Kerajaan Pahang iktiraf
artis popular
Bintang Popular ZUBIR tumpang gembira apabila ramai rakan artis menerima kurnia daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-75, pada 24 Oktober lalu. Penyanyi popular dan terkenal seperti Siti Nurhaliza, Ziana Zain serta Norman KRU menerima pingat Setia Ahmad Shah (SAP).
Manakala bagi penerima Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), artis yang mendapat pingat berkenaan ialah Hattan dan bekas vokalis kumpulan Gersang, Man Bai. Hattan ketika dihubungi, melahirkan rasa syukur kerana kerajaan negeri Pahang sedia mengiktiraf bakat seni yang ada pada mereka. “Saya tergamam, tak mampu nak berkata-kata apabila dimaklumkan saya adalah penerima AAP. Tak pernah termimpi dalam hidup ini akan memperoleh kurnia setinggi itu, syukur alhamdulillah. Inilah yang dinamakan rezeki Ramadan,” kata Hattan. Hattan juga sempat memberitahu Zubir, pada hari raya ketiga nanti, dia bersama Keedal & Friends, Joe BPR dan XPDC akan menjayakan Konsert Rock Malaya bertempat di Padang Bandaran Kuala Pilah, Negeri Sembilan, mulai jam 9 malam. Konsert itu adalah anjuran Persatuan Belia Gentam. Pada kesempatan ini, Zubir mewakili
rakan artis, menjunjung kasih Ke Bawah Duli Sultan Pahang, Tengku Mahkota
Pahang dan Tengku Muda Pahang kerana mengiktiraf bakat seni dunia artis.
Mudah-mudahan, dengan penganugerahan ini, akan menjadi penyuntik semangat
kepada artis berkenaan untuk terus menabur jasa. Tahniah!
|