KESEDARAN ISLAM SEBENAR
Firman Allah S.W.T.:
“Dan manusia itu memohon (datangnya) bahaya, sebagaimana mereka
memohon (datangnya) kebaikan dan manusia itu adalah tergesa-gesa."
(Surah al-Isra’: ayat 11)
“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh
Allah maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.”.(Surah al-Maidah: ayat
45)
Kehilangan Islam Dalam Praktik Hidup Masyarakat
Praktik hidup umat Islam kini sedang menolak keterangan al-Quran
al-Karim. Ini bererti mereka menolak kekuasaan, kedaulatan dan janji-janji
Allah S.W.T. Juga bererti menolak cara hidup yang diredhai Allah S.W.T.
untuk difahami, disedari, diyakini dan dilaksanakan.
Keyakinan umat mestilah dibina semula agar mereka merasai pripentingnya
rahmat Allah S.W.T. dan mempertahankannya dalam kehidupan mereka.
Seterusnya, agar penolakan terhadap rahmat Allah S.W.T. dirasakan sebagai
satu ancaman keras yang sentiasa membahayakan keselamatan jiwa, fikiran dan
amalan.
Kesan daripada penolakan tadi, umat kini kehilangan Daulah
Islamiyyah, tamaddun Islam, Ummah Islamiyyah, hukum-hukum Islam, Tarbiyyah
Islamiyyah ke arah ‘Ubudiyyah, nilai hidup sebenar, akhlaq sebenar,
keperibadian sebenar, pembangunan sebenar, kekuatan sebenar, pertahanan
sebenar, keharmonian sebenar dan kejayaan sebenar.
Punca
Penolakan umat terhadap Islam berpunca dari ‘aqidah yang lemah. ‘Aqidah
yang tidak berfungsi untuk kembali kepada Islam sebagai ad-Din. ‘Aqidah yang
sakit lantaran dipengaruhi dan diserang oleh Din atau cara hidup bukan
Islam.
Berbagai-bagai penyakit menyerang jiwa, fikiran dan tingkahlaku umat
hingga Islam kembali menjadi dagang. Islam sebagai ad-Din turut dagang di
hati orang-orang yang mengaku beriman. Rasa cinta kepada Islam sebagai cara
hidup yang Allah redhai sudah tiada. Rasa keperluan kepada pembentukan
masyarakat Islam juga tiada. Yang wujud ialah realiti mempertikaikan
kehendak-kehendak Allah S.W.T. Ini bererti mempertikaikan ketaatan yang
Islam kehendaki, mempertikaikan nilai-nilai syara’, mempertikaikan akhlaq
dan mempertikaikan keperibadian Islam.
Suasana Kabur
Pendokong-pendokong sistem kini, yang mendaulatkan Din rekaan manusia
turut menggembar-gemburkan syi’ar atau lambang Islam di waktu dan ketika
tertentu. Kesungguhan mereka menonjolkan syi’ar atau lambang itu selaras
dengan kesungguhan mereka mempertahankan Din rekaan manusia. Tanpa kefahaman
dan kesedaran sebenar, umat Islam terpengaruh dengan syi’ar atau lambang
yang dihiaskan. Semua ini menimbulkan salah faham dan prasangka pada diri
umat. Yang haram telah dihalalkan dan yang salah selalu dibenarkan. Nilai
syara’ diketepikan. Umat tidak sedar dan larut dalam suasana perhambaan
sesama manusia. Inilah satu kezaliman besar yang mesti segera disedari atau
disedarkan kepada umat.
Siapakah Yang Akan Menyambut Seruan Kesedaran?
InsyaAllah di sana sini masih ada insan yang ikhlas dan merasai
keperluan untuk bertindak segera. Mereka perlu dikumpulkan dan dibimbing
agar keikhlasan mereka berada di bawah telunjuk syara’. Begitu juga kembali
kepada Allah S.W.T. mestilah mengikut cara yang betul dan diredhaiNya.
Da’i perlu keluar mencari jiwa-jiwa yang merasai kehilangan
Rahmat Allah S.W.T. dan yang mencari serta ingin menyahut seruan Allah
S.W.T. Fitrah Insaniah untuk kembali kepada fungsi tauhid sebenar
sememangnya ada. Ada yang sanggup melalui proses, ada yang sedang melalui
proses dan ada yang telah melalui proses. Ada juga yang lambat melaui
proses. Da’i atau murabbi perlulah bijaksana menggunakan teknik dan cara
bertindak.
