Ziana Zain hadiahkan Lembah Asmara
Oleh ROSLI MANAH Petikan : Berita Harian 18/6/2003
JANJI yang diikat antara Ziana Zain dengan syarikat EMI telah berusia lebih setahun. Namun, janji yang termetri antara mereka belum tertunai. EMI masih menanti saat yang paling sesuai untuk menjadi syarikat yang memasarkan album diva itu. Persiapan Ziana memasuki studio rakaman awal tahun ini tergendala kerana dia hamil lagi. Justeru, kedua-dua pihak ini harus menunggu sehingga penyanyi itu selamat melahirkan anak keduanya. Ada kemungkinan peminat harus menanti kurang dari enam bulan lagi. Bagaimanapun, sebagai pengubat rindu terhadap Ziana, sebuah album kompilasi yang memuatkan himpunan lagu-lagu petikan persembahannya akan dipasarkan.Album berjudul Ziana Zain No.1's Live itu menampilkan lagu-lagu yang dipersembahkan oleh penyanyi ini di beberapa konsert sebelum ini. Sebagai bonus dimuatkan dua lagu baru iaitu Lembah Asmara dan Bukan. Lagu itu telah selesai rakamannya semasa Ziana hamil tiga bulan. Ziana yang kini mengandung lima
bulan turut merakam semula lagu Madah Berhelah dengan nyanyian secara langsung
di studio. Bagi menyuntik kelainan, Ziana turut diiringi string yang dimainkan
oleh beberapa pemuzik.
Dia mengakui merakamkan lagu semasa hamil agak berbeza kerana dia terpaksa menyanyi dengan berhati-hati, apatah lagi `key' nyanyiannya turun. Walaupun terpaksa menurunkan `key' ternyata pelakon Maria Mariana ini berjaya menyanyikan ketiga-tiga lagu tersebut dengan sempurna.Menurut Ziana, lagu Lembah Asmara ciptaan Ajai adalah gubahan yang berlainan berbanding dengan lagu-lagunya sebelum ini.``Walaupun masih mengekalkan nada tinggi namun ia tidak kedengaran menjerit. Itulah yang Ajai cuba lakukan semasa saya merakamkan lagu itu,'' kata Ziana.Dalam pertemuan itu Ziana menjelaskan album tersebut adalah terbitan syarikatnya Zig Zag Beat dan EMI bertindak sebagai pengedar. ``Telah tiba masanya mengorak langkah menerbitkan album di bawah syarikat sendiri setelah lebih 10 tahun menimba pengalaman.``Ia adalah perancangan jangka panjang kerana dengan memiliki hak lagu-lagu tersebut saya boleh menerbitkan kembali pada masa akan datang,'' jelas Ziana.Dalam masa terdekat, syarikat itu hanya menerbitkan albumnya sahaja. Bagaimanapun, dia tidak menolak kemungkinan merakam album penyanyi lain nanti.``Segalanya ada dalam perancangan cuma kini saya tumpukan kepada kerjaya saya dulu,'' jelas Ziana lagi. | back | |