Ustaz Nik Aziz ingatkan

LANGIT, BUMI TIDAK TERIMA ROH ORANG BERHUTANG

BUKIT PANAU : Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan mereka yang berhutang menjelaskannya pada tarikh yang dijanjikan walaupun tidak dituntut oleh pemberi hutang.

"Pelunasan hutang tidak boleh dibuat main-main," ujarnya ketika mengupas ayat 23 hingga 39 surah Al-Isra' selepas mengetuai tadarus Quran di Masjid Bukit Panau di sini baru-baru ini.

Katanya, asal saja nama hutang walaupun cuma RM1 atau RM10 adalah wajib dibayar. Jika tidak dibayar dan tiba-tiba seseorang itu mati, langit dan bumi tidak akan terima rohnya walaupun roh itu milik seorang yang berjihad.

Sehubungan dengan itu beliau menyarankan supaya mereka yang liat membayar hutang atau tidak ada jaminan untuk membayar balik pada jangka masa yang ditetapkan agar awal-awal lagi tidak berhutang.

Menteri Besar juga menyarankan rakyat Kelantan berterusan mengamalkan tatacara warisan nenek moyang yang tertib dan sopan dengan ibubapa dan orang yang lebih tua termasuk amalan sendeng badan ketika lalu dekat ibubapa, orang yang lebih tua atau di depan orang ramai.

"Tabiat sedemikian sebenarnya selari dengan tuntutan Islam yang mahukan penganutnya sentiasa merendah hati, apatah lagi dengan ibubapa yang wajib dipelihara hati dan perasaannya," tegas
beliau.

Islam, katanya, menuntut umatnya bersopan dan sentiasa manis tutur kata apabila berdepan dengan ibubapa dan diwajibkan patuh serta sentiasa berbakti.

Bercakap dengan ibubapa dilarang bercakap seperti bercakap dengan kawan-kawan, mestilah ada adab dan kesopanannya.Kepada mereka yang secara sengaja atau tidak berkelakuan tidak sopan
dengan ibubapa, beliau menyarankan supaya segera bertaubat sebelum terlambat.

"Jangan malu untuk mengaku dosa yang dilakukan dengan Allah kerana jika disembunyikan pun
Allah tetap tahu. Lagi pun Allah sukakan hamba-hamba-Nya yang bertaubat dan Dia Maha Pengampun," ujarnya.

Menteri Besar mengajak umat Islam khususnya rakyat Kelantan untuk memberi penekanan kepada ketaatan terhadap ibubapa dan waris-waris terdekat sepanjang tahun ini di samping mereka disaran supaya mengelak dari berhutang tetapi liat untuk membayar balik kerana perbuatan sedemikian amat keji di sisi Islam.