Menghayati falsafah haji

MENURUT seorang penulis bernama al-Akkad, "penemuan yang dikaitkan dengan Nabi Ibrahim adalah penemuan manusia yang terbesar dan yang tidak dapat diabaikan oleh ilmuwan atau sejarawan. Ia tidak dapat dibandingkan dengan penemuan roda, api, atau rahsia atom betapa pun besarnya pengaruh penemuan itu...yang dikuasai manusia, sedangkan penemuan Ibrahim menguasai jiwa dan raga manusia. Penemuan Ibrahim menjadikan manusia yang tadinya tunduk kepada alam, menjadi mampu menguasai alam serta menilai baik buruknya dan yang penting sekali mengetahui kedudukannya sebagai makhluk dan hubungan makhluk dengan Tuhan, alam raya dan makhluk-makhluk sesamanya..."

 Ajaran Nabi Ibrahim atau 'penemuan' beliau benar-benar lembaran baru dalam sejarah kepercayaan dan bagi kemanusiaan. Walaupun tauhid bukan sesuatu yang tidak dikenal sebelum masa Nabi Ibrahim, itu semua sampai masa Nabi Ibrahim bukan merupakan ajaran kenabian dan risalah seluruh umat manusia. Di Mesir, 5,000 tahun lalu telah dikumandangkan ajaran keesaan Tuhan serta persamaan antara sesama manusia. Tetapi itu doktrin sementara dari singgahsana kekuasaannya yang kemudian dibatalkan oleh doktrin penguasa sesudahnya.

 Nabi Ibrahim datang mengumandangkan neraca keadilan Ilahi yang menyamakan semua manusia di hadapan-Nya, sehingga betapa pun kuatnya seseorang, ia tetap sama-sama di hadapan Tuhan. Ibrahim menemukan dan membina keyakinannya melalui pencarian dan pengalaman kerohanian yang dilaluinya dan hal ini secara quranik bukan saja dalam penemuannya mengenai keesaan Tuhan tetapi juga dalam keyakinan mengenai hari kebangkitan.

 Demikian sebahagian kecil keistimewaan Nabi Ibrahim sehingga wajar beliau dijadikan teladan seluruh manusia seperti ditegaskan dalam al-Quran (al-Baqarah 2: 127). Teladan itu antara lain diwujudkan dalam bentuk ibadah haji dengan berkunjung ke Makkah, kerana beliaulah bersama puteranya Ismail yang membangun kembali asas Kaabah (al-Baqarah 2: 127) dan beliau pulalah yang diperintahkan untuk mengumandangkan syariat haji (al-Haj 22: 27). Teladan yang diwujudkan dalam bentuk ibadah itu dan amalan ritualnya berkait rapat dengan peristiwa yang beliau dan keluarganya alami.

 Ia, pada hakikatnya, adalah penegasan kembali dari setiap jemaah haji mengenai keterikatannya dengan prinsip keyakinan yang dianut Nabi Ibrahim, yang intinya adalah:

 l Pertama, pengakuan keesaan Tuhan serta penolakan terhadap segala macam dan bentuk kemusyrikan baik berupa patung, bintang, bulan dan matahari bahkan segala sesuatu selain daripada Allah.

 l Kedua, keyakinan mengenai adanya neraca keadilan Tuhan dalam kehidupan ini, yang puncaknya akan diperolehi setiap makhluk pada hari kebangkitan kelak.

 l Ketiga, keyakinan mengenai kemanusiaan yang bersifat universal, tiada perbezaan dalam kemanusiaan seseorang dengan lainnya, betapapun terdapat perbezaan antara mereka dalam hal-hal lainnya.

 Ketiga-tiga falsafah ini jelas dilambangkan dalam amalan ibadah haji. Keyakinan akan keesaan Tuhan juga menyedarkan manusia bahawa semua orang dalam kedudukan yang sama dari segi nilai kemanusiaan kerana mereka dicipta dan berada di bawah kekuasaan Allah. Ini menunjukkan betapa erat kaitan antara keyakinan akan keesaan Tuhan dengan persamaan nilai kemanusiaan. Salah satu bukti yang jelas mengenai kaitan ibadat haji dengan nilai-nilai kemanusiaan adalah isi khutbah Nabi Muhammad pada haji wada' atau haji perpisahan yang menekankan persamaan; keharusan memelihara jiwa, harta dan kehormatan orang lain; larangan melakukan penindasan atau pemerasan terhadap kaum yang lemah baik di bidang ekonomi mahupun secara fizikal.

 Makna kemanusiaan dan pengalaman nilainya tidak hanya terbatas kepada persamaan nilai antara perseorangan dengan yang lain tetapi mengandungi makna yang jauh lebih mendalam. Ia mencakupi nilai-nilai luhur yang seharusnya menghiasi jiwa pemiliknya. Bermula daripada kesedaran akan fitrah atau jati dirinya serta keharusan menyesuaikan diri dengan tujuan kehadiran di pentas bumi ini. Kemanusiaan yang menyebabkan anak-anak Adam menyedari arah yang dituju serta perjuangan mencapainya. Kemanusiaan menjadikan makhluk ini memiliki moral serta berkemampuan memimpin makhluk lain mencapai tujuan penciptaan.

 Kemanusiaan yang menyedarkan bahawa ia adalah makhluk dwi dimensi yang harus melanjutkan evolusinya hingga mencapai titik akhir. Kemanusiaan yang menyedarkannya bahawa ia adalah makhluk sosial yang tidak dapat hidup sendirian dan bertenggang rasa dalam berinteraksi.

 Makna-makna itu diamalkan dalam pelaksanaan ibadah haji, dalam acara ritual atau dalam tuntutan non-ritualnya, dalam bentuk kewajipan atau larangan, dalam bentuk nyata atau simbolik dan pada akhirnya menjadikan jemaah haji hidup dengan pengalaman kemanusiaan universal.

 Berikut akan dikemukakan secara ringkas beberapa makna itu:

 Pertama, ibadah haji dimulai dengan niat sambil menanggalkan pakaian biasa dan mengenakan pakaian ihram. Tidak dapat disangkal bahawa pakaian menurut kenyataannya berfungsi sebagai pembeza antara seseorang atau sekelompok dengan lainnya. Perbezaan itu menggambarkan status sosial, ekonomi atau kerjaya. Pakaian juga dapat memberi pengaruh psikologi pada pemakainya. Di Miqat Makaani yakni di tempat di mana ritual ibadah haji dimulai, perbezaan dan pembezaan itu harus ditinggalkan. Semua harus memakai pakaian yang sama. Pengaruh psikologi dari pakaian harus ditinggalkan sehingga semua berasa dalam kesatuan dan persamaan. Di Miqat dengan mengenakan dua helai pakaian berwarna putih, sebagaimana yang akan membalut tubuhnya ketika ia mengakhiri perjalanan hidup di dunia ini, seorang yang melaksanakan ibadah haji dipengaruhi jiwanya oleh pakaian ini. Seharusnya ia merasakan kelemahan dan had dan tanggungjawabnya yang akan ditunaikannya di hadapan Tuhan yang Maha Berkuasa.

 Kedua, dengan mengenakan pakaian ihram, sejumlah larangan harus patuhi oleh pelaku ibadah haji seperti jangan menyakiti binatang, jangan menumpahkan darah, jangan mencabut pokok. Mengapa? Manusia sebenarnya berfungsi memelihara makhluk Tuhan itu dan memberinya kesempatan seluas mungkin mencapai tujuan penciptaannya. Dilarang juga menggunakan wangi-wangian, berkahwin dan berhias supaya setiap pelaku haji menyedari bahawa manusia bukan materi atau fizikal semata-mata. Hiasan yang dinilai Tuhan adalah hiasan rohani. Dilarang pula menggunting rambut, kuku supaya masing-masing menyedari jati dirinya dan menghadap pada Tuhan sebagaimana apa adanya.

 Ketiga, Kaabah yang dikunjungi mengandungi pelajaran yang amat berharga dari segi kemanusiaan. Di sana misalnya, Nabi Ismail, pembangun Kaabah ini pernah berada di pangkuan ibunya yang bernama Hajar, seorang wanita hitam yang miskin. Namun, wanita ini ditempatkan Tuhan atau peninggalannya diabadikan Tuhan untuk menjadi pelajaran bahawa Allah memberi kedudukan untuk seseorang bukan kerana keturunan atau status sosial tetapi kerana kedekatannya kepada Allah dan usahanya berhijrah dari kejahatan menuju kebaikan atau dari keterbelakangan menuju kemenangan.

 Keempat, setelah selesai melakukan tawaf yang menjadikan pelaku haji larut dan berbaur bersama manusia lain serta memberi kesan kebersamaan menuju satu tujuan yang sama iaitu berada dalam lingkungan Allah, maka dilakukanlah sa'i. Di sini muncul lagi Hajar, wanita bersahaja yang dijadikan isteri Nabi Ibrahim itu, diperagakan pengalamannya mencari air untuk puteranya. Keyakinan wanita ini akan kebesaran dan maha kuasa Allah kukuh, terbukti jauh sebelum peristiwa pencarian ini ketika ia bersedia ditinggal Ibrahim bersama anaknya di suatu lembah yang tandus. Keyakinannya yang begitu mendalam tidak menjadikannya sama sekali berpangku tangan menunggu hujan tetapi ia berusaha dan berkali-kali ke sana-ke sini mencari kehidupan yang dilambangkan dengan air. Hajar memulai usahanya dari Bukit Shafa yang erti harfiahnya adalah 'kesucian dan ketegaran' sebagai lambang bahawa mencapai kehidupan harus dengan usaha yang dimulai dengan kesucian dan ketegaran dan berakhir di Marwah yang bererti 'ideal manusia, sikap menghargai, bermurah hati dan memaafkan orang lain'.

 Adakah makna yang lebih agung berkaitan dengan amalan kemanusiaan dalam mencari kehidupan duniawi melebihi makna yang digambarkan di atas? Sekiranya tawaf menggambarkan larutnya dan 'tenggelamnya' manusia dalam hadrat Ilahi atau alam istilah kaum sufi 'al-fana' fi Allah', maka sa'i menggambarkan usaha manusia mencari hidup yang mana dilakukan begitu selesai tawaf yang melambangkan bahawa kehidupan dunia dan akhirat adalah suatu kesatuan dan kesepaduan. Maka dengan tawaf disedarilah tujuan hidup manusia. Setengah kesedaran itu dimulai dengan sa'i yang menggambarkan tugas manusia adalah berusaha semaksimum mungkin. Hasil usaha pasti akan diperolehi baik melalui usahanya mahupun melalui anugerah Tuhan, seperti yang dialami Hajar bersama puteranya Ismail dengan ditemukannya air zam zam itu.

 Kelima, di Arafah, padang yang luas lagi gersang itu seluruh jemaah haji wukuf sampai terbenamnya matahari. Di sanalah mereka seharusnya menemukan makrifat pengetahuan sejati mengenai jati dirinya, akhir perjalanan hidupnya serta di sana pula ia menyedari langkahnya selama ini. Kesedaran itulah yang menyedarkannya di Padang Arafah untuk menjadi arif atau sedar dan mengetahui. Kearifan apabila telah menghiasai seseorang, menurut Ibnu Sina, akan menjadikannya 'selalu gembira, senyum. Betapa tidak setelah berjaya mengenal-Nya, di mana-mana ia melihat satu saja. Ia tidak akan mencari kelemahan atau kesalahan orang lain kerana jiwanya selalu diliputi rahmat dan kasih sayang.

 Keenam, dari Arafah jemaah haji akan ke Muzdalifah mengumpulkan senjata menghadap musuh utama iaitu syaitan. Kemudian melanjutkan perjalanan ke Mina dan di sanalah jemaah melepaskan kebencian dan kemarahan masing-masing terhadap musuh yang selama ini menjadi penyebab segala kegetiran yang dialaminya.
 
 

[ Homepej | Berita | Bisnes | Sukan | Editorial | Hiburan ]