TUAN GURU PERTAHANKAN PRINSIP MANIFESTO BA

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau berhak menjadi Menteri Besar Kelantan selama dua penggal lagi walaupun di dalam manifesto BA ada cadangan supaya seseorang itu memegang jawatan berkenaan hanya selama dua penggal, sekiranya mereka dipilih rakyat.

Katanya, Barisan Alternatif menetapkan peraturan untuk menghadkan jawatan Menteri Besar dipegang oleh seseorang itu untuk dua penggal sahaja tetapi ianya hanya dilaksanakan sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Saya sekarang belum lagi masuk zaman (Barisan) Alternatif. Ini zaman dulu, jadi kalau Alternatif (berkuasa), saya ada dua penggal lagi," kata Tuan Guru.

Sebelum ini, Nik Aziz berkata beliau akan merujukkan perkara itu kepada kepimpinan PAS dan bersedia melepaskan jawatannya itu selepas berakhir penggal sekarang bagi menghormati cadangan itu seperti yang terkandung dalam manifesto bersama PAS, DAP, Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia atau BA.

Menurut Nik Aziz, beliau tidak berniat untuk memegang jawatan itu untuk selama-lamanya dan akan berhenti jika diminta berbuat demikian.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah pula mencabar supaya Tuan Guru Nik Aziz melepaskan jawatannya itu bagi memenuhi kehendak manifesto BA itu.®