Kenyataan Media:

BELANJAWAN 2000

STRATEGI BA DEMI PEMULIHAN, PEMBANGUNAN DAN KEADILAN

Tiga hari lalu, Barisan Alternatif (BA) telah mengemukakan wawasannya untuk membentuk Malaysia baru yang adil, melalui Manifesto Bersamanya. Sebelum itu, Barisan Alternatif pernah mengemukakan pendiriannya terhadap beberapa isu semasa, termasuk masalah ekonomi.

Dua hari akan datang, Kerajaan BN akan mengemukakan belanjawannya bagitahun 2000. Orang ramai sudah sedar bahawa Kerajaan BN akan bermurah hati dalam Belanjawan 2000 untuk memancing undi dalam pilihanraya akan datang. Kononnya untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi atau pun kerana prihatin terhadap rakyat, tetapi sebenarnya untuk cuba memastikan kemenangan dalam pilihanraya akan datang.

Kerajaan BN akan mengurangkan cukai dan membelanjakan lebih banyak dengan lebih cepat. Sejak tahun 1998, Kerajaan BN telah meminjam dan membelanjakan lebih daripada RM60 bilion untuk menyelamatkan sistem bank, dan banyak lagi untuk beberapa syarikat terpilih yang dikuasai kroni mereka. Kebanyakan usaha Kerajaan BN ditujukan kepada bank sertakroni, sedangkan golongan rakyat terbanyak terus diabaikan sungguhpun mereka juga menjadi mangsa kegawatan.

Hanya menjelang pilihanraya, mulai pertengahan tahun 1999, barulah Kerajaan BN mula sibuk memberi perhatian terhadap golongan lain seperti orang pencen, kakitangan kerajaan, pekebun kecil getah dan lain lagi. Akibat bantahan rakyat, yang didukung oleh parti Barisan Alternatif, Kerajaan BN terpaksa berkompromi dan memberi perhatian yang lebih wajar terhadap tuntutan rakyat. Kerajaan BN terpaksa membatalkan rancangannya yang ditolak rakyat, seperti rancangan menswastakan lagi perkhidmatan kesihatan dan penggabungan bank secara paksa. Tetapi "silap mata" menjelang pilihanraya tidak mencerminkan sifat Kerajaan BN sebenar, yang dikuasai oleh segelintir pemimpin serta kroni mereka yang tamak dan rakus.

Dasar BA: Pilihan Lebih Baik

Memandangkan dasar ekonomi Kerajaan BN, terutamanya sejak kegawatan ekonomi bermula pada Julai 1997 dan kegawatan dasar dan politik bertambah mulai September 1998, Barisan Alternatif ingin mengemukakan strategi belanjawan alternatif. Tujuan kami ialah untuk mengingatkan rakyat Malaysia bahawa terdapat pilihan lain yang lebih baik bagi seluruh rakyat Malaysia kecuali beberapa kroni mereka yang berkuasa. Oleh demikian, kami berharap pimpinan BN akan insaf terhadap kesilapan dan penyelewengan mereka yang lepas, dan akan "bertaubat" supaya mengutamakan kepentingan rakyat dan masa depan pembangunan ekonomi tanahair kita yang tercinta.

Sebenarnya, ada banyak batasan yang terpaksa kami tidak hadapi untuk menyediakan sebuah belanjawan alternatif yang lengkap dan teliti tanpa maklumat serta kemudahan yang hanya ada kepada kerajaan yang sedia ada akibat undang-undang serta dasar Kerajaan BN yang terus merahsiakan maklumat ekonomi yang penting daripada perhatian rakyat.

Maka, usaha kami pada hari ini bertujuan menjelaskan kepada rakyat Malaysia:

  1. Keadaan ekonomi sebenar di tanahair kita akibat kesan penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa oleh pucuk pimpinan Kerajaan BN, serta kesan pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar ekonomi Kerajaan BN, termasuk beberapa yang salah dan yang didorong oleh usaha untuk menyelamatkan, malah untuk mengukuhkan kepentingan kroni pimpinan Kerajaan BN.
  2. Garis utama ataupun rangka strategi belanjawan Barisan Alternatif, yang jelas berbeza daripada Barisan Nasional dari banyak segi. Perbezaan utama berpunca daripada perbezaan kepentingan yang dibela; BN terus mengutamakan kepentingan segelintir kroni pemimpinnya, sedangkan BA memperjuangkan kesejahteraan seluruh rakyat, termasuk mereka yang daif. Perbezaan keutamaan ini membawa kepada perbezaan analisis, dasar dan strategi. Namun, ini tidak bermakna bahawa BA menolak segala yang pernah dilakukan oleh kerajaan selama ini kerana sebahagian besarnya juga dirancang dan dilaksanakan oleh pegawai kerajaan dan golongan lain yang ikhlas dan mengutamakan kepentingan nasional.
  3. Barisan Alternatif percaya bahawa kegagalan Kerajaan BN untuk membawa reformasi setelah krisis yang dialami dewasa ini akan menjejaskan kemampuan ekonomi kita untuk mencapai pemulihan yang kuat lagi berkekalan. Kerajaan BN jelas berhasrat untuk mengelakkan reformasi yang perlu bagi mencapai pembangunan ekonomi yang pesat atas asas yang kukuh kerana ingin melindungi kepentingan kroni mereka. Oleh demikian, tiada jalan lain selain menggantikan BN untuk membawa reformasi yang perlu untuk memperkenalkan dasar serta suasana ekonomi yang perlu untuk terus maju dengan pesat menjelang alaf baru.

Strategi Belanjawan BA yang dibentangkan hari ini jelas menunjukkan perbezaan yang besar dari segi wawasan serta dasar antara BN dan BA. Akibat dasar yang dilaksanakan oleh pihak BN, Malaysia sedang menuju ke alaf baru dengan sistem ekonomi dan pemerintahan yang tidak dapat menjamin pembangunan dan kesejahteraan bagi rakyat Malaysia. Pilihan yang ada kepada rakyat Malaysia jelas sekarang - antara kemungkaran Barisan Nasional dan perjuangan BA yang maaruf.

PRESIDEN
Parti Keadilan Nasional (keADILan)

PRESIDEN
Parti Islam SeMalaysia (PAS)

SETIAUSAHA AGUNG PRESIDEN
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

PRESIDEN
Parti Rakyat Malaysia (PRM)

Kuala Lumpur, 27 Oktober 1999®