UMNO PERTAHANKAN MARTABAT, PAS PERJUANGKAN SYARIAT

Kegagalan memahami Islam menyebabkan pemimpin UMNO negara ini terus mengeluarkan kenyataan yang boleh menyesatkan umat Islam. Justeru itu kita melihat bahawa kerajaan akan terus mempertahankan martabat Islam sebagai agama rasmi negara, sebaliknya tidak memperjuangkan Islam dan melaksanakan syariatnya.

Sudah pasti Islam yang tinggi dan mulia itu mengambilkira isi hati penganut agama lain. Bagaimana pun kerana keengganan melaksanakan Islam itu sendiri, maka pimpinan negara ini secara berani dan terus terang meletakan Islam setaraf dengan agama lain di dunia ini.

Kenyataan PM Dr. Mahathir bahawa Islam akan dipertahankan sebagai agama rasmi itu sesungguhnya membuktikan bahawa Islam tidak akan dibela atau diperjuangkan perlaksanaan syariatnya, selain syiar atau lambangnya sahaja. Syiar Islam ialah seperti masjid, surau, pertandingan membaca Al-Quran dan lain-lain upacara keagamaan yang disambut.

Rakyat jangan mudah terpedaya dengan dakwaan pimpinan UMNO bahawa cukuplah sekadar melaksanakan syiar Islam dan tak perlulah melaksanakan syariatnya.

Justeru itu juga pimpinan negara lebih gemar membina masjid dengan seribu keindahan dan kos yang tinggi tetapi tiada jemaah yang memakmurkannya.