SATU TINDAKAN BIJAKSANA!

Pendirian Presiden Abdurrahman Wahid yang mahu mempertahankan keputusannya untuk membubarkan Kementerian Penerangan perlu dihormati oleh semua pihak. Beliau menegaskan bahawa tidak akan menghidupkan semula kementerian itu atas apa jua alasan.

Beliau berkata demikian kepada Ketua Setiausaha I.G.K. Manila yang mewakili 2,000 kakitangan kementerian itu yang mengadakan demonstrasi aman bagi membantah keputusan Presiden itu kira-kira 200 meter dari kawasan Istana Negeri.

Semasa mengumumkan pembentukan kabinetnya dua hari lepas, Gus Dur telah memansuhkan Kementerian Penerangan dan Kementerian Hal Ehwal Sosial.

Abdurrahman berkata tindakan menutup kedua-dua kementerian itu dibuat setelah perundingan menyeluruh dengan Naib Presiden Megawati Sukarnoputri, Speaker Majlis Pemesyuaratan Rakyat, Amien Rais dan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Akbar Tanjung, serta Jen Wiranto.

Wiranto dilantik Menteri Penyelaras Keselamatan dan Hal Ehwal Politik dalam kabinet baru yang akan mengangkat sumpah esok.

Abdurrahman berkata semua kakitangan dan pegawai Kementerian Penerangan (kira-kira 58,000) akan ditukarkan ke agensi-agensi kerajaan yang lain di seluruh negara.

Beliau berkata kerajaan juga tidak akan mengekalkan lagi agensi-agensinya yang tidak sesuai dan tidak efektif. Pencabulan kuasa dan pihak berkuasa seperti itu perlu dihentikan sekarang juga, katanya. Presiden itu turut menemui satu lagi delegasi bantahan dari Kementerian Sosial.

Beliau memberi jaminan kepada mereka yang membantah bahawa mereka dipindahkan ke agensi-agensi kerajaan yang lain.®