ZIANA tak MENANG TANGAN
Oleh Ramlah Zainal
ramlahzainal@hmetro.com.my 

DALAM usia 37 tahun dan memegang status isteri dan ibu dua anak, agenda seni penyanyi, pelakon dan duta produk terkenal, Ziana Zain, memang padat saban hari memenuhi aktiviti seni dan juga kehidupan seharian. 

Ziana yang baru meraikan hari lahirnya yang ke-37 pada 2 Mei lalu, mengakui tidak menang tangan memenuhi undangan persembahan makan malam untuk korporat dan kenamaan sejak kembali aktif selepas kelahiran anak kedua tahun lalu.

Apapun, kata Ziana, keutamaannya adalah rumah tangga yang dibina bersama Mohd Armin Zaharin sejak tujuh tahun lalu dan turut dilengkapkan dengan kehadiran dua cahaya mata, Mohammad Aiman, 5 dan Mohammad Ammar, setahun enam bulan. “Alhamdulillah, walau sudah beranak dua dan usia juga sudah mencecah 37 tahun, rezeki saya tidak pernah putus. Saya percaya ini semua rezeki anak-anak. “Justeru, walau bagaimana padat sekalipun agenda seni, saya sentiasa memastikan suami dan anak-anak tidak terabai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ziana yang turut menjayakan Minggu Setiausaha pada April lalu, juga diundang melancarkan koleksi terbaru Habib Jewels, Queen’s Heart sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2005 baru-baru ini. Ziana anggun menggayakan kaftan hijau sentuhan pereka terkenal Rizalman dan hadir bersama suaminya.

Katanya, kedua-dua puteranya yang sedang membesar sangat memerlukan perhatian dan kasih sayang darinya sebagai ibu terutama Aiman yang sudah masuk prasekolah (tadika). “Ammar masih kecil dan memerlukan perhatian yang lebih dari saya. Apabila suami tidak bertugas, kehidupan seharian saya selalu bermula seawal jam 4.30 pagi di rumah.  “Maklumlah saya perlu memastikan semua keperluan suami beres sebelum saya keluar memenuhi temu janji. Saya juga perlu menyiapkan Aiman yang akan ke sekolah pada jam 7.15 pagi. “Tepat jam 9 pagi, saya akan mula memasak hidangan makan tengah hari untuk suami dan anak-anak. Temu janji pula selalunya bermula jam 10.30 pagi. Tapi walau sibuk macam manapun, saya akan siapkan makanan untuk mereka. Paling ringkas pun nasi goreng,” katanya. 

Dalam tempoh 14 tahun menghambakan diri sebagai anak seni, pencapaian Ziana yang pernah melakar nama dalam pertandingan Voice Of Asia di Kazakhstan pada 1995, memang boleh dibanggakan. Ziana juga membina nama dan populariti sebagai duta/jurucakap jam Omega, tilam Vono, Nutrimetics dan terbaru, Slim World. Ziana juga akan membaharui kontraknya sebagai jurucakap Vono dalam satu majlis yang akan diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur hari ini.

Di sebalik nama besar yang dimilikinya, masih ada lagi impian Ziana yang belum terlaksana iaitu menjayakan konsert mega sebagai hadiah istimewa untuk semua pengikut setianya yang tidak pernah jemu menyokong perjuangan seninya selama ini. Penyanyi Puncak Kasih yang pernah menjayakan konsert secara Live Unplugged pada 1996 itu juga mengidam untuk menganjurkan konsert mega itu sejak dulu lagi. “Cuma baru sekarang saya berani bercakap mengenainya selepas ada pihak yang sudi menaja konsert saya ini. 

“Buat masa ini, saya belum bersedia mengumumkan nama penaja konsert ini kerana masanya belum sesuai. Konsert ini dijangka tahun ini juga dan ada kejutan untuk peminat. Saya juga sungguh berbesar hati kerana ada pihak sudi menunaikan hasrat saya selama ini.

“Lokasinya pula terpulang kepada perbincangan dengan penganjur kelak. Saya tak kisah jika mereka nak buat di Stadium Putra Bukit Jalil sekalipun kerana paling penting semua peminat saya dari seluruh tanah air dapat sama-sama memeriahkannya,” katanya. 

Ziana juga ada perancangan berduet dengan adiknya, Anuar Zain, untuk menghasilkan album duet mereka. “InsyaAllah, mungkin kami akan tampil dengan mini album duet dulu secara berkongsi untuk memenuhi permintaan peminat kami. Bagaimanapun buat masa ini saya dan Anuar sibuk siapkan album solo masing-masing.

“Saya sibuk dengan pembikinan album solo kelapan yang bakal menjengah pasaran selewat-lewatnya sebelum akhir tahun ini. Album ini menampilkan pengarah muzik terkenal, Ramli MS selaku Penerbit Eksekutif. “Buat masa ini baru dua lagu siap dirakamkan. Antara komposer yang memberikan sentuhan terbaik mereka ialah Ajai, Hazami, Tam (Spider) dan Cat (Ruffedge). Sekurang-kurangnya empat hingga lima lagu lagi akan dimuatkan dalam bingkisan album penuh ini sekali gus diharapkan mengubat kerinduan peminat tercinta. 

“Saya juga mengalu-alukan komposer baru yang berbakat untuk menyumbang idea mereka kerana saya memang ingin beri peluang kepada mereka tunjuk bakat yang terpendam itu,” katanya. 

Sementara itu selepas enam tahun tidak berlakon, Ziana juga kembali memeriahkan layar perak menerusi filem Sembilu 2005 dan Pontianak Menjerit pada tahun ini. “Filem Pontianak Menjerit akan menjengah pawagam Jun ini dan saya berdebar menanti reaksi peminat. Maklumlah ini penampilan pertama saya dalam cerita komedi. 
“Saya juga sedang menjalani penggambaran filem terbaru, Qabil Khusri Qabil Igam terbitan Sonata Film (M) Sdn Bhd. Filem ini menggandingkan saya bersama Erra Fazira, Yusry Abdul Halim dan Hans Isaac,” katanya.