusus untuk mempergiatkan beberapa sektor yang telah menjadi mangsa utama kemerosotan ekonomi dewasa ini. Selain dari pembinaan, infrastruktur dan kewangan (termasuk insurans), BA akan memberi perhatian kepada seluruh ekonomi, termasuk perkilangan, pertanian, pengangkutan (dalam negeri dan antarabangsa), telekomunikasi dan teknologi maklumat. Pelancongan dan pendidikan mempunyai potensi besar untuk menambahkan pendapatan tukaran asing kalau ditangani dengan baik.
Selain daripada sektor korporat, BA akan memberi perhatian khusus kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana yang masih belum dapat berdikari, apa lagi bersaing pada peringkat antarabangsa.
Walaupun belanjawan merupakan alat dasar ekonomi untuk tahun akan datang, pertimbangan jangka panjang juga harus juga diberi perhatian. Selain dari cabaran memperkukuhkan sistem bank, BA akan memberi perhatian khusus kepada beberapa cabaran jangka panjang, termasuk:
Strategi Belanjawan Barisan Alternatif bersifat serampang dua mata. Pertama, mengutamakan usaha menyediakan langkah fiskal untuk memulihkan ekonomi dalam jangka pendek dan seterusnya mencapai pembangunan mampan. Kedua, mewujudkan ekonomi yang berteraskan prinsip al-adl wal-ihsan. Sebenarnya, dua matlamat itu tidak bercanggah, malah saling melengkapi, bagi sebuah kerajaan yang mengutamakan kepentingan seluruh ekonomi dan rakyat, bukan hanya kepentingan segelintir kroni kaya yang kecil bilangannya.
Usaha Barisan Nasional menangani krisis ekonomi dewasa ini banyak mengutamakan kepentingan golongan berada, terutamanya sektor kewangan serta kroni utamanya yang telah diselamatkan. Sebaliknya, Barisan Alternatif lebih mementingkan kepentingan ekonomi rakyat jelata walaupun kepentingan golongan usahawan juga dipelihara. Kami tidak menafikan bahawa cadangan perbelanjaan sosial Barisan Alternatif jauh melebihi perbelanjaan Kerajaan Barisan Nasional selama ini, tetapi BA juga akan membatalkan atau mengurangkan perbelanjaan membazir Kerajaan BN yang kurang mendatangkan manafaat kepada rakyat terbanyak dan ekonomi negara.
Kerajaan dapat membiayai perbelanjaan tambahan ini dengan beberapa cara:
Kenaikan nilai matawang rupiah dan harga saham di Bursa Saham Jakarta pada minggu lalu setelah pemilihan Abdurrachman Wahid sebagai Presiden Indonesia yang baru dan Megawati Sukarnoputri sebagai Timbalannya jelas menunjukkan bahawa suatu kerajaan baru - yang bersih daripada korupsi, kronisme dan nepotisme, dan mampu membawa reformasi yang perlu - dapat meyakinkan orang ramai, termasuk para usahawan dan pelabur dari dalam dan luar negeri.
Barisan Alternatif Mampu
Kelebihan pendirian Barisan Alternatif - dibanding dengan Barisan Nasional - jelas kelihatan bagi mereka yang sempat melihat dan membandingkan pendirian kami dengan mereka. Malangnya, oleh kerana media massa utama di Malaysia dimonopoli oleh BN, kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak menyedari hakikat ini. Di samping itu, rakyat Malaysia telah diberi gambaran palsu seolah-olah hanya Barisan Nasional yang mampu menguruskan ekonomi nasional dengan baik, walaupun sebenarnya, Kerajaan BN telah gagal dari beberapa segi dan memungkiri amanah rakyat dari banyak segi yang lain.®