Rata-rata kakitangan awam negeri ini menyifatkan Belanjawan 2000 hanyalah momokan untuk memperdayakan rakyat lain dengan mengatakan golongan kakitangan awam menerima 'durian runtuh' RM1,000 minima atau sebulan gaji mengikut mana maksima.
Hakikatnya kakitangan kerajaan sudah dibayar bonus itu melalui gaji Julai hingga Disember ini sebanyak RM100 sebulan. Manakala baki RM400 atau lebih itu dipercayai akan dibayar pada gaji bulan Januari 2000 hingga Mac 2000.
Tinjuan yang dibuat dikalangan kakitangan kerajaan itu merumuskan bahawa mereka tetap bersyukur dengan pemberian yang memperdayakan mereka itu. Anak isteri yang tidak memahami strategi belanjawan tersebut menyangka ayah mereka menerima 'durian runtuh' sedangkan hakikatnya tambahan RM100 sebulan sebagaimana diterima sekarang.
Kekecewaan di kalangan kakitangan kerajaan negeri ini jelas apabila mereka akan menghadapi dua perbelanjaan yang membebankan iaitu menghadapi persekolahan awal tahun hadapan dan hari raya juga di ketika yang sama.
Justeru itu bonus seperti selalu yang dibayar secara sekaligus dapat membantu kakitangan terutama peringkat bawahan mengatur perbelanjaan. Menurut mereka tambahan RM100 sebulan tidak membawa apa-apa makna, sedangkan tuntutan perbelanjaan bulanan mereka seringkali tidak mencukupi.