Dasarnya adalah firman Allah S.W.T. yang bermaksud'
"Wahai Nabi cukuplah Allah bagimu dan yang mengikuti kamu terdiri dari
orang-orang yang beriman.”
Juga ditegaskan bahawa da’i perlu mencari dan mengumpulkan
hati-hati yang merasai kehilangan Rahmat Allah S.W.T. Hati-hati yang merasai
kehilangan neraca syara’ dalam praktik hidup umat sekarang. Hati-hati yang
ingin kembali kepada hakikat hidup yang memperhambakan diri hanya kepada
Allah S.W.T. dalam setiap bidang.
Hati-hati ini perlu diasuh agar menyedari kehilangan Islam sebagai
ad-Din. Umat Islam bukanlah kehilangan ekonomi Islam, politik Islam atau
pembangunan Islam sahaja. Umat juga bukan kehilangan masjid dan
rumah-rumah ibadat. Umat sebenarnya kehilangan pokok, bukan ranting-ranting.
Umat kehilangan rumah, bukan bahagian-bahagian rumah. Juga, umat bukan
kehilangan kuantiti tetapi kehilangan kualiti yang ingin mengambil Islam
sebagai ad-Din.
Hati-hati ini perlu diasuh agar memahami bahawa penyakit sedang menyerang
umat dan merosakkan ‘aqidah umat. Tauhid pada hati-hati umat semakin futur
atau tidak berfungsi dengan betul.
Hati-hati ini perlu diasuh agar menyedari bahawa segala tindakan
berpunca dari permasalahan aqidah yang mesti dirongkai terlebih dahulu.
Juga, memahami makna dan fungsi Iman sebenar agar tindakan yang lahir
selaras dengan tuntutan Iman. Iman kepada Allah S.W.T. adalah pemancar. Dari
pemancar ini lahirlah kerja-kerja Islam.
Da’i atau murabbi perlu memahami bahawa ‘mukmin’ adalah natijah yang
lahir daripada tarbiyyah yang menekankan keimanan kepada Allah
S.W.T.Terdapat perbezaan antara tarbiyyah dan natijah tarbiyyah.
Punca Kekuatan
Iman kepada Allah S.W.T. adalah satu kekuatan. Quwwah Imaniyyah perlu
dibina sebelum Quwwah Maddiyyah. Iman akan membentuk segala dorongan atau
kekuatan yang ada dalam hati. Kekuatan-kekuatan itu termasuklah:
1. Kesedaran
2. Ketaatan
3. Keikhlasan
4. Kepatuhan
5. Keinginan
6. Kesabaran
7. Kecintaan
8. Ketabahan
9. Kemesraan
10. Kesyukuran
11.
Keberanian
12. Kesungguhan
Kekuatan ilmu
pengetahuan perlu dipelajari, dituntuti dan didalami. Kekuatan harta
kekayaan perlu diperkukuhkan. Kekuatan tubuh badan dan ketenangan mental
perlu dipelihara dan dipertingkatkan. Semua kekuatan itu perlu diproses agar
berada di bawah telunjuk Iman.
Dalam realiti kini, kekuatan-kekuatan tersebut telah dididik oleh Din
bukan Islam untuk mengenepikan cara hidup Islam, menolak nilai Allah S.W.T.,
mengutamakan nilai manusia, mencemarkan kesucian Islam, menyusahkan
kefahaman Islam dan merosakkan kesadaran atau keyakinan terhadap Islam.
Da’i atau murabbi perlu mencari kekuatan-kekuatan itu dan memproses dalam
Manhaj Tarbiyyah agar dipandu oleh Iman kepada Allah S.W.T.. Iman yang
mengarahkan setiap kekuatan itu untuk melahirkan suatu hasil yang kena pada
tempat, masa dan ketika serta selaras pula dengan kehendak Allah S.W.T. atau
syara’ serta tuntutan Tarbiyyah Islamiyyah.
Dalam suasana kehilangan Islam kini, semua kekuatan itu perlu ditarbiyyah
oleh jama’ah atau harakah yang bebas daripada sebarang pengaruh jahiliyyah.
