Ziana Zain : Jangan Kejar Tua, Biar Tua Kejar Kita
| petikan dari Bintang Popular |
29 Februari 2004


KINI, bukan hanya finalis Anugerah Bintang Popular - Berita Harian 2003 (ABP-BH2003) yang menghitung hari menjelangnya acara paling berprestij pada 14 Mac ini, sebaliknya, penyanyi kesayangan ramai, Ziana Zain yang 'bertapa' sekian lama, akhirnya diberi penghormatan tampil sebagai artis yang akan menjayakan persembahan pada malam penuh gilang gemilang itu. Namun, sebelum dia muncul sebagai salah seorang penghibur di Arena of Stars, Genting Highlands, Ziana perlu menempuh perjalanan getir, penuh onak dan duri. Apakah kegetiran yang dimaksudkan Ziana? Bintang Popular berpeluang mendekati Ziana sebelum menjelangnya ABP-BH2003, yang tinggal 14 hari saja lagi.
PEJAM celik, pejam celik, trofi Bintang Paling Popular bakal menghampiri seorang saja 'bintang' daripada 85 finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003.

Namun, 'bintang' yang bakal menghiburkan ribuan tetamu pada malam itu, tidak kurang debarnya apabila diberi tanggungjawab untuk memeriahkan majlis berprestij anjuran Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) dengan kerjasama Persatuan Akademi Muzik Malaysia (Akademi) itu.

Antara artis yang bakal menghangatkan suasana majlis kali ke-17 ini adalah Anita Sarawak, Datuk Sharifah Aini, Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Yusry KRU, Misha Omar, Nurul & Ajai, Roy & Fran dan Yasin.

Tidak ketinggalan Too Phat, Ruffedge, VE, Jatt dan sudah semestinya bintang glamour dan sensasi, Ziana Zain. Mereka akan menjayakan persembahan bersama iringan pemuzik profesional di bawah pimpinan Ramli MS.

Melihat kepada barisan artis yang akan menjayakan segmen persembaha,
pastinya tumpuan diberikan kepada Ziana kerana selepas sekian lama 'berkurung', dia akhirnya bersedia melakukan come back selepas kelahiran cahaya mata keduanya, Muhammad Ammar Armin Zaharin yang kini berusia kira-kira lima bulan.


"Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada BHSB dan Akademi kerana masih memberi kepercayaan kepada saya untuk memeriahkan segmen persembahan ABP-BH2003 selepas sekian lama saya menyepikan diri apabila melahirkan anak kedua.

"Kerjaya saya memerlukan penelitian rapi dari hujung rambut sehinggalah hujung kaki. Justeru, selagi saya belum tamat tempoh berpantang, selagi itulah saya fobia dengan kamera. Justeru, apabila saya diberi peluang menjayakan segmen persembahan ABP-BH2003, maknanya saya sudah bersedia untuk bertemu peminat.

"Sebelum ini saya test market semasa menjayakan persembahan pada Malam Anugerah Perdana Seniman 2004, di Kedah, baru-baru ini. Dan, ternyata, keyakinan diri untuk bertemu peminat ‘pulih’ sepenuhnya. Namun, sebelum muncul pada malam ABP-BH2003, saya ada satu lagi ujian getir, menurunkan berat badan!

"Kini, berat badan saya kira-kira 50 kilogram. Justeru, visi mahupun objektif saya ketika ini ialah mendapatkan berat badan antara 47 hingga 48 kilogram! Apabila badan dah slim, barulah betul-betul boleh buat come back!" kata Ziana yang kini dikenali sebagai jurucakap pusat kecantikan dan kesihatan, Slim World.

Apabila Ziana menerima lamaran sebagai penghibur pada malam ABP-BH2003, genap lima bulan dia tamat tempoh berpantang. Selepas pantang 44 hari, Ziana sudah pun mengamalkan program diet yang diatur Slim World.

"Nak diet ni, memerlukan pengorbanan. Bayangkan pagi saya hanya mengambil bijirin bersama susu rendah lemak, tengah hari, buah-buahan dan sayuran saja, manakala malam sekadar bubur. Nak buat macam mana... Saya ni takut gemuk! Kalau berat badan naik, kita cepat kelihatan tua.

"Justeru, saya selalu ingat pesan ayah, kita jangan kejar tua, biar tua mengejar kita. Di samping itu, sentiasa tanya diri, nak cantik ke tak? Kalau nak cantik, perlu ada disiplin dan patuh arahan diet!," kata Ziana yang kekal sebagai duta Omega sejak 1997 dan empat tahun jurucakap tilam Vono.

Sementara itu, selain menguruskan badan, penumpuan Ziana ketika ini hanyalah memberikan yang terbaik dalam segmen persembahan ABP-BH2003.

"Saya rasa bangga apabila berpeluang menjayakan persembahan bersama diva terkenal seperti Kak Nita (Anita Sarawak) dan Datuk Sharifah Aini pada 14 Mac nanti. Insya-Allah, saya tidak akan mengecewakan peminat, khususnya yang menyaksikan ABP-BH2003," kata Ziana yang akan mempersembahkan lagu Bukan, ciptaannya bersama Greg dan seni kata oleh Amran Omar.

ABP-BH2003 yang akan menampilkan Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dan Salih Yaccob sebagai pasangan pengacara akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dan radio Era mulai jam 9 malam pada 14 Mac ini.

Setakat ini, hadiah mewah dan wang tunai lebih RM450,000 bakal menjadi milik pembaca bertuah dan artis popular. Ia termasuklah sebuah Chevrolet Aveo 1.5AT bernilai RM68,000 akan dibawa pulang Pembaca Paling Bertuah, manakala Chevrolet Optra 1.6AT (RM82,000) pastinya menjadi milik Bintang Paling Popular 2003. Kereta berkenaan adalah sumbangan Hicomobil Sdn Bhd.

Hadiah kedua pembaca bertuah ialah set berlian Safir Merah Jambu berbentuk hati iaitu loket dan cincin bernilai RM26,000 tajaan Habib serta televisyen 29 inci berskrin rata tajaan JVC (tempat ketiga). Hadiah lain termasuklah 55 perkakas elektrik JVC, 15 tiket penerbangan AirAsia dan 10 pakej percutian ke AÕ Famosa Resort.

Habib juga turut menaja set berlian Safir Kuning bernilai RM57,000 iaitu set subang dan kerongsang yang boleh dijadikan loket dan cincin kepada artis yang dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular 2003.

Selain itu, ABP-BH2003 dengan kerjasama Cryptonics Media Communications Sdn Bhd turut menyediakan hadiah wang tunai RM30,000 kepada pengguna telefon selular 012/017/019/013/016 apabila menyertai peraduan Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Peminat hanya perlu menaip ABPBH dan hantarkan ke nombor 33366 sebelum 13 Mac ini.

|BACK|