Kenyataan Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Hishamuddin Hussein yang menggesa ahli UMNO yang pernah disogok oleh mana-mana pemimpin supaya mendedahkannya kepada umum itu sewajarnya disokong. Namun ianya mestilah ikhlas dan bersifat keseluruhan iaitu tidak hanya dengan tujuan untuk memalukan atau menjatuhkan seseorang maka pendedahan itu dibuat.
Begitu juga dengan apa yang berlaku dengan seorang pemimpin tertinggi negara ini tatkala mempertahankan kerusi presidennya dalam tahun 1987 lalu. Tindakannya mengogok para perwakilan yang nyata disifatkan sebagai rasuah tetapi kerana ia pemimpin nombor satu maka hakikat itu disembunyikan. Perkara ini diketahui umum apabila Ku Li dan Mahathir bertarung dalam jawatan Presiden UMNO dalam tahun 1987.
Selain itu amalan memanggil kenduri dengan menumbangkan jumlah kerbau dan lembu yang banyak menjelang pilihanraya juga perlu didedahkan. Perkara ini seringkali berlaku dikampong-kampong di negeri ini. Pemberian sogokan itu juga dalam bentuk RM20 atau RM50 atau kain pelekat atau telekong dan sejadah.
Jika demikian, beberapa pemimpin dalam Bahagian Gopeng, Ipoh Barat dan Ipoh Timur perlu disiasat kerana hadir ke rumah penduduk di kawasan ini menawarkan sejumlah wang bagi mengundi UMNO dalam pilihanraya nanti.
Pendedahan demi pendedahan memang perlu dilakukan, tidak kiralah kecil atau besar. Ini juga membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO memang sudah tidak relevan kerana terbukti amalan rasuahnya diperingkat cawangan hingga ke majlis tertinggi parti itu.
Minda Rakyat amat menghargai sebarang daya usaha mereka yang berani dan mahu menampilkan diri mendedah segala penyelewengan dan kepincangan yang berlaku dalam parti yang menjadi pemerintah negara saat ini.®