Hanya tarbiyyah yang betul akan membawa seseorang kepada cara hidup Islam,
sepertimana yang dikehendaki Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T: yang bermaksud;
“Sesungguhnya Din di sisi Allah hanya al-Islam.”
Hati juga perlu diproseskan agar bertambah benci dan marah terhadap
kekufuran, kefasiqan, kezaliman, kemaksiatan dan kemungkaran. Kekufuranlah
yang telah menanam neraca serong terhadap segala tuntutan Allah S.W.T.
Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah
Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah adalah merujuk kepada Madrasah Rasulullah
S.A.W. Tarbiyyah berbentuk gerakan akan melaksanakan tarbiyyah yang haq
tanpa mengira pertimbangan atau desakan lain. Memperkatakan yang haq tidak
boleh berlembut, mengampu atau melayani hawa nafsu.
Firman Allah S.W.T.:
“Dan katakanlah kebenaran itu dari Tuhanmu, maka sesiapa yang ingin
beriman dia beriman dan sesiapa yang ingkar maka maka dia ingkar.”
-Surah al-Kahfi: ayat 29.
Sumber tarbiyyah dan pembentukan ummah ialah wahyu Allah S.W.T.
semata-mata agar selaras dengan tujuan untuk melahirkan anggota-anggota yang
yakin kepada jalan Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T.:
“Kebenaran itu dari Tuhanmu, oleh itu janganlah kamu termasuk golongan
yang ragu-ragu."-Surah al-Baqarah: ayat 47.
Tegasnya, al-Quran dan as-Sunnah adalah sumber-sumber yang mendidik,
mengasuh, memimpin, menerang, menjelas dan memperingat. Juga sumber
perundangan dan sumber yang memberikan jaminan-jaminan tidak kedapatan
sumber-sumber yang lain.
Tarbiyyah Islamiyyah mempunyai konsep Mu’alajah Syamilah atau
mengubati secara menyeluruh. ‘Aqidah umat yang telah diserang oleh Din bukan
Islam kini mestilah diubati secara keseluruhan.
Tarbiyyah dalam sistem kini mendidik umat untuk menerima Din bukan Islam
dan menentang Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh. Tarbiyyah ini
mendidik umat untuk menerima sebahagian sahaja daripada ajaran Islam.
Tarbiyyah itu juga mendidik umat untuk mengambil surat khabar dan
majalah-majalah yang menyokong Din bukan Islam sebagai sumber fatwa. Sumber
al-Quran dan as-Sunnah diketepikan atau direndah-rendahkan.
Tarbiyyah Islamiyyah perlu membina asas baru untuk dibangunkan atasnya
Islam yang merangkumi setiap bidang kehidupan. Asas untuk Islam ini mesti
dibina mengikut cara yang dikehendaki Allah S.W.T. dan tidak mengikut
cara-cara yang lain, meskipun berhadapan dengan tekanan-tekanan. Tarbiyyah
Islamiyyah perlu memproses Iman yang membawa kesan dalam hati serta
melahirkan perubahan-perubahan selaras dengan peningkatan iman.
Hati-hati perlu dididik agar membuang kezaliman dan kebatilan yang ada
padanya serta melahirkan amalan hidup mengikut syara’. Hati-hati perlu
dididik agar memahami dan menyedari makna serta peranan jihad yang
berterusan. Hati-hati juga perlu dididik agar memahami konsep kejayaan
sebenar iaitu kejayaan di sisi Allah S.W.T. Didikan terhadap hatilah yang
akan memudahkan itu semua.
Tarbiyyah dalam sistem kini telah mendidik hati-hati umat untuk menerima
dan mengikut kaedah majoriti manusia. Kaedah ini hanya memenuhi prasangka
dan kemahuan hawa nafsu majoriti manusia sahaja. Asas-asas yang dibina itu
mesti dirobohkan dan di atas runtuhan itu dibina asas baru untuk menerima
dan mengikut syara’. Firman Allah S.W.T.:
“Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang yang di muka bumi nescaya
mereka akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah. Mereka tidak lain hanya
mengikuti prasangka belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (kepada
Allah S.W.T.).”-Surah al-An’am: ayat 11.
Asas keimanan yang kukuh mesti dibina semula untuk menolak semua serangan
yang cuba menguasai hawa nafsu. Iman mestilah dilatih agar mengawasi hawa
nafsu. Jangan biarkan hawa nafsu menguasai Iman dan menggadaikannya.
Penguasaan hawa nafsu bakal membawa kepada kesesatan. Firman Allah S.W.T.:
“Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa
nafsunya dengan tidak mendapat pertunjuk daripada Allah sedikit pun.
Sesungguhnya Allah tidak memberi pertunjuk kepada orang-orang yang zalim.” -
Surah al-Qashash: ayat 50.
Hanya mereka yang yakin dan terlibat dengan Tarbiyyah Islamiyyah
sepenuhnya akan merasai setiap perkembangan atau perubahan, samada
mengukuhkan harakah atau pun melemahkan harakah. Kesan tarbiyyah akan jelas
kelihatan dalam persaksian anggota-anggota samada mewakili harakah atau pun
tidak. Kesan tarbiyyahlah yang menyebabkan anggota-anggota merasai
hubungan dengan harakah di mana sahaja dia berada.
Anggota-anggota ditarbiyyahkan agar sentiasa mewakili Islam dan menolak
Din bukan Islam di mana sahaja, meskipun Din bukan Islam itu nama-nama
yang baik daripada Islam. Sabda Rasulullah S.A.W. mafhumnya;
“Kekafiran adalah Millah yang satu.”
Konsep Kejayaan Bagi Anggota-anggota Harakah Islamiyyah
Konsep kejayaan ialah mengikut apa yang ditentukan oleh Allah S.W.T.
Konsep ini berbeza dengan konsep-konsep yang sering dilaung-laungkan oleh
Din bukan Islam atau oleh mereka yang terpengaruh dengan Din bukan Islam.
Firman Allah S.W.T. maksudnya;
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara".
Kejayaan besar akan diperolehi jika Iman anggota-anggota dibentuk
dengan betul hingga melahirkan ukhuwwah seperti yang dikehandaki Allah
S.W.T.. Firman Allah S.W.T.: bermaksud;
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah orang yang beriman hanya
kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka
berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah. Mereka itulah golongan
yang benar.”-Surah al-Hujurat: ayat 15.
Kejayaan tercapai apabila anggota-anggota beriman hanya kepada Allah
S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. sahaja tanpa ragu-ragu. Terbukti pula kebenaran
Iman mereka dengan pengorbanan harta dan jiwa. Inilah Iman yang Allah S.W.T.
akui sebagai Iman . Firman Allah S.W.T.: maskudnya;
“Katakanlah tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyak
yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah S.W.T. hai
orang-orang yang beraqal agar kamu mendapat keberuntungan.”
-Surah al-Maidah: 100.
Berjayalah anggota-anggota harakah kiranya aqal mereka mengikut telunjuk
taqwa. Sesungguhnya taqwa sahaja yang dapat membezakan di antara buruk dan
baik. Taqwa sahaja yang dapat memperakui sesuatu itu buruk meskipun ia
sangat banyak dan menarik hati. Firman Allah S.W.T.:
“Mereka itulah orang-orang yang tetap mendapat pertunjuk dari Tuhannya
dan mereka itulah orang yang beruntung.”-Surah al-Baqarah: ayat 5.
Berjayalah anggota-anggota jika mereka Istiqamah dengan Islam dan
mengambil wahyu Allah S.W.T. untuk dihayati di tengah-tengah Din bukan
Islam yang menguasai hidup masyarakat. Firman Allah S.W.T.:
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan di tengah umat manusia,
kamu menyeru pada kema’rufan dan mencegah dari kemunkaran dan beriman dengan
Allah.”-Surah ‘Ali Imran: ayat 110.
Berjayalah anggota-anggota harakah jika Iman mereka dibentuk dan
melahirkan akhlak terbaik, mengajak kepada ma’ruf terutama ma’ruf Al Akbar
dan mencegah munkar terutama munkar Al Akbar pada diri, keluarga dan
masyarakat.
Harakah Islamiyyah berjaya bukan kerana ramai anggota dan banyak wang.
Harakah Islamiyyah juga tidak kalah kerana sedikit anggota atau sedikit
penyokongnya. Tetapi Harakah Islamiyyah berjaya apabila setiap anggotanya
sabar dan tabah mencari redha Allah S.W.T., melaksanakan jihad menegakkan
Din Allah S.W.T. atau mati syahid dalam usaha membentukan Ummah Islamiyyah
dan menegakkan Din Allah S.W.T..