MAJLIS PEGUAM TIADA KUASA TERHADAP ISU KARPAL SINGH

Majlis Peguam semalam digesa supaya menyiasat secara tidak berat sebelah dakwaan terhadap peguam Karpal Singh kerana dikatakan melanggar etika profesion guaman.

Gesaan itu dibuat oleh Setiausaha Kerja Umno Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor yang mendakwa inilah masanya bagi Majlis Peguam menunjukkan bahawa ia tidak berat sebelah, mengamalkan ketelusan dan bukan sebuah pertubuhan anti kerajaan. Beliau juga mahu Majlis mengambil tindakan tegas jika Karpal Singh didapati bersalah.

Tengku Adnan mendakwa Karpal Singh telah bertindak melampau apabila menuduh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Arifin Jaka takut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan bahawa mahkamah tunduk kepada kerajaan.

Sementara itu presiden Maljlis Peguam R.R. Chelvarajah memberitahu bahawa majlis itu tidak dapat mengambil tindakan terhadap Karpal Singh kerana tiada kuasa berbuat demikian.

Majlis hanya boleh bertindak terhadap peguam mengikut Seksyen 88 Akta Profesion Guaman 1976 jika ia membabitkan penipuan atau pemalsuan. 'Barisan Bertindak Rakyat Anti-Karpal Singh' telah salah tempat dengan menggesa siasatan dibuat terhadap Karpal yang dikatakan melanggar etika guaman.

Kumpulan itu semalam menyerahkan memorandum kepada majlis peguam mendesak supaya tindakan disiplin diambil terhadap Karpal kerana didakwa melanggar etika itu semasa perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chelvarajah berkata tindakan yang boleh diambil oleh Majlis Peguam hanyalah membalas memorandum terbabit dengan menasihati kumpulan itu menyuarakan pendapat mereka kepada lembaga disiplin bebas yang diketuai oleh hakim Mahkamah Rayuan.

Persoalan mengenai pelanggaran etika atau salah laku profesion seperti yang didakwa dalam keadaan sekarang tertakluk kepada Seksyen 77(3) Akta Profesion Guaman 1976. Lembaga disiplin bebas menyiasat memandangkan Majlis Peguam tidak mempunyai kuasa untuk mengawal profesion dan menjatuhkan hukuman jika ia membabitkan pelanggaran etika profesion.

Chelvarajah juga menyuarakan kekecewaannya terhadap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ibrahim Ali dan sesetengah ahli politik yang menggesa majlis itu mengambil tindakan terhadap Karpal Singh.