Menteri Penyelaras Politik dan Keamanan Indonesia Jen Tan Sri Wiranto hari ini mengadakan kunjungan dan perbincangan hampir satu jam dengan Perdana
Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini.
Bekas panglima Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) itu, yang dilantik ke jawatan baru dalam kabinet presiden keempat Indonesia Abdurrahman
Wahid baru-baru ini, tiba di sini petang semalam bagi lawatan singkat.
"Tujuan lawatan saya ialah untuk memperkenalkan diri setelah menyandang jawatan baru. Kami turut membincangkan masalah hubungan dua hala,"
katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu di pejabat Dr Mahathir.
"Saya turut menyampaikan salam Presiden Abdurrahman kepada Dr Mahathir," katanya. Presiden Abdurrahman dijangka melakukan lawatan ke
Malaysia pada awal November ini.
Turut serta dalam pertemuan itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Abang Abu Bakar Mustapha dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Zahidi
Zainuddin.
Jen Wiranto memainkan peranan penting menjaga keamanan dan kestabilan Indonesia semasa B.J Habibie mengambil alih jawatan presiden daripada Suharto
selama setahun setengah. Beliau turut ditawarkan Habibie menjadi calon naib presiden pada pemilihan baru-baru ini, tetapi menolak tawaran itu.
Ditanya keadaan di Indonesia sekarang, Jen Wiranto berkata berkata keamanan di Indonesia kini beransur-ansur pulih selepas pembentukan Kabinet baru.
"Keamanan sudah beransur-ansur pulih dan kita boleh menitikberatkan suatu pembangunan ekonomi yang amat diperlukan masyarakat Indonesia,"
katanya.
Jen Wiranto berkata Kabinet baru merupakan campuran yang diwakili hampir semua parti besar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Dari segi etnik, Kabinet baru ini juga menampung aspirasi daripada pelbagai suku kaum di Indonesia. Maknanya tiada oposisi (pembangkang) di
Indonesia," katanya.
Pada pertemuan itu, Dr Mahathir turut menyampaikan Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (Kehormat) kepada Jen Wiranto bagi pihak yang di-Pertuan
Agong.
Jen Wiranto dijadual berlepas pulang ke Jakarta tengah hari ini.
BERNAMA