RUSLAN TIDAK BERMAKSUD HINA MAHKAMAH

BERNAMA

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak dengan kos permohonan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob untuk memulakan prosiding komital terhadap ketua penerangan Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Ruslan Kassim kerana menghina mahkamah.

Hakim Datuk Mohamed Shaari Yusoff berkata, beliau berpuas hati yang kenyataan yang dibuat oleh Ruslan dalam afidavit jawapan yang diikrar pada 11 Jun lepas "tidak bermaksud untuk menghina mahkamah".

Megat Junid telah memohon untuk memulakan prosiding komital itu berhubung kenyataan Ruslan yang keadilan hanya boleh didapati di England dan bukan di Malaysia.

Peguam Megat Junid, Datuk Vijay Kumar Natarajan berhujah yang kata-katadalam afidavit Ruslan menghina mahkamah kerana pada masa itu hakim telah memberikan anak guamnya injunksi interim dan dalam proses mendengar injunksi antara pihak.

Peguam Ruslan, Chew Swee Yoke telah menjelaskan yang Ruslan hanya merujuk kepada trend di England.

Mohamed Shaari, dalam penghakimannya berkata mahkamah berpendapat apa yang Ruslan mahu berbuat dalam kes itu ialah membandingkan trend di negara ini dengan trend di United Kingdom.

"Saya bersetuju yang kata-kata yang dikatakan sebagai menghina mahkamah itu menjelaskan mengenai trend di United Kingdom dan saya tidak bersetuju dengan pendapat peguam pemohon (Megat Junid) akan maksud kata-kata itu," kata hakim itu.

Bagaimanapun hakim itu berkata beliau bersetuju dengan peguam Megat Junid yang kata-kata itu tidak seharusnya berada dalam afidavit kerana ia muncul dalam bentuk hujahan dan Ruslan sepatutnya hanya menyatakan fakta.

Megat Junid mengemukakan saman fitnah terhadap Ruslan pada 28 April lepas meminta pampasan RM10 juta kerana kenyataan Ruslan bahawa Menteri itu mempunyai RM45 juta dalam sebuah bank Israel.

Di samping pampasan, beliau juga meminta ganti rugi teruk, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.®