RAKYAT KELANTAN SETIA PADA ULAMAK, UMARAK

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata majoriti rakyat Kelantan kini menaruh keyakinan tinggi terhadap kredibiliti kepimpinan PAS untuk terus menerajui kerajaan Kelantan.

Katanya walaupun kerajaan negeri menghadapi banyak rintangan sejak memerintah bermula 1990 tetapi kepimpinan sekarang tetap mampu menonjolkan kebenaran yang diingini rakyat hingga menyebabkan mereka yang bukan beragama Islam turut percaya terhadap kerajaan negeri itu.

Persidangan yang bermula Isnin lepas berakhir semalam. Tuan Guru Nik Aziz juga meminta anggota DUN supaya tidak terlalu dipengaruhi dengan perkataan "alaf baru" hingga seolah-olah menjadi "kejutan" di kalangan mereka.

"Bagi kita orang Islam diajarkan tiap-tiap hari itu sebagai alaf baru, kerana setiap hari kita perlu meningkatkan kemampuan diri," katanya.

TG Nik Aziz turut kesal dengan kenyataan Mohamed Adhan Kechik (BN-Kemahang) yang menyebut perkataan "Tok Cha" (dialek Kelantan bagi Sami Buddha) ketika membahaskan belanjawan, yang disifatkan TG Nik Aziz sebagai cuba merujuk kepada beliau (Nik Aziz).

"Saya tidak buat apa-apa dan tidak ada dosa saya kepada ADUN Kemahang selama ini kecuali baru-baru ini saya terima borang keanggotaan PAS oleh rakyat di kawasannya. Tetapi dia sanggup kata saya 'Tok Cha'," katanya.

"Inilah yang dikatakan nafsu kuat tetapi tenaga tidak ada. Sebenarnya dia (Mohamed Adhan) gelisah dalam pemikiran dia kerana tidak boleh halang saya daripada pergi ke tempat dia," kata TG Nik Aziz.

Menurut TG Nik Aziz, beliau selepas ini akan melawat ke kawasan Kemahang dan memberitahu rakyat di kawasan itu berkenaan dengan perbuatan Mohamed Adhan yang memanggilnya "Tok Cha" -- satu panggilan yang disifatkan menghinanya.

PAS mempunyai 26 kerusi DUN Kelantan manakala baki 17 kerusi dimiliki oleh BN. Perkataan "Tok Cha' itu timbul sewaktu Mohamed Adhan cuba mempertikaikan kenyataan wakil PAS yang mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Kelantan sebelum 1990 sering berhutang dan meninggalkan hutang yang perlu ditanggung oleh kerajaan negeri sekarang.

Mohamed Adhan berkata pinjaman daripada kerajaan pusat itu dibuat bagi membuat pembangunan dan membina bangunan termasuk pusat pentadbiran Kota Darulnaim kerajaan negeri, tempat sidang DUN itu diadakan.

Dewan kemudian meluluskan Belanjawan Negeri 2000 berjumlah RM256.39 juta.®