CHANDRA SAMAN FITNAH MURAD!

Timbalan presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Dr Chandra Muzaffar hari ini memfailkan saman fitnah berjuta-juta ringgit terhadap bekas penolong gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid kerana mendakwanya (Dr Chandra) menerima RM5 juta daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwaan bahawa Chandra dan Aliran telah menerima wang sejumlah itu terkandung di dalam akuan bersumpah bertarikh 26 Okt 1999, yang turut menyenaraikan dakwaan penyelewengan bekas perdana menteri itu.

Dalam kenyataan tuntutannya yang difailkan oleh Tetuan Skrine & Co di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Chandra menuntut RM25 juta bagi ganti rugi am dan RM45 juta bagi ganti rugi teruk, kos dan relif lanjutan lain.

Beliau juga memfailkan satu injunksi untuk menghalang Murad, ejen-ejennya, pekerja-pekerjanya atau yang lain, daripada terus menerbitkan dakwaan itu.

"Perkataan-perkataan (di dalam dakwaan itu) adalah palsu dan merupakan satu fitnah yang teruk ke atas Chandra," kata kenyataan tuntutan itu.

Dalam akuan berkanun yang diumumkan pada 28 Okt lepas, Murad, 46, mendakwa bahawa lebih 20 "akaun induk" bernilai RM3 bilion diuruskan oleh orang tertentu untuk membolehkan Anwar memajukan cita-cita politiknya.

Beliau juga mendakwa bahawa sekurang-kurangnya sembilan pihak, termasuk Aliran dan Chandra, telah dibayar wang yang berjumlah RM121 juta sepanjang tempoh 1992 hingga 1997.

Menurut kenyataan tuntutan itu, "pada mana-mana peringkat masa pun, Chandra tidak menerima apa-apa wang daripada Anwar Ibrahim atau Tabung Induk yang dikatakan itu. Pada mana-mana peringkat masa pun, Chandra tidak membenarkan dirinya dipergunakan untuk kemaraan cita-cita politik Anwar Ibrahim."

Secara inuendo, perkata-perkataan itu telah bermaksud untuk "memburukkan dan menghina" Chandra di dalam jawatannya sebagai timbalan presiden Keadilan.

"Disebabkan oleh penerbitan perkataan-perkataan itu, keperibadian, nama baik dan reputasi Chandra telah terjejas teruk," kata kenyataan tuntutan itu.

Menurut kenyataan tuntutan itu, Chandra juga telah berhenti sebagai presiden Aliran mulai 1991 dan hanya menjadi anggota biasa dari 1992 hingga 1997, yang bermakna beliau tidak mempunyai apa-apa peranan dalam proses membuat keputusan Aliran pada tempoh yang dikatakan itu.

" Disebabkan oleh penerbitan perkataan-perkataan itu, Chandra dipandang rendah oleh mereka yang berfikiran wajar secara amnya, dan beliau telah dilibatkan dengan skandal awam, kebencian dan penghinaan," kata kenyataan itu.