KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak terikat dengan saranan manifesto Barisan Alternatif untuk menetapkan perlantikan Perdana Menteri hanya dua penggal seorang sahaja.
Ini kerana, beliau dilantik sebelum pembentukan manifesto Barisan Alternatif dan kandungan manifesto ini hanya akan dilaksanakan oleh parti-parti Barisan Alternatif jika diberikan mandat dalam pilihan raya umum akan datang.
Demikian jelas Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd. Noor ketika mengulas provokasi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah agar Tuan Guru Nik Aziz tidak menjadi Menteri Besar lagi selepas dua penggal menjadi Menteri Besar selaras dengan manifesto BA.
Menurut Ustaz Fadzil, Ku Li tidak faham dengan isu sebenar dan hanya sengaja membuat provokasi terhadap Tuan Guru Nik Aziz dalam isu ini untuk kepentingan politik beliau.
Oleh itu, bagi beliau, soal Tuan Guru Nik Aziz tidak perlu lagi menjadi Menteri Besar selepas ini tidak berbangkit.
Sementara itu, ramai melihat Tengku Razaleigh tidak berupaya untuk mengambil Kelantan dari PAS selagi Mursyidul Am PAS itu memimpin PAS Kelantan.
"Oleh itu, dia cuba mencari helah untuk menurunkan Tuan Guru Nik Aziz dari kerusi Menteri Besar secara lain pula untuk membolehkan Umno merampas Kelantan," kata satu pandangan.