PEGAWAI JPM EDAR BUKU 50 DALIL

Buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM" yang mengandungi dakwaan salah laku seks Datuk Seri Anwar Ibrahim diedarkan oleh beberapa pegawai Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Anwar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Norazman Abdullah atau Baginda, pembantu Datuk Sng Chee Hua, anggota parlimen dari Sarawak.

Beliau berkata Baginda memberitahunya bahawa buku 50 Dalil itu selain diedar di Pusat Dagangan Dunia Putra semasa Perhimpunan Agung Umno 1998, juga dipesan berulangkali oleh JPM.

Anwar berkata beliau terkejut kerana "buku sejijik ini diedarkan oleh beberapa pegawai di pejabat Perdana Menteri".

Beliau berkata demikian ketika disoal peguam utamanya Christopher Fernando pada hari kelapan membela diri terhadap pertuduhan meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar, 39.

Perbicaraan hari ini masuk hari ke-70.

DSAI juga berkata Baginda ada memberitahunya bahawa Tun Daim Zainuddin membantu dari segi kewangan dan telah mendapatkan kontrak di Sepang sebagai upah kepada Ummi Hafilda Ali dan Azizan dalam usaha untuk menyempurnakan muslihat mereka untuk menjatuhkan Anwar.

Baginda juga berkata Ummi mengaku menerima RM2.5 juta serta projek itu bagi peranannya dalam konspirasi untuk menjatuhkan Anwar.

Ummi ialah penulis surat "Perihal Salah Laku Timbalan Perdana Menteri" bertarikh 5 Ogos 1997, yang dihantar kepada Perdana Menteri bersama-sama pengakuan bersumpah Azizan bahawa dia diliwat Anwar.

DSAI berkata Baginda memberitahunya bahawa Ummi menerima sebahagian daripada wang itu dalam kereta semasa pertemuannya dengan Daim dan Khalid Jafri, penulis buku 50 Dalil.

Baginda menyatakan bahawa Ummi juga ada merancang bersama-sama Khalid Jafri untuk memuatkan tuduhan-tuduhan berhubung salah laku seksual dan liwat terhadapnya ke dalam buku 50 Dalil bersama tuduhan-tuduhan lain.

"Yang Arif, sejak Julai lagi Baginda telah memberitahu saya keputusan PM untuk memecat saya dan disahkan oleh Tun Daim, Datuk Aziz Shamsuddin dan Tengku Adnan Mansor. Ummi memberi jaminan bahawa beliau akan membantu menghabiskan saya," kata Anwar.

Anwar berkata bahawa menurut Baginda, Ummi juga telah berjanji dengan Perdana Menteri supaya memberikan beliau masa selama dua minggu bagi "mematikan Anwar".

Anwar berkata, laporan Baginda kepadanya berhubung perkara itu juga menyebut penglibatan setiausaha politik perdana menteri, Datuk Aziz Shamsuddin dan setiausaha kerja Umno Tengku Adnan Mansor dalam konspirasi berkenaan.

Oleh kerana Perdana Menteri percaya Anwar akan mencabar beliau pada tahun 1999 dalam perhimpunan Agung Umno, maka beliau (Daim) akan pastikan Anwar akan tersingkir atau disingkir sebelum itu.

"Pelbagai alasan dibuat termasuk tuduhan agen CIA, rasuah, keterlibatan dalam pembunuhan, salah laku seks tetapi menurut beliau (Daim), alasan yang paling mudah digunakan bagi menimbulkan kemarahan rakyat terutamanya umat Islam terhadap saya ialah dengan mereka-reka cerita liwat," kata Anwar.

Menurut Baginda, Ummi telah menelefon Khairuddin Abu Hassan untuk meminta supaya buku itu terus diedarkan tanpa memperdulikan injunksi yang diberikan kepada Anwar "kerana pejabat perdana menteri pun masih order".

Menurut Anwar, Khairuddin ialah orang yang bertanggungjawab menyebarkan buku 50 Dalil pada Perhimpunan Agung Umno dan juga teman setia Ummi.

Khairuddin juga telah menipu apabila menyatakan bahawa Anwar adalah sepupunya.

Anwar berkata, Baginda juga memberitahunya bahawa Ummi ada memberikan jaminan kepada Azizan bahawa dia akan dilindungi dan wanita itu telah menggunakan nama perdana menteri serta Daim ketika berbuat demikian.

Ummi juga mendesak Azizan supaya tidak menukar ceritanya dan telah menelefon Aziz untuk memaklumkan bahawa "rancangan mereka berjalan seperti yang dirancangkan".

Ketika Fernando menyoal sama ada Baginda memaklumkan Anwar mengenai sikap serta hubungannya dengan Perdana Menteri sejak didakwa akan mencabar Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Hakim Datuk Arifin Jaka berkata soalan itu tidak perlu dikemukakan.

Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail membantah dengan alasan bahawa pembela perlu mengemukakan soalan itu kepada Baginda sendiri atau perdana menteri.

Bagaimanapun, mahkamah kemudian membenarkan soalan itu selepas Fernando berkata ianya perlu untuk menunjukkan bahawa hubungan antara keduanya merosot selepas dakwaan bahawa Anwar akan mencabarnya.

Anwar menyampuk dengan berkata hubungannya dengan Dr Mahathir "tambah meruncing" disebabkan penglibatan orang lain yang mencucuk perdana menteri.

Bagaimanapun, Arifin menegaskan bahawa jika Fernando ingin mengemukakan pembelaan konspirasi, beliau perlu mengkaitkannya dengan pertuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar.

Fernando kemudian memberitahu mahkamah bahawa mereka akan memanggil Baginda sebagai saksi pembelaan.

Anwar meneruskan keterangannya dengan memberitahu mahkamah bahawa "para golongan konspirator telah berjaya meyakinkan perdana menteri bahawa saya akan mencabar Dr Mahathir dalam perhimpunan Agung Umno 1999".

"Selain itu, keputusan-keputusan yang saya ambil pada masa itu dalam isu politik, menangani kegawatan ekonomi, isu menyelamatkan syarikat dan rasuah, jelas bertentangan dengan pendirian perdana menteri," kata Anwar berhubung kemerosotan hubungannya dengan Dr Mahathir sebelum beliau dipecat.

Anwar berkata, Baginda juga memberitahunya bahawa Ummi ada menyatakan bahawa "Anwar jatuh, I buat semua kenduri besar".

Beliau berkata, menurut Baginda, setelah berjaya meyakinkan perdana menteri yang Anwar akan mencabarnya, Daim telah meneruskan rancangannya dengan langkah memfokuskan pertuduhan liwat terhadap beliau (Anwar).

Katanya, beliau mengingati kesemua laporan Baginda kepadanya berhubung perkara itu kerana Baginda telah merakamkan sebahagian daripada perbualannya dengan Ummi semasa mereka di London.

Anwar berkata, Baginda telah menyerahkan pita rakaman itu kepadanya tetapi beliau telah menyerahkan pita itu semula kepada lelaki itu untuk memadamkan sebahagian rakaman yang mencela serta mencerca Perdana Menteri.

Pada peringkat ini, Arifin memuji tindakan Anwar berbuat demikian dan berkata "my impression is that you still respect the old man (pm)" dan Anwar, sambil tersenyum, menjawab, "Ya, Yang Arif."

Bagaimanapun, pita itu belum dikemukakan kepada mahkamah sebagai barang kes